ANDA HANYA PERLU LAKUKAN SATU PERKARA SAHAJA UNTUK MEMBUNUH JUTAAN MANUSIA

Standard

Tahukah anda, dalam dunia serba moden dan canggih ini, satu tindakan anda bukan sahaja boleh membunuh satu atau dua atau puluhan nyawa, bahkan jutaan.

Peristiwa dalam video ini berlaku di negara Barat, yang dipanggil maju. Maju dari sudut material, tetapi muflis dari sudut kemanusiaan. Nilai hidup berasaskan hak kebebasan individu atau liberalisme yang mereka laungkan dan banggakan telah melahirkan generasi manusia yang mementingkan diri sendiri. Sikap individualistik ini telah merebak ke seluruh dunia, termasuk di China yang terkenal dengan dasar sosialisme atau mengutamakan kepentingan negara dengan segala perundangan yang mendera hak individu.

Video lelaki us mati

Lihatlah pandangan-pandangan pihak yang diwawancara dalam video itu, jelas sekali mereka mencari-cari institusi atau agensi yang sepatutnya bertanggungjawab, atau dengan kata lain mereka berpaksikan sistem, bukan manusia. Ini kerana jiwa mereka kosong daripada nilai kepercayaan, atau dengan bahasa mudahnya tiada iman. Oleh sebab itu mereka hanya bergantung pada sistem dan undang-undang. Keadaan ini tidak ubah seperti mengawal hidup himpunan haiwan ternakan dan gembalaan.

Umat Islam juga tidak dinafikan ramai yang ditimpa musibah penyakit materialisme, liberalisme dan bersikap individualistik, secara umum. Namun nadi iman masih berdenyut dalam masyarakat kita. Saya yakin perkara ini tidak akan berlaku di negara kita. Adakah kerana sistem dan perundangan? Jawapannya tidak. Rahsianya ialah nilai-nilai keimanan masih wujud dalam masyarakat Islam Melayu di negara ini. Nilai keimanan yang disuntik secara berterusan sejak alam kanak-kanak, persekolahan dan zaman dewasa melalui ceramah-ceramah dan peringatan agama sama ada secara langsung mahupun melalui tv, radio dan maya, semua suntikan itu memberikan kita erti kemanusiaan, menghidupkan jiwa dan melemahkan sikap materialistik.Masih ada cahaya di hujung jalan.

Islam, yang menyebabkan kemanusiaan masih berdenyut dalam diri kita, meletakkan kepentingan nyawa di tempat kedua selepas agama, diikuti kepentingan akal, keturunan dan yang kelima kepentingan harta. Apabila manusia meninggalkan agama, segala kepentingan yang lain akan turut tergadai. Lelaki yang mati dalam video ini, begitu juga nyawa jutaan manusia di Syria, Iraq, Afghanistan, Palestin, Pakistan, Bangladesh, Libya, Afrika dan lain-lain yang terkorban selama ini selepas kejatuhan empayar Islam, merupakan manifestasi nyawa rakyat sudah tidak berharga di sisi tamadun Barat.

Jika anda bersetuju dengan pandangan saya ini, mohon share. Bagi yang berkebolehan dan mempunyai masa, mohon terjemahkan ke pelbagai bahasa.

10 Bencana Bawaan Liberalisme

Standard

Liberalisme bermakna mengutamakan kebebasan individu mengatasi tuntutan agama dan kuasa kerajaan. Berdasarkan fahaman ini, berikut ialah beberapa malapetaka yang akan berlaku ke atas umat Islam jika ia dijadikan pegangan hidup:

1) Seseorang muslim bebas meminum arak di khalayak ramai dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang atas alasan kebebasan individu, walaupun ia menyalahi tuntutan agama, manakala kerajaan pula tiada kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang kerana dikira menyekat kebebasan individu tersebut.

2) Anak-anak berumur 18 tahun ke atas bebas membawa pasangan ke rumah dan bilik tidur mereka. Jika ibu bapa tidak bersetuju, mereka hanya boleh menghalau anak-anak itu keluar rumah, kerana sebarang tindakan undang-undang tidak terpakai kerana menghormati kebebasan individu anak-anak itu.

3) Hal agama menjadi isu peribadi semata-mata, yang akan menyebabkan ajaran sesat semakin berleluasa, terutamanya Syiah, kerana setiap individu bebas menafsirkan ajaran Islam menurut hawa nafsu masing-masing dan kerajaan tiada kuasa untuk mengawalnya.

4) Negara kita menjadi negara sekular sepenuhnya apabila kerajaan tiada kuasa dalam hal-hal agama, tidak seperti keadaan sekarang wujudnya Jabatan Agama, Jabatan Mufti dan sebagainya yang boleh mengadakan pelbagai peraturan dan undang-undang demi memelihara kesucian agama Islam.

5) Suburnya keyakinan bahawa tiada kebenaran mutlak kerana setiap individu itu bebas melihat kebenaran menurut kaca mata masing-masing. Oleh itu al-Quran dan Sunnah akan menjadi tidak relevan lagi.

6) Apabila al-Quran dan Sunnah sudah tidak dianggap sebagai kebenaran mutlak, maka setiap agama dikira benar belaka. Akibatnya ialah ibu bapa tidak kisah jika anaknya mahu memeluk apa sahaja agama kerana semuanya dianggap benar belaka.

7) Fenomena bersekedudukan antara lelaki dan perempuan bukan mahram tidak boleh dibendung kerana tindakan undang-undang itu dikira menyekat kebebasan individu.

8) Akibat fenomena bersekedudukan ini ialah keruntuhan institusi rumahtangga seperti yang berlaku di negara-negara Barat.

9) Keruntuhan institusi rumahtangga pula mengakibatkan kegagalan proses pendidikan awalan di rumah. Akibat seterusnya ialah peningkatan kadar jenayah dan fenomena hilang kasih sayang.

10) Apabila agama sudah tidak berfungsi di peringkat masyarakat dan negara, kerana dikira isu peribadi semata-mata, maka neraca hawa nafsu dijadikan pedoman. Situasi ini memberikan ruang seluas-luasnya kepada pihak yang lebih kuat, seperti kapitalis, menindas pihak yang lemah. Akhirnya manusia menjadi hamba kepada manusia.

Musyrikin Mengkhianati Perjanjian

Standard

“Bagaimana (boleh dikekalkan perjanjian kaum kafir musyrik itu) padahal kalau mereka dapat mengalahkan kamu, mereka tidak akan menghormati perhubungan kerabat terhadap kamu, dan tidak akan menghormati perjanjian setianya. Mereka menjadikan kamu bersenang hati hanya dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolaknya; dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.

Mereka tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang-orang yang beriman, dan merekalah orang-orang yang menceroboh.” (SURAH TAUBAH: 8 – 10)

Surah at-Taubah merupakan salah satu surah yang terakhir diturunkan. Ayat pertama surah ini mengandungi pengisytiharan daripada Allah Taala bahawa Dia berlepas diri daripada semua perjanjian yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. dengan orang-orang musyrikin.

Berlepas diri bererti Rasulullah S.A.W. hendaklah meletakkan tempoh bagi mana-mana perjanjian tidak bertempoh, tidak memperbaharui perjanjian yang bertempoh dan membatalkan perjanjian musyrikin yang melanggar perjanjian tersebut. Mengapa Allah Taala berlepas diri?

Kita tinggalkan soalan ini untuk dijawab di akhir tulisan ini nanti. Sebelum kita menjawab, mari kita tinjau situasi yang berlaku apabila orang-orang musyrikin berkuasa ke atas orang-orang Islam.

Contoh yang pertama ialah penjajahan Baghdad, ibu kota kuasa besar Islam, pada tahun 656 Hijri. Ibnu Kathir menceritakan dengan terperinci dalam kitab sejarahnya, “al-Bidayah wa an-Nihayah”. Berikut ialah terjemahan maksud petikan daripada kitab tersebut:

“Mereka masuk dan membunuh sesiapa sahaja yang mereka jumpa; lelaki, wanita, kanak-kanak, orang tua, pemuda dan lain-lain. Ramai orang lari menyembunyikan diri dalam perigi-perigi, tempat-tempat pembuangan najis dan sampah. Mereka duduk di situ berhari-hari tidak berani menzahirkan diri. Ada yang masuk ke dalam kedai masing-masing dan menutup pintu, tetapi dipecahkan oleh Tatar lalu dibakar. Mereka lari pula ke bukit bukau, tetapi akhirnya dibunuh.

Longkang-longkang dipenuhi dengan darah merah, begitu juga masjid dan surau. Tiada yang selamat kecuali Ahli Zimmah yang terdiri daripada kalangan Yahudi dan Nasrani dan sesiapa yang memohon perlindungan daripada mereka. Juga orang yang meminta perlindungan di rumah seorang menteri bergelar Ibnul Alqami, penganut syiah yang bersekongkol dengan Yahudi, Nasrani dan Tatar.

Terdapat perselisihan pendapat tentangan bilangan korban Tatar. Ada yang mengatakan 800 ribu, ada yang menyebut angka sejuta dan ada yang membilang 2 juta orang. Selama 40 hari pembunuhan beramai-ramai ini berlangsung. Khalifah, para ulamak dan semua kaum kerabat mereka ada yang disusun di perkuburan kemudian disembelih seperti kambing-kambing, manakala isteri dan anak gadis dijadikan hamba. Para pengkhutbah di seluruh masjid Baghdad turut dibunuh, tiada yang berbaki. Maka tergendalalah solat Jumaat selama beberapa bulan.

Selepas berlalu 40 hari, Baghdad menjadi seperti bandar mati. Keluarlah orang-orang yang selama ini berada dalam tempat persembunyian. Mereka tidak lagi mengenali antara satu sama lain (tubuh dan rupa yang berubah akibat kebuluran). Tetapi mereka hanya sempat hidup beberapa hari sahaja, kerana diserang wabak penyakit yang terhasil daripada lambakan ratusan ribu mayat di jalan-jalan. Bau busuk bukan sahaja memenuhi ruang udara Baghdad, bahkan sampai ke negeri-negeri Syam.

Contoh kedua berlaku ke atas saudara-saudara kita di India. Ketika penubuhan negara Pakistan, terdapat lapan juta rakyat muslim India yang bergerak menuju ke Pakistan untuk berhijrah. Tetapi yang sampai ke Pakistan hanyalah tiga juta, kerana lima juta lagi telah disembelih oleh kongsi gelap yang dibiarkan oleh kerajaan India untuk aktif dengan serangan keganasan mereka membunuh orang-orang Islam. Salah satu peristiwa itu ialah ketika satu keretapi yang membawa ribuan pegawai muslim yang selama ini berkhidmat untuk negara India mahu berhijrah ke Pakistan. Ketika keretapi itu melalui satu terowong yang dikenali sebagai terowong Khaibar, tiada yang melepasi terowong itu dalam keretapi tersebut kecuali mayat-mayat yang bergelimpangan, akibat dibunuh oleh kongsi gelap yang menanti mereka di dalam terowong.

Bagaimana pula keadaan di negara China? Pada tahun 50an, mereka telah membunuh 26 juta rakyat muslim, dalam masa 25 tahun, iaitu lebih satu juta setahun. Pernah satu ketika, seorang pemimpin muslim ditangkap dan dicampak ke dalam lubang. Kemudian orang-orang Islam dipaksa mencampakkan najis ke dalam lubang itu selama berhari-hari sehinggalah pemimpin malang itu mati. Peristiwa ini masih lagi berlaku sehingga ke hari ini. Inilah yang berlaku di Yugoslavia, apabila orang-orang Serbia menyembelih jiran mereka yang muslim, penduduk Bosnia, tanpa rasa belas kasihan, kerana semata-mata mereka itu muslim.

Pada hari ini, terlalu banyak peristiwa orang-orang Islam ditindas dan dibunuh di merata dunia, tetapi dunia yang dikuasai Barat pada hari ini mendiamkan diri.

Selepas sedutan serba ringkas tentang peristiwa yang berlaku pada kaum muslimin apabila mereka dikuasai oleh orang-orang musyrikin di sepanjang sejarah manusia, dapatlah kita memahami mengapakah akhirnya Allah Taala berlepas diri daripada perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W. dengan orang-orang musyrikin.

Muslimin diajar agar setia berpegang pada perjanjian dengan musyrikin, tetapi mereka juga diajar agar tidak lupa akan hakikat tabiat dan perangai musyrikin yang sentiasa mengkhianati perjanjian dan mereka tidak berperikemanusiaan jika berkuasa.

Pendirian Terhadap Isu GST dan 1MDB

Standard

1. Para ulamak dahulu mengharuskan negara untuk berhutang dan membuat pungutan cukai daripada rakyat hanya apabila terdapat kepentingan umum yang amat mendesak (darurat) seperti mempertahankan kedaulatan negara atau memenuhi keperluan asas rakyat termiskin, dengan beberapa syarat yang jelas.

2. Syarat yang paling jelas ialah hendaklah didahulukan penggunaan harta mewah yang dimiliki individu rakyat dan pemerintah terlebih dahulu, un‏tuk membiayai kepentingan umum yang amat mendesak tersebut, sebelum apa-apa cukai dipungut daripada rakyat biasa dan sebelum langkah meminjam dibuat.

3. Izzuddin bin Abdus Salam, yang digelar sebagai Sultan Ulamak, apabila diminta fatwa untuk mengharuskan pemungutan cukai daripada rakyat Mesir untuk membantu mempertahankan Syam daripada serangan tentera Tatar, beliau berkata: “Jika tentera musuh menyerang negara Islam, maka wajib seluruh dunia Islam memeranginya. Harus bagi kamu untuk mengambil sesuatu (cukai) daripada rakyat untuk membantu jihad kamu, dengan syarat Baitul Mal telah tiada baki dan kamu jual pakaian dan peralatan mewah. Setiap tentera hanya mempunyai senjata dan kenderaannya sahaja, mereka sama seperti rakyat awam. Tidak boleh diambil duit rakyat ketika masih ada baki harta dan peralatan mewah di tangan tentera”. (Tentera pada zaman itu mempunyai harta hasil daripada rampasan perang dalam peperangan yang disertainya).

4. Beliau juga pernah ditanya apabila pemerintah Mesir mahu meminjam wang daripada ahli-ahli perniagaan untuk menampung kewangan Baitul Mal yang tidak mencukupi bagi menghadapi serangan Tatar. Beliau memberikan fatwa agar digunakan terlebih dahulu segala kemewahan yang dimiliki oleh pemerintah dan keluarga mereka. Jika tidak cukup juga, barulah kerajaan boleh meminjam.

5. Punca utama kerajaan di zaman kegemilangan Islam mampu menghadkan pungutan cukai dan berhutang pada perkara-perkara darurat sahaja ialah kerana sikap pemerintah yang amat berhati-hati menggunakan wang awam dan amat teliti menjaga harta individu rakyat.

6. Abu Ubaidah bertugas sebagai pengagih wang awam ketika zaman pemerintahan Abu Bakr as-Siddiq R.A. Beliau berkata, ketika diminta memperuntukkan wang sara hidup untuk Khalifah Abu Bakr as-Siddiq, “Aku tetapkan untukmu sekadar makanan seorang lelaki daripada kalangan muslimin, bukan (tahap lelaki) yang paling baik (makanannya) dan bukan (tahap lelaki) yang paling sedikit (makanannya)”.

7. Umar bin al-Khattab R.A. pernah berkata, “Jika seekor unta mati kerana terbiar di tebing sungai Furat, aku takut Allah akan menyoal diriku”. Umar bin Abdul Aziz meninggalkan kisah yang masyhur apabila beliau memadamkan lilin kerajaan dan menyalakan lilin peribadi apabila mahu berurusan peribadi.

8. Fatwa para ulamak itu bukan bertujuan untuk membincangkan hukum kerajaan memungut cukai dan berhutang di sini. Ia hanyalah bertujuan memberikan gambaran betapa Islam amat menjaga hak milik individu rakyat, mengutamakan kemaslahatan umum mengatasi kepentingan individu dan tidak memberi jalan mudah kepada kerajaan untuk berhutang dan memungut cukai.

9. Sejak 1998, perbelanjaan kerajaan mengalami defisit setiap tahun. Kerajaan berhutang dengan alasan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Walaupun kadar pertumbuhan ekonomi tahunan secara purata dalam lingkungan 4%, kebanyakan rakyat jelata semakin merasai terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

10. Hutang isi rumah semakin meningkat dengan jumlah terkumpulnya mencecah RM732 billion, pada Julai 2014. Bahagian terbesar hutang tersebut adalah untuk membiayai pembelian kenderaan dan rumah. Majoriti generasi muda orang-orang Melayu dan bumiputera semakin tidak mampu memiliki kediaman yang selesa seperti generasi bapa mereka. Manakala perkhidmatan pengangkutan awam masih belum memenuhi keperluan rakyat, menyebabkan mereka terpaksa berhutang untuk memiliki kenderaan sendiri, termasuk mengambil risiko kemalangan motosikal yang merupakan mangsa tertinggi di jalanraya.

11. Kes-kes ketirisan, sama ada dalam bentuk subsidi kerajaan yang tidak sampai sepenuhnya ke tangan golongan sasar, mahupun nilai kontrak yang jauh melebihi nilai semasa yang munasabah, dan bentuk-bentuk ketirisan yang lain, seperti dalam Laporan Audit Negara saban tahun, belum menampakkan pengurangan ketara, kalaupun tidak sifar.

12. Hutang 1MDB berjumlah RM42 billion sebenarnya tidak memerlukan seorang menteri untuk menyatakan ia membebankan. Rakyat biasa boleh menilainya. Tetapi yang menjadi persoalan ialah mengapa kerajaan tidak memperincikan apa yang berlaku pada 1MDB sehingga ke hari ini? Kelihatan ia ditangani secara tidak telus di hadapan rakyat, sedangkan impak hutang itu ke atas rakyat tidak akan dapat dibendung.

13. Ibnul Qaiyim menyebut dalam kitabnya I’lam Muwaqiin, bahawa Umar bin al-Khattab pernah disanggah oleh Salman al-Farisi ketika beliau mahu memulakan ucapannya. Salman mengatakan tiada dengar dan tiada taat kepada ucapan Umar sebagai Khalifah pada masa itu, selagi Umar tidak menerangkan dari mana datangnya pakaian lebih yang dipakainya pada hari itu. Setelah Abdullah bin Umar mengakui pakaian itu adalah kepunyaannya dipinjam oleh Umar, barulah Salman mengatakan “sekarang kami dengar dan taat”. Hak rakyat untuk tahu dan menyoal.

14. Terkini pendedahan oleh bekas Menteri Besar Terengganu yang menyebut tentang usaha untuk mencagarkan minyak dan gas di laut Terengganu untuk 1 MDB menimbulkan persoalan berapa banyak lagikah maklumat yang mengejutkan rakyat masih disimpan kemas oleh pemerintah?

15. Kaedah Fekah تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة menuntut pemerintah agar menjauhi tindakan yang tidak membawa faedah kepada rakyat, apatah lagi meletakkan rakyat menanggung risiko yang memudaratkan. Kerajaan bertanggungjawab untuk mengurus tadbir untuk kepentingan rakyat, bukan melibatkan diri dalam perniagaan dan pelaburan yang berisiko tinggi.

16. Kemewahan pemerintah, rakyat yang semakin terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ketidaktelusan kerajaan dalam soal 1MDB, hutang luar biasa yang dibuat oleh syarikat milik penuh kerajaan, cukai yang tiada jaminan tidak dinaikkan kadarnya; kesemua ini menyumbang ke arah krisis kepercayaan antara rakyat dan pemerintah.

17. Berdepan dengan krisis kepercayaan ini, harapan untuk melihat penguasaan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera di tanah asal mereka ini kelihatan semakin kelam. Bahkan penguasaan politik orang Melayu berada di ambang kehancuran, mengundang penjajahan semula tanahair dalam bentuk hamba kepada institusi kewangan antarabangsa.

18. Ikatan Muslimin Malaysia menyeru kerajaan agar memandang serius krisis kepercayaan ini dan mengambil langkah drastik dengan kadar segera, sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan berada di luar kawalan. Kerajaan bertanggungjawab di hadapan seluruh rakyat kerana krisis ini melibatkan masa depan dan kedaulatan negara, bukan isu dalaman UMNO semata-mata.

19. Masa depan Islam di negara ini amat bergantung pada kekuatan orang-orang Melayu yang menjadi bangsa majoriti dan tonggak. Hakikatnya, pada hari ini orang-orang Melayu berada di persimpangan, sama ada membiarkan keadaan sedia ada menuju ke arah bangsa yang dijajah, tergadai maruah dan keturunan, atau bangkit membetulkan keadaan, yang menuntut pengorbanan yang amat mahal.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Rum: 41

ALLAHU AKBAR, WALILLAHILHAMD

Melayu Sepakat, Islam Berdaulat
Membangun Umat Beragenda

Relevansi Konsep Negara Islam Dalam Sistem Demokrasi Di Malaysia

Standard

Tajuk ini telah saya sampaikan pada 25 Oktober 2014 di Simposium Pemikiran Politik Islam, anjuran Majlis Ulama Isma, bertempat di Auditorium Abu Zarim, ILSAS UNITEN.

Mukadimah

  1. Agama dan negara tidak boleh dipisahkan; agama adalah asas, negara adalah penjaganya, seperti kata Imam al-Ghazali. Maqasid Syariah Asliah ialah menjaga perkara-perkara yang dharuri; agama, jiwa, akal, nasab dan harta. Negara adalah fardhu kifayah bagi menyempurnakan fardhu ain setiap mukallaf untuk menjaga kelima-lima perkara itu.

Bagaimanapun, Islam hanya menetapkan asas-asas dan prinsip-prinsip umum pemerintahan, manakala pengurusan sesebuah negara sifatnya adalah berubah, bersesuaian dengan masa, tempat, keperluan dan pencapaian manusia yang berbeza-beza. Medan yang luas inilah dinamakan sebagai Siyasah Syariyah.

Ibnu Aqil mendefinisikan Siyasah Syariyah:

السياسة ما كان فعلا يكون معه الناس أقرب إلى الصلاح وأبعد عن الفساد وإن لم يضعه الرسول ولا نزل به وحي. فإن أردت بقولك إلا ما وافق الشرع أي لم يخالف ما نطق به الشرع فصحيح ، وإن أردت لا سياسة إلا ما نطق به الشرع فغلط وتغليط للصحابة

“Tindakan yang menjadikan manusia lebih dekat dengan kebaikan dan lebih jauh daripada kerosakan, walaupun Rasulullah tidak pernah melakukannya dan tiada wahyu yang turun mengenainya. Jika kamu maksudkan dengan katamu “kecuali yang menepati syarak” ialah tidak menyalahi apa yang dituturkan syarak maka betul, jika engkau maksudkan tiada siyasah kecuali yang dituturkan syarak maka ia salah dan menyalahkan para sahabat”

Berdasarkan pemahaman di atas, model negara Islam yang pertama di Madinah tidak seharunya dilihat secara baku dan kaku. Terdapat kalangan yang mengatakan model negara Rasulullah S.A.W. tidak boleh diambil kira untuk kegunaan masa kini, kerana terdapat banyak perbezaan dari segi watak, zaman, tempat dan pencapaian manusia sejak beribu tahun lampau.

Menurut al-Allamah Ibnu Asyur, seseorang yang mengkaji Maqasid Syariah amat perlu meneliti sifat Baginda ketika bersabda dan melakukan sesuatu perbuatan, sama ada Baginda bertindak sebagai pemerintah atau qadhi atau mufti yang menyampaikan ajaran Islam. Setiap kategori sifat itu mempunyai implikasinya yang tersendiri dalam syariat. Justeru pengkajian terhadap model negara Islam Rasulullah S.A.W. dan para Khulafak ar-Rasyidin mestilah diletakkan dalam kerangkanya yang betul, agar dapat dibezakan antarathawabit dan mutaghaiyirat. Kebijaksanaan ini dapat menghindarkan daripada tindakan mencairkan perkara prinsip dan asas, serta dapat mengelakkan daripada tasawur yang kaku dan menyukarkan.

Menelusuri ciri-ciri negara Islam yang digariskan oleh para ulamak silam, kita akan mendapati kebanyakannya tidak mengambil kira keadaan syarak tidak lagi dipertuankan seperti keadaan di kebanyakan negara Islam selepas era penjajahan Barat, termasuk Malaysia. Ini disebabkan kebanyakan para ulamak mengarang kitab mengenai sistem pemerintahan pada zaman Islam dipertuankan dan kedaulatan syarak masih berkuasa.

Konsep Negara Islam

Berdasarkan noktah-noktah di atas, penulis memilih untuk memetik ciri-ciri asas yang menyeluruh bagi sebuah pemerintahan Islam seperti yang diperkatakan oleh Prof. Dr Solah as-Sowy dalam buku karangannya yang bertajuk “Pluralisme Politik Dalam Negara Islam”. Ciri-ciri tersebut menyentuh soal dasar dan konsep negara Islam secara menyeluruh, yang boleh dijadikan panduan untuk menganalisis kewujudannya dalam negara kita Malaysia.

Ciri-ciri tersebut ialah:

1)      Ketuanan syarak:

Ketuanan syarak bermaksud kehendak Allah S.W.T. adalah hukum dan kata pemutus tertinggi. Tiada satu kuasa yang lebih tinggi atau menyamai ketinggian kehendak syarak. Sebarang keputusan dan undang-undang yang bertentangan dengan kehendak syarak maka ia terbatal dengan sendirinya. Tiada qias untuk sesuatu yang mempunyai nas. Maslahat yang bertentangan dengan syarak adalah tidak dikira pakai. Tiada syura kecuali dalam perkara yang diharuskan dan diizinkan oleh syarak, yang medannya terlalu luas.

Berikut adalah beberapa ayat al-Quran yang menjadi sandaran mengenai ketuanan syarak:-

“Sebenarnya hukum hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf ayat 40)

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab ayat 36)

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisa’ ayat 65)

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Syura ayat 21)

Hakikat ketuanan syarak inilah intipati Islam. Inilah agama Islam yang Allah tidak terima agama selainnya.

2)      Kuasa umat

Ketuanan syarak tidak bermakna negara teokratik seperti yang dinamakan oleh orang-orang Barat. Perlu dibezakan antara punca kuasa politik dan sumber perundangan dalam manhaj Islam. Punca kuasa politik adalah umat. Sistem perundangan pula, sumbernya yang tertinggi adalah syarak.

Kuasa umat bermaksud umat memegang kuasa untuk melantik, memantau dan memecat pemerintah. Perkara ini jelas dalam kata-kata para Khulafak ar-Rasyidin.

Abu Bakr R.A. berkata sebelum kewafatannya, “Sesungguhnya Allah telah memulangkan urusan kamu kepada kamu, maka lantiklah (pemimpin) di kalangan yang kamu suka”.

Umar R.A. berkata di atas mimbar Rasulullah S.A.W., “Sesiapa yang memberi baiah kepada seseorang tanpa bersyura dengan muslimin, maka dia mendedahkan dirinya dan orang yang dibaiahnya itu kepada pembunuhan”

Ketika berhimpun sekumpulan manusia di rumah Ali R.A. untuk memberi baiah kepada beliau, Ali R.A. berkata, “Sesungguhnya baiahku tidak mungkin secara tersembunyi. Tidak mungkin melainkan di dalam masjid.” Maka hadirlah manusia ke masjid, kemudian datanglah Ali lalu ia naik ke atas mimbar dan berkata, “Wahai manusia, sesungguhnya urusan kamu bukan milik sesiapa selain orang yang kamu lantik. Sesungguhnya kita telah berpisah semalam atas satu keputusan sedangkan aku tidak suka untuk mengetuai kamu, tetapi kamu enggan kecuali mahukan aku menjadi ketua kamu. Ketahuilah bahawa tiada sesuatu pun bagiku tanpa kamu, melainkan anak-anak kunci harta kamu bersamaku, namun aku tidak berhak mengambil walaupun satu dirham tanpa (persetujuan) kamu. Oleh itu jika kamu setuju, aku akan duduk (menerima jawatan khalifah) kerana kamu. Jika sebaliknya, aku tidak akan bersedih ke atas sesiapapun. Mereka menjawab: “Kami tetap berpegang dengan apa yang telah kami bentangkan kepadamu (melantikmu sebagai khalifah) semasa kami berpisah denganmu semalam.”

Diriwayatkan Umar bin Abdul Aziz naik ke atas mimbar, selepas menerima perlantikan secara warisan daripada Sulaiman bin Abdul Malik, lalu berkata, “Wahai manusia, sesungguhnya aku tidak membuat sesuatu yang baru, aku hanya mengikut, dan sesungguhnya orang-orang di sekeliling kamu di pelbagai kawasan dan bandar jika mereka taat seperti mana kamu taat, maka aku menjadi pemerintah kamu. Jika mereka enggan, maka aku bukan pemerintah kamu.” Kemudian mereka turun.

3)      Kedaulatan undang-undang

Kehakiman dalam sistem pemerintahan Islam mempunyai kedaulatan yang istimewa. Sejarah Islam membuktikan betapa para hakim bebas dan tiada kuasa yang mempengaruhi mereka kecuali syarak. Tiada mana-mana pemerintah atau sesiapa sahaja yang boleh mencampuri urusan kehakiman. Setiap orang sama tarafnya di hadapan undang-undang. Umat bertanggungjawab untuk memastikan pemerintah memberi jaminan tentang kebebasan kehakiman.

4)      Jaminan hak dan kebebasan

Hukum syarak diturunkan untuk menjaga maslahat umat manusia, di dunia dan akhirat. Tujuan hukum-hukum itu ialah untuk menjaga agama, nyawa, akal, nasab dan harta. Sesungguhnya kalimah tauhid merupakan perisytiharan pembebasan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah. Syariat Islam telah berjaya menghapuskan sistem perhambaan sesama manusia secara aman damai beratus tahun lebih awal daripada Amerika yang terpaksa mengharungi proses itu menerusi peperangan yang mengorbankan jiwa yang tidak berdosa.

Kata-kata Umar bin al-Khattab yang masyhur ketika memarahi Amru ibnul As merupakan lambang jaminan kebebasan dan kemuliaan sejati untuk umat manusia:

“Sejak bila engkau memperhambakan manusia sedangkan mereka telah dilahirkan oleh para ibu mereka selaku orang yang merdeka?!”

Menurut al-Allamah Ibnu Asyur, kebebasan kepercayaan yang diasaskan oleh Islam ialah dengan membatalkan iktikad sesat yang dipaksakan oleh penyerunya ke atas pengikut-pengikut mereka tanpa faham, petunjuk dan kitab yang menerangi, dengan seruan agar dinyatakan bukti ke atas akidah yang benar, kemudian arahan agar berhujah dengan baik terhadap orang-orang yang membangkang dan mengembalikan mereka kepada kebenaran dengan penuh kebijaksaan, nasihat dan sebaik-baik hujah, kemudian dengan penafian paksaan dalam beragama. Adapun kebebasan bersuara maka ia bermaksud menyatakan pandangan dan iktikad dalam lingkungan yang diizinkan oleh syarak.

5)      Kewajiban syura

Syura merupakan satu asas yang amat penting dalam pemerintahan Islam. Ini kerana umat adalah sumber kuasa dan menuruti pendapatnya merupakan kelebihan. Bahkan syariat Islam meletakkan syura sebagai satu asas yang diamalkan dalam setiap perkara dan urusan sehingga menjadi sifat zahir jamaah muslimin.

Firman Allah:

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya” (Surah Syura ayat 38)

Syura dalam Islam bukan sekadar satu sistem pemerintahan, lebih-lebih lagi ayat di atas merupakan ayat Makkiah ketika belum ada negara Islam.

Firman Allah:

“Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.” (Surah Ali Imran ayat 159)

Sebahagian ulamak menaqalkan ijmak bahawa seseorang pemerintah yang tidak bersyura dengan ahli ilmu dan agama maka pemecatannya adalah wajib. Perkara ini amat difahami oleh Khulafak Rasyidin. Mereka amat memberi perhatian dan mengamalkan syura. Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakr R.A. apabila berlaku sesuatu perkara, beliau melihat dalam kitab Allah. Jika didapatinya dalam kitab Allah maka ia mengambil keputusan berdasarkan itu. Jika ia tahu tentang sunnah Rasulullah berkaitan perkara tersebut, maka ia berhukum dengan sunnah itu. Jika beliau tidak tahu, maka beliau akan keluar dan bertanya orang ramai tentang sunnah. Jika tidak diketemui jawapan, maka beliau panggil kepala-kepala muslimin dan para ulamak lalu beliau bersyura.

6)      Hisbah

Hisbah adalah amar makruf apabila telah zahir peninggalannya dan nahi mungkar apabila zahir perlakuannya. Ia merupakan bidang kuasa asasi bagi pemerintahan Islam. Hisbah bertujuan menjaga agama dan memastikan hukum-hakamnya dihormati. Tugas menjaga agama ini merupakan tugas pertama yang dipertanggungjawab ke atas negara Islam, bahkan tidak disebut definisi Khilafah Islam kecuali dengan menyebut tugasan itu, sebagai mengganti tugas kenabian iaitu menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya.

Hisbah tidak berlaku dalam perkara-perkara yang diperselisihkan oleh para ulamak. Sebaliknya ia berlaku pada perkara-perkara yang Ijmak, yang sabit dengan nas yang sahih atau Ijmak yang “sarih”.

Sistem Demokrasi

Demokrasi merupakan satu sistem politik yang lahir daripada evolusi fahaman liberalisme yang mengutamakan kebebasan individu mengatasi kuasa kerajaan dan hukum agama. Demokrasi secara mudah merujuk kepada kuasa rakyat. Ia dikatakan berasal daripada pengamalan orang-orang Yunani-Greek, kemudiannya diambil oleh negara-negara Barat bagi menggantikan kuasa  pemerintahan mutlak gereja dan raja. Pada hari ini, demokrasi sudah menjadi satu anutan oleh kebanyakan negara sebagai satu sistem pemerintahan yang dikatakan berjaya membawa keadilan kepada semua lapisan masyarakat dan membawa kepada kemajuan.

Menurut Dr. Solah as-Sowy dalam bukunya “Pluralisme politik dalam negara Islam”, asas pemikiran bagi sistem demokrasi ialah ketuanan rakyat, kedaulatan undang-undang dan perlindungan hak dan kebebasan.

Ketuanan rakyat bermaksud kehendak rakyat adalah kuasa tertinggi yang mesti dipatuhi oleh semua orang. Fahaman ini lahir hasil daripada pengalaman pahit orang-orang Eropah pada kurun pertengahan selepas mereka diperintah oleh kuasa mutlak gereja yang menjadikan arahannya adalah arahan Tuhan. Sebarang kebijaksanaan yang tidak bersumberkan gereja, maka ia dianggap sebagai was-was syaitan dan diperangi. Dari tahun 1481 hingga 1499 (selama 18 tahun sahaja), kira-kira 90 ribu ilmuwan dihukum bunuh di Eropah, atas tuduhan memiliki ilmu / sains.

Oleh kerana tidak tahan dengan cengkaman pihak gereja, orang-orang Eropah bangkit menentang gereja dan raja sehingga mengakibatkan revolusi Perancis 1789. Mereka membuang ketuanan gereja dan raja, lalu menggantikannya dengan ketuanan rakyat.

Kedaulatan undang-undang menghendaki pemisahan antara tiga badan utama dalam sistem demokrasi; badan perundangan, badan kehakiman dan badan eksekutif. Perlembagaan yang sukar dipinda juga merupakan salah satu usaha manusia untuk membenteras campur tangan pemerintah ke atas badan kehakiman dan perundangan.

Perlindungan hak dan kebebasan individu merupakan matlamat di sisi sistem demokrasi. Deklarasi Hak Asasi Manusia adalah ibarat Injil Politik yang suci. Sejarahnya kembali kepada falsafah Locke, Hobbes, Rousseau, Montesquieu yang menjadikan kehendak individu dan kebebasannya sebagai matlamat hidup insan. Kerajaan bertanggungjawab menjamin hak itu dan mengawalnya agar tidak bertembung antara satu sama lain. Hak dan kebebasan individu adalah keadaan asal yang tidak boleh disekat atau ditahan oleh kerajaan selagi tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat umum dan negara. Kuasa kerajaan dalam sebuah negara demokrasi libeal adalah kuasa yang terbatas; hanya berkaitan keselamatan, kehakiman dan kemudahan awam. Keterbatasan kuasa itu agar menjamin hak dan kebebasan individu tidak digugat.

Pluralisme politik adalah elemen yang fundamental bagi sistem demokrasi. Ia berkenaan persaingan bebas antara kumpulan-kumpulan untuk memaksa pengaruh ke atas keputusan yang diambil oleh  kerajaan. Kumpulan-kumpulan itu boleh terdiri daripada parti-parti politik dan juga bukan parti politik. Walaupun persaingan dan pertentangan yang wujud antara kumpulan-kumpulan itu sengit, tiada siapa yang boleh menafikan hak wujud bagi mana-mana kumpulan dalam pluralime politik.

 

Demokrasi di Malaysia

Secara mudah, sesebuah negara boleh digelar sebagai negara demokrasi jika menonjolkan citi-ciri berikut; kebebasan bersuara, pilihan raya diadakan secara konsisten, bebas dan adil, kebebasan berpersatuan, kerajaan majoriti, hak kumpulan minoriti dihormati, kebebasan media massa dan kebebasan badan kehakiman. Berdasarkan ciri-ciri di atas, Malaysia dikira sebuah negara demokrasi kerana kesemua ciri-ciri tersebut wujud secara asasnya.

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.

Kuasa undi digunakan oleh rakyat Malaysia untuk memilih pemerintah melalui pemilihan anggota-anggota Dewan Rakyat di peringkat persekutuan dan ahli-ahli Dewangan Undangan Negeri di peringkat negeri. Jika rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi pemerintah, mereka boleh menjatuhkannya dan menggantikan dengan orang lain menerusi proses pilihanraya. Kuasa memilih ini merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan kepada setiap rakyat Malaysia yang memenuhi syarat yang ditetapkan tanpa mengira agama dan bangsa.

Kuasa rakyat bukan sahaja diterjemahkan melalui undi, malah ia boleh berbentuk tekanan dan desakan yang berterusan yang mempengaruhi keputusan kerajaan. Perlembagaan Malaysia memberikan hak bersuara sama rata kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Pelaksanaan Islam di Malaysia amat bergantung pada kuasa desakan umat Islam ke atas kerajaan, terutamanya ketika berdepan dengan desakan rakyat bukan Islam dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan Islam di negara ini.

Berdasarkan konsep negara Islam di atas, serta sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, berikut adalah beberapa analisa dalam konteks menilai relevansi konsep negara Islam dalam sistem demokrasi di negara ini:

  1. Kedudukan Islam dilindungi, bukan ketuanan syarak:Kedudukan Islam dalam negara boleh dilihat dari beberapa sudut, antaranya ialah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Terdapat perbahasan yang panjang mengenai tafsiran dan implikasi Perkara 3 (1). Begitu juga dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan yang memberikan keistimewaan kepada agama Islam. Namun kesemua peruntukan itu sebenarnya hanyalah bertujuan bagi melindungi kedudukan agama Islam dan institusi- institusi yang berkaitan dengannya di Malaysia. Perlindungan dalam bentuk keistimewaan itu tidak sekali-kali membawa maksud ketuanan syarak atau undang-undang syariah sebagai sumber perundangan tertinggi negara.
  2. Secebis kuasa “budi bicara”:Namun dari sudut bidang kuasa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Perlembagaan Negara memperuntukkan kepada baginda dan Raja-Raja memiliki “budi bicara” yang boleh digunakan menurut prerogatif Raja Pemerintah meski tertakluk kepada batasan tertentu. Budi bicara Raja Pemerintah yang dimaksudkan ialah kuasa melantik Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dan melantik Menteri Besar di peringkat negeri. Keempat-empat mazhab fiqah bersepakat bahawa ciri minimum bagi menentukan sesebuah negara itu sebagai negara Islam atau sebaliknya ialah sebuah negara yang dipimpin dan ditadbir oleh orang Islam. Pada pandangan penulis, “budi bicara” Seri Paduka Baginda dan Raja-raja dalam soal ini adalah lapisan nipis benteng terakhir ketuanan syarak yang masih berbaki dalam sistem pemerintahan yang dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Negara.
  3. Peranan pemimpin Islam:Selain daripada peruntukan-peruntukan yang lebih bersifat melindungi berbanding kuasa berdaulat, ketuanan syarak di negara ini amat bergantung pada pegangan dan pendirian Raja-raja dan para pemimpin politik yang beragama Islam dalam mengurustadbir negara. Apabila perundangan tidak memberikan ruang mencukupi untuk ketuanan syarak, maka siyasah syariyah memainkan peranan yang amat besar dalam menentukan kedaulatan syarak. Peranan itu hanya dapat dijayakan oleh peribadi yang faham, komited, bijak bersiyasah dan mengutamakan kepentingan agama.
  4. Pengaruh agama dalam hidup orang Melayu:Identiti orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan diikat dengan agama Islam. Oleh itu seseorang yang berketurunan Melayu adalah bukan Melayu jika tidak beragama Islam. Selain daripada memainkan peranan penting dalam membentuk identiti Melayu, Islam juga menjadi unsur penting dalam peraturan hidup bermasyarakat dan berpolitik orang-orang Melayu. Hal ini sama sekali bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi sekular yang menghendaki agama berada dalam lingkungan kehidupan peribadi semata-mata.
  5. Pengaruh bangsa ke atas kedudukan Islam:Pluralisme politik di Malaysia sebenarnya banyak dicorakkan oleh faktor agama. Bagaimanapun, elemen agama itu sering diletakkan di sebalik semangat perkauman, disebabkan identiti kaum yang begitu terikat dengan agama. Oleh yang demikian, demokrasi liberal sekular tidak akan mendapat tempat di tanahair ini selagi ras-ras sedia ada masih kekal kuat jatidirinya berasaskan agama masing-masing. Justeru masa depan ketuanan syarak di negara ini amat bergantung pada kekukuhan jatidiri orang Melayu berasaskan Islam, selaku penduduk majoriti.
  6. Kedaulatan Islam dan kuasa undi:Kedudukan agama Islam yang diletakkan di bawah bidang kuasa Raja-raja, tidak menjadi taruhan bagi proses pengundian yang melibatkan pemilih-pemilih daripada pelbagai agama dan bangsa. Namun ia hanya bersifat melindungi, tidak terbuka kepada persaingan sihat yang memungkinkan desakan kepada perubahan ke arah memartabatkan ketuanan syarak, kecuali kembali kepada sistem pemilihan pilihanraya yang terbuka kepada persaingan desakan pelbagai kumpulan daripada pelbagai aliran, kepercayaan dan agama, yang diamalkan selama ini.
  7. Kuasa umat dalam negara majmuk:Pelaksanaan kuasa umat dalam konteks Malaysia dibayangi oleh dasar jaminan hak bersuara dan hak memilih oleh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Umat Islam mesti bersaing dengan rakyat bukan Islam dalam proses pemilihan pemimpin dan proses desakan bagi mempengaruhi keputusan kerajaan. Di sinilah letaknya peranan penting kecelikan siyasah syariyah bagi rakyat beragama Islam dalam menentukan masa depan kedudukan Islam di negara ini, dengan mengambil langkah-langkah bijak yang membawa keuntungan kepada agama Islam.
  8. Kesamarataan hak warganegara dalam menentukan corak pemerintahan:Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan, bersuara, dan berpersatuan kepada semua rakyat negara ini tanpa mengambil kira latarbelakang agama dan kepercayaan kecuali dalam perkara-perkara yang dinyatakan sebaliknya seperti dalam Perkara 8 (5), Perkara 10 (4), Perkara 11 (4), Perkara 12 (2), (3) dan (4), Perkara 89 dan lain-lain. Perkara-perkara yang dikecualikan ini merupakan kaedah untuk melindungi hak dan kedaulatan Islam sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Ia merupakan satu keadaan minima setelah rakyat berkompromi menerima kontrak sosial sebagai syarat untuk mencapai kemerdekaan, bukan keadaan asal yang memberikan kedaulatan penuh kepada penduduk asal orang-orang Melayu yang beragama Islam.
  9. Kesamarataan hak berpolitik:Dari segi hak berpolitik, adalah amat jelas bahawa tidak terdapat perbezaan antara hak politik warganegara Islam dan bukan Islam di dalam peruntukan Perlembagaan. Ini kerana hak politik di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah tidak didasarkan kepada ras dan agama. Setiap warganegara yang cukup syarat berhak untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Faktor agama dan kepercayaan juga bukan merupakan asas kepada penerimaan dan penolakan kepada setiap warganegara Malaysia untuk menjawat apa saja jawatan dalam sistem pentadbiran negara, kecuali yang membabitkan Perkara 8 (5) (b) dan yang melibatkan kuota Bumiputera. Jawatan Perdana Menteri tidak dinyatakan mesti beragama Islam. Ia hanya bergantung pada “budi bicara” Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong seperti yang telah dinyatakan di atas.
  10. BadanPerundangan:Struktur pentadbiran negara Malaysia meletakkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai badan perundangan tertinggi negara yang boleh dikategorikan sebagai badan syura bagi pemerintah, selain daripada Majlis Raja-raja dan Majlis Agama Negeri-negeri. Sebagai badan perundangan tertinggi, tiada batas syarak secara jelas dinyatakan yang menghadkan bidang kuasa Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam menjalankan tugasnya, kecuali beberapa peruntukan berkenaan Islam, Melayu dan Institusi Raja yang dijadikan benteng perlindungan bagi kedudukan Islam.
  11. Hisbah:Analisa sejarah telah membuktikan bahawa undang-undang Islam yang ada di Malaysia pada hari ini sebenarnya telah lama wujud dengan bertapaknya Islam di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-13 lagi. Bagaimanapun, selepas era penjajahan sehingga ke saat ini, peruntukan bidang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam hal berkaitan dengan agama Islam adalah sangat terhad dan hanyalah tertumpu kepada undang-undang diri (personal law) dan kesalahan- kesalahan agama sahaja. Perkara-perkara yang diperuntukkan secara khusus sahaja seperti kawalan pengembangan ajaran agama; dan hal-hal mengenai fatwa yang akan tertakluk kepada undang-undang Islam dan selainnya tertakluk kepada undang-undang sivil.

Selain masalah keterbatasan bidang kuasa, penguatkuasaan undang-undang syariah sekarang mendapat tentang terang-terangan daripada parti-parti politik dan pihak yang mewakili agama lain terutamanya agama Kristian, seperti bantahan terhadap tindakan rampasan Bible berbahasa Melayu oleh JAIS. Tindakan menangkap muslimah yang meminum arak di khalayak ramai juga telah disensasikan oleh organisasi fahaman liberal sebagai melanggar hak asasi manusia.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa pentadbiran undang-undang syariah telah mengalami kemajuan berbanding zaman dahulu dengan perkembangan terkini hasrat kerajaan untuk menaik taraf sistem perundangan syariah di negara ini dengan menambah peringkat mahkamah itu daripada tiga kepada lima. Kedudukan undang-undang syariah di antara keterbatasan bidang kuasa, sumber manusia dan usaha pemajuan taraf oleh kerajaan sebenarnya masih dikira belum dapat memainkan peranan hisbah seperti yang sepatutnya.

  1. Penyesuaian dalam kerangka pluralisme politik:Menurut Prof Dr Solah as-Sowy, Fekah Siyasi Islami telah memperkenalkan sistem Wizarah. Ia mula diperkenalkan ketika zaman Khilafah Abbasiyah, berfungsi membantu Khalifah menjalankan tugas-tugas pemerintahan. al-Mawardi telah membicarakan tentang dua jenis Wizarah, iaitu Wizarah Tafwidh dan Wizarah Tanfiz. Wizarah Tafwidh mendapat mandat daripada Khalifah untuk menjalankan tugas pemerintahan menurut ijtihad dan pandangannya. Manakala Wizarah Tanfiz pula hanya menjalankan arahan-arahan Khalifah berkaitan urusan pentadbiran tanpa kuasa seperti Wizarah Tafwidh. Wizarah Tanfiz hanya bertindak sebagai wakil Khalifah sahaja di depan rakyat.

Secara perbandingan masa kini, Wizarah Tafwidh adalah kementerian-kementerian yang diketuai oleh Perdana Menteri yang menjalankan tugas pentadbiran negara dengan kuasa penuh, manakala Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mengambil tempat al-Imam iaitu Ketua Negara. Wizarah Tanfiz boleh disamakan dengan Jabatan-jabatan Kerajaan yang diketuai oleh Ketua-ketua Pengarah yang menjalankan tugas berdasarkan arahan daripada kementerian masing-masing.

Berdepan kemelut persaingan parti-parti politik dan badan-badan sosial dalam kerangka pluralisme politik di negara ini, para politikus muslim dan parti-parti orang Melayu perlu menjaga beberapa perkara pokok berikut:

1) Memastikan kepelbagaian parti dan aliran itu berada dalam kerangka Islam; tidak membawa dasar dan pendekatan perjuangan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan yang menyesatkan umat Islam.

2) Mengutamakan kepentingan dan maslahat tertinggi Islam dan negara sebagai noktah persepakatan antara parti-parti yang berbeza-beza.

3) Meletakkan kebenaran sebagai paksi komitmen mengatasi paksi kepartian; menghindarkan ketaksuban parti sebagai neraca dalam membuat keputusan.

4) Kesetiaan pada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai simbol penyatu bagi seluruh rakyat dan negara. Kedudukan Baginda yang berada jauh daripada pertelingkahan dalam pluralisme politik merupakan status yang sesuai sebagai tempat rujuk di ketika berlaku krisis politik yang memuncak.

 

Penutup

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan adalah jelas sekali Malaysia bukan negara sekular, sebaliknya negara ini adalah negara beragama dan agamanya ialah Islam. Bagaimanapun ia adalah negara beragama yang mempunyai banyak kelemahan. Bukan sekadar kelemahan dari sudut pelaksanaan konsep negara Islam yang sebenar, bahkan lebih kritikal lagi ialah kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan yang hanyalah sekadar melindungi agama suci itu kini sudah mula dicabar oleh rakyat bukan Islam terutamanya pertubuhan-pertubuhan yang mewakili masyarakat Cina dan Kristian.

Justeru umat Islam, terutamanya para pemimpin politik beragama Islam, khususnya mereka yang masih ingin memperjuangkan konsep negara Islam digesa agar segera sedar dengan senario politik negara dan tidak mudah terperangkap dalam peperangan persepsi yang dilancarkan oleh Barat dan agen-agennya dalam negara ini yang melemparkan pelbagai imej buruk dan hodoh terhadap konsep negara Islam. Di samping itu, para pemimpin ini juga diseru agar tidak terperangkap dalam persaingan pluralisme politik yang tidak mengenal hak dan batil, yang akhirnya membawa kerugian dan mengakibatkan projek mendirikan sebuah negara Islam yang sempurna terbengkalai ditelan kerakusan politik kepartian.

 

Rujukan

Muhammad at-Tohir Ibnu Asyur. 2014. Maqasid Syariah Islamiah. Kaherah: Darus   Salam.

Solah as-Sowy. 2010. Taadudiah Siyasiyah Fi Daulah Islamiah. Kaherah: Daru Iĺam Dauli.

Ali Jabir al-Abdul Syarud. 2011. Taadudiah Hizbiyah Fi Zil Daulah Islamiah.   Kaherah: Daru Salam.

Al-Imam As-Syatibi. 2011. al-Muwafaqat. Beirut: Resalah Publishers.

Mujibu Abd Muis, Zaliha Hj. Hussin & Badrul Azmier Mohamed@ Bakar. 2010.          Perubahan Generasi dan Perkembangan Demokrasi di Malaysia Pasca    Pilihan Raya Umum ke-12. Sintok: Institute of Tun Dr. Mahathir Mohamad’s      Thoughts, Universiti Utara Malaysia.

Raja Nazrin Shah. 2012. TITAH DIRAJA: INSTITUSI RAJA BERPERLEMBAGAAN;           KELANGSUNGAN NEGARA BANGSA. Kuala Lumpur:          http://www.isis.org.my/attachments/1280_Raja_Nazrin_Syarahan_Perdana_Bu          daya_07Nov2012.pdf dilayari pada 15hb Okt. 2014.

Nazri Muslim & Ahmad Hidayat Buang. Jurnal Kemanusiaan Bil. 20, Islam Dalam           Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif Hubungan Etnik Di Malaysia.          Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

MOHD IZHAR ARIFF MOHD KASHIM et al. 2012. PENENTUAN CIRI NEGARA   ISLAM MENURUT PEMIKIRAN EMPAT MAZHAB FIQAH. Bangi: Institut         Islam Hadhari

Alias Azhar & Mohamad Azam Hussain. 2012. PERLUASAN SKOP       UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA: APLIKASI DAN IMPLIKASINYA.      Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Badrul Azmier Mohamed et al. 2010. Sejauh Mana Peranan Agama Dalam Politik     Malaysia. Sintok: Institute of Tun Dr. Mahathir Mohamad’s Thoughts,          Universiti Utara Malaysia.

Raja Nazrin Shah. 2008. TITAH DIRAJA: INSTITUSI BERAJA. Kuala Lumpur:        INTAN.https://openlibrary.org/books/OL23537739M/Institusi_Beraja dilayari     pada 16 Okt. 2014

Thomas B. Pepinsky. 2013. Pluralism and Political Conflict In Indonesia. New York:           Cornell University

Abdul Al Ahmad Atwah. 1993. Madkhal Ila Siyasah Syariyah. Riyadh: Imam    Muhammad Ibn Saud University.

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/penafian/1201-demokrasi-berparlimen.html

 

Terjebak Dalam Perangkap ISIS

Standard

Islamic State In Iraq and Syria (ISIS) bukan sahaja memangsakan rakyat Syria dan Iraq, bahkan secara tidak langsung ia turut menjebak warga negara Malaysia ke dalam kancah kekeliruan pemikiran, yang mampu mengancam keselamatan negara.

Menurut satu laporan kajian RAND Corporation, sebuah badan kajian terbesar di Amerika, umat Islam terbahagi kepada beberapa aliran pemikiran seperti aliran tradisional, sufi, liberal, sekular, radikal, fundamentalis, Syiah dan lain-lain. Laporan kajian itu selanjutnya mengesyorkan kepada kerajaan Amerika agar memanfaatkan perpecahan sedia ada ini demi kepentingan Amerika.

Suasana politik dan keselamatan yang tidak stabil di Iraq sejak penjajahan Amerika serta situasi perang saudara di Syria boleh diumpamakan sebagai habitat yang begitu selesa bagi agen-agen keselamatan Amerika untuk menyusup masuk ke dalam gerakan radikal. Penyusupan ini bertujuan untuk menyusun babak-babak perang saudara yang tidak berkesudahan, melalui posisi berpengaruh dalam gerakan radikal terbabit.

Mereka mengeksploitasi slogan-slogan perjuangan pembebasan tanahair dan jihad Islam, sambil melakukan tindakan-tindakan yang mengundang tindak balas keras daripada pelbagai pihak, terutamanya umat Islam sendiri. Hakikatnya, peristiwa itu dirancang untuk mencipta ruang bagi campurtangan dan perluasan hegemoni Amerika.

Kisah Amerika memberi bantuan dan dokongan kepada tentera Taliban di Afghanistan bukan suatu rahsia lagi. Portal berita guardian.com pernah melaporkan bahawa hampir tiada seorang pun orang Afghan yang tidak percaya bahawa Amerika membiayai Taliban untuk memastikan konflik di Afghanistan tidak berakhir, yang menuntut campurtangan Amerika lebih lama di negara malang itu.

Senario Taliban di Afghanistan diulang tayang di Syria, dengan episod yang lebih ganas dan tragis. Sebagaimana medan di Afghanistan pernah menarik beberapa anak muda Malaysia untuk terlibat, begitu juga “jihad” yang dilancarkan oleh ISIS membawa aura yang hampir serupa. Bahkan kali ini dengan menggunakan nama “Khalifah” dan “Negara Islam”.

Slogan indah itu mengocak minda anak muda yang mengimpikan kedaulatan Islam dan pelaksanaan syariah. Semangat anak muda yang tiada bekalan kefahaman yang menyuluh, ditambah pula perasaan kecewa dengan senario perbalahan politik umat Islam di negara ini yang tidak berkesudahan, merupakan faktor-faktor semulajadi yang menyebabkan mereka mudah tergoda dengan slogan “jihad” yang dilaungkan oleh ISIS.

Seorang pemuda pernah bertanya kepada saya, “Tidakkah kita dituntut untuk menegakkan dan mengembalikan kegemilangan Khilafah?”. Pemuda tersebut mengakui menganggotai sebuah gerakan yang sering melaungkan penegakan Khilafah dan menolak sistem demokrasi. Malangnya gerakan berkenaan, yang sering menyebarkan risalah pemikiran mereka di masjid-masjid di negara ini, tidak mempunyai idea yang jelas mengenai wasilah atau kaedah untuk mencapai cita-cita mereka. Kelompongan besar itu mudah sahaja diisi dengan seruan “jihad” ISIS. Ini mangsa ISIS yang pertama.

Amerika bukan sahaja membiayai kumpulan radikal seperti Taliban, bahkan negara kuasa besar itu, menerusi agensi-agensi seperti USAID, NED, NDI dan sebagainya, turut memberi bantuan kewangan dan teknikal secara terang-terangan kepada kelompok yang termakan dengan dakyah media Barat mengenai ISIS. Kelompok ini berasa kagum dan malu kepada dunia Barat yang mereka anggap jauh bertamadun berbanding umat Islam yang sentiasa bergelut dengan masalah perpecahan, peperangan dan keganasan yang tidak berkesudahan. Inilah kelompok kedua, mangsa ISIS di Malaysia.

Mereka sangat percaya bahawa jalan keluar bagi umat Islam daripada kemelut yang dihadapi ialah dengan melaksanakan demokrasi ala Barat yang dicanangkan oleh Amerika. Mereka mahu Malaysia menjadi sebuah negara sekular dan liberal. Sehubungan itu, mereka tanpa segan silu menerima bantuan dan sokongan Amerika, walaupun langkah-langkah mereka boleh meruntuhkan ketuanan umat Islam di bumi sendiri.

Mereka menyerang dan menghentam institusi Islam dan Raja di negara ini. Tindakan penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Agama Islam dicop sebagai Taliban. Pesalah syariah mereka bela. Mereka sanggup bersekongkol dengan pihak yang secara sengaja menyebarkan doktrin bukan Islam di kalangan umat Islam, yang merupakan satu kesalahan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kecelaruan pemikiran yang berlaku ini menuntut tindakan pantas para ulamak dan pendidik untuk menyelamatkan dan membimbing anak muda kita ke arah kefahaman Islam yang syumul dan betul, sebagaimana yang ditunjuk ajar oleh Baginda S.A.W.

Pengaruh Yahudi Dalam Pembenihan Agama Liberal

Standard

Orang-orang Yahudi mendapat faedah besar daripada perubahan yang berlaku di Eropah di zaman kelahiran agama baru, Liberalisme. Halatuju negara yang tidak lagi berasaskan bangsa, agama, keluarga dan keturunan, sebaliknya memandang manusia pada sifat peribadinya sebagai individu masyarakat, telah menyebabkan orang-orang Yahudi diterima sebagai anggota masyarakat Barat seperti orang lain tanpa sebarang perbezaan. Berikut dibentangkan tiga contoh tokoh zaman tersebut, yang memainkan peranan penting memasakkan fahaman baru di era penolakan penguasaan agama oleh gereja, yang menyebabkan negara-negara Eropah dikuasai oleh orang-orang Yahudi pada hari ini.

Benedict Baruch Spinoza

Benedict Baruch Spinoza dilahirkan di Belanda pada 24 November 1632 dan mati pada 21 Februari 1677. Ibu bapanya adalah keturunan kaum Yahudi “Sephardic” yang dipaksa memeluk agama Kristian dan melarikan diri akibat tidak tahan dengan deraan penyiasatan agama (Inquisition), dari Sepanyol ke Portugal, kemudian ke Perancis dan berakhir di Belanda. Setelah kehidupan mereka stabil di Belanda, yang mempunyai suasana yang sedikit terbuka kepada kepelbagaian kaum dan agama, mereka kembali kepada ajaran agama Yahudi. Ayahnya bukan saja seorang peniaga yang berjaya di Belanda, bahkan memegang beberapa jawatan penting dalam agama Yahudi Ortodoks.

Ayah Spinoza mengesan potensi besar pada diri anaknya, lalu menghantar Spinoza mempelajari dan mendalami ilmu agama Yahudi. Spinoza mendalami ilmu Taurat dan Talmud. Dia dilihat oleh komuniti Yahudi di tempat tinggalnya sebagai bakal menjadi seorang pendita pada suatu masa nanti. Bagaimanapun, Spinoza mengecewakan ayahnya, keluarga serta komuniti Yahudi pada masa itu. Spinoza malah mengkritik agamanya sendiri, di samping agama-agama lain.

Ketika berusia 20 tahun, Spinoza mempelajari bahasa Latin daripada seorang guru yang bernama Frances van den Enden. Frances van den Enden seorang graduan Jesuit, “free thinker” dan demokrat radikal, yang dipercayai mempengaruhi Spinoza untuk mempelajari falsafah moden, termasuk falsafah Descarte. Sedekad selepas itu, Frances van den Enden dikategorikan sebagai atheist dan bukunya disenaraikan sebagai buku yang diharamkan oleh penguasa Gereja Katholik.

Spinoza mengetuai satu kumpulan diskusi mengenai falsafah dan ketuhanan. Mereka menjadikan falsafah Descarte sebagai bahan perbincangan. Lama-kelamaan, Spinoza mula membangunkan ideanya sendiri. Dia mengarang beberapa tulisan, antaranya “A Short Treatise on God”, “Man and his Well-Being” dan “On The Improvement of the Understanding”. Kemuncak karyanya ialah “Ethics”, yang menjadi salah satu rujukan utama fasafah Barat pada hari ini. Spinoza dianggap ahli falsafah ulung, jauh berbeza daripada ahli falsafah lain, kerana asas pandangan sarwajagatnya yang bertentangan secara total daripada ahli falsafah Barat yang lain.

Spinoza berpendapat bahawa kitab Taurat bukan tulisan Nabi Musa. Dia berpendapat bahawa kitab-kitab suci hendaklah dibaca sebagaimana manusia membaca buku-buku sejarah. Kitab-kitab itu tidak lain hanyalah warisan catatan orang-orang terdahulu yang perlu dibaca secara kritis dan tidak terlepas daripada kelemahan seorang manusia. Orang-orang terdahulu menulis catatan-catatan yang bersifat khayalan untuk memudahkan pengikut yang terdiri daripada orang-orang awam untuk memahami dan mentaati ajaran agama mereka. Orang-orang awam tidak mempunyai keupayaan berfikir seperti mana yang dimiliki oleh ahli falsafah.

Spinoza boleh dikategorikan sebagai “deist” yang berpegang bahawa untuk mengenal Tuhan tidak perlu kepada wahyu, cukup dengan akal yang memerhati dan mengkaji alam tabii. Spinoza juga dikenali sebagai pelopor “pantheist” (Wehdatul Wujud) di dunia Barat kerana menganggap bahawa Tuhan dan alam tabii ini adalah satu.

Spinoza juga adalah seorang “atheist” kerana berpegang pada konsep bahawa Tuhan itu tidak mempunyai personaliti dan kesedaran, tidak punyai kebijakan dan perasaan, mahupun kehendak. Segala yang berlaku dalam alam ini adalah berdasarkan dan mengikut undang-undang alam yang juga disebut oleh Spinoza sebagai Tuhan.

Spinoza menganggap bahawa matlamat kehidupan manusia ialah untuk mencapai kebahagiaan dan kemuliaan. Untuk mencapai matlamat itu, maka akal adalah satu-satunya wasilah yang membolehkan manusia mencapai matlamat tersebut. Oleh yang demikian, Spinoza meletakkan rasionalisme sebagai manhaj hidup manusia untuk mencapai kebahagiaan dan kemuliaan sejati.

Spinoza berpendapat bahawa undang-undang Tuhan tidak menuntut perlaksanaan upacara penyembahan. Oleh itu, pada pendapat Spinoza, upacara dan ritual tiada kena mengena dengan keberkatan. Selain kecintaan dan ketaatan, penyembahan kepada Tuhan hanyalah mengandungi keadilan dan kebajikan, atau kasih sayang seseorang terhadap jirannya.

Spinoza berpendapat bahawa kepercayaan seseorang itu tidak penting untuk dinilai atau dihukum sama ada betul atau tidak. Katanya, “keimanan tidak menuntut dogma itu mesti benar, seperti ia menuntut mereka mesti bertakwa”.

Akibat daripada pegangannya yang antithesis atau secara mudahnya disebut sebagai menongkah arus, maka seluruh komuniti Yahudi di Amsterdam pada masa itu, termasuk ahli keluarganya sendiri, telah memulaukannya atas hukuman yang dijatuhkan oleh para penguasa agama Yahudi ketika itu. Keadaan ini bukan satu perkara yang pelik, kerana sebelum Spinoza, Uriel da Costa, seorang Yahudi yang mencabar kesahan Taurat sebagai wahyu juga telah menerima hukuman yang sama. Da Costa menamatkan nyawanya dengan membunuh diri kerana tidak tahan dengan hukuman pemulauan itu.

Fahaman “naturalism” Spinoza menyebabkan dia mempunyai pandangan yang radikal terhadap isu pemerintahan, terutamanya yang berkaitan dengan hak, tanggungjawab dan perundangan. Berdasarkan fahaman ini, Spinoza menolak konsep ketinggian Tuhan yang dipegang oleh masyarakat Barat pada masa itu. Spinoza melihat Tuhan dan nature itu satu. Tuhan itu sendiri adalah nature. Tuhan bukan pihak yang lebih tinggi daripada manusia. Tuhan bukan pihak pembuat undang-undang yang mesti dipatuhi oleh manusia.

Oleh itu, menurut Spinoza, dakwaan bahawa pemerintahan raja dan gereja pada masa itu adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Tuhan adalah suatu perhiasan semata-mata untuk menundukkan rakyat kepada pemerintah. Pegangan Spinoza ini bukan sahaja satu penghinaan terhadap pihak berkuasa yang mempertahankan konsep pemerintahan raja yang mendapat kuasa daripada Tuhan, malah ia mencabar asas struktur masyarakat dan pemerintahan pada masa itu. Menurut Jonathan Israel, Spinoza mahu agar komunitinya meninggalkan agama mereka, tetapi oleh kerana ia adalah satu matlamat yang hampir mustahil, maka dia mengambil pendekatan untuk melemahkan kepercayaan masyarakat pada pihak berkuasa agama pada masa itu.

Spinoza berpendapat praktis zahir boleh dipaksa dan boleh disekat, tetapi kepercayaan seseorang tidak boleh dipaksa. Pegangannya ini satu bentuk jalan keluar daripada krisis pertembungan agama yang berpunca daripada prinsip tiada toleransi gereja terhadap agama lain pada masa itu. Mereka yang tidak beragama Kristian atau tidak bermazhab sama dengan mazhab gereja pemerintah, akan membiasakan diri dengan kemunafikan untuk mengelakkan daripada dikenakan tekanan dan tindakan. Bagaimanapun, Spinoza menuntut bahawa kebebasan bersuara adalah satu-satunya aksi yang tidak boleh disekat oleh mana-mana pemerintah. Ini kerana kebebasan bersuara adalah satu-satunya peluang untuk Spinoza menyuntik fahamannya secara perlahan-lahan dan konsisten, walaupun praktis zahir masih lagi didominasi oleh aliran gereja majoriti.

Kaum Yahudi merupakan salah satu golongan minoriti yang dibenci oleh pemerintahan raja dan gereja di sepanjang zaman gelap Eropah, seperti yang jelas kelihatan pada sejarah kehidupan nenek moyang Spinoza sendiri. Fahaman Spinoza yang berpaksikan “naturalism”, “pantheism”, “atheism”, “rasionalism”, “deism” dan penolakan terhadap autoriti kitab suci akhirnya berjaya mencairkan jatidiri ortodoks yang ada pada sebahagian besar komuniti Yahudi, tetapi lama selepas kematiannya. Pencairan jatidiri dan kemunafikan ini membantu orang-orang Yahudi keluar daripada gaya hidup terpencil kepada mengasimilasikan diri ke dalam masyarakat Eropah dan seterusnya mengambil posisi-posisi berpengaruh dalam politik, ekonomi, sosial dan budaya negara.

Pendekatannya bukan sahaja mencabar struktur autoriti pihak agama, malah melemahkan pegangan agama masyarakat Barat. Terbukti selepas pemergiannya, masyarakat Eropah menolak autoriti gereja, beralih kepada kehidupan tanpa agama, memperjuangkan kesamarataan dan kebebasan individu. Serentak dengan kecairan jatidiri Kristianiti masyarakat Eropah, nasib kaum Yahudi turut berubah daripada bangsa yang sentiasa ditekan sebagai minoriti berlainan agama kepada satu bangsa yang bukan sahaja menyertai pemerintahan negara sekular (negara tanpa agama) bahkan menguasai perjalanan politik negara-negara Eropah khususnya hingga ke hari ini. Walaupun fahaman beliau ditolak pada mulanya, sehingga dia dipulau oleh kaumnya sendiri, tetapi hari ini beliau disanjung sebagai bapa sekularisme Yahudi moden.

John Locke

John Locke dilahirkan pada bulan Ogos, 1632, di Wrington, Somerset, England. Kedua ibu bapanya adalah daripada kumpulan Puritan, yang merupakan salah satu kumpulan Protestan. Puritan menggabungkan ajaran “Old Testament” dan “New Testament” dengan meletakkan orang Yahudi sebagai umat pilihan bagi memakmurkan muka bumi. Ini disebabkan puak-puak Puritan, berpegang dengan janji penurunan semula Jesus Christ setelah orang-orang Yahudi masuk ke agama Kristian dan dihimpun dalam satu negara. Negara yang kemudiannya mereka kenal pasti di Palestin, sebagai tempat nenek moyang orang-orang Yahudi. Puritan menggalakkan pelajaran ke atas anak-anak mereka agar mereka boleh membaca dan memahami sendiri kandungan Bible tanpa bergantung pada bantuan paderi. Puritan adalah mazhab yang menolak peranan “orang tengah” paderi-paderi gereja, sebaliknya setiap individu dilahirkan tidak bersalah dan berupaya membuat pilihan sendiri.

Bapa John Locke seorang peguam dan pernah berkhidmat sebagai kapten semasa Perang Saudara British. Oleh kerana bapa Locke mempunyai hubungan dan wala’ dengan kerajaan Inggeris, maka Locke mendapat laluan pelajaran yang istimewa. Pada tahun 1647, dia memasuki sekolah Westminster di Kota London. Di sini dia memperoleh anugerah cemerlang King’s Scholar, yang diberikan hanya kepada beberapa orang pelajar terpilih, yang memudahkan kemasukan Locke ke Kolej Christ Church, Universiti Oxford pada tahun 1652. Semasa di Christ Church, Locke tenggelam dalam pengajian ilmu logik dan metafizik, selain bahasa klasik. Dia kekal berada di Oxford sebagai tutor sehingga memperoleh Master of Arts dan Bachelor of Medicine. Pada tahun 1668, dia dilantik sebagai felo “Royal Society”.

John Locke mengenali Lord Anthony Ashley Cooper atau Lord Ashley (yang kemudiannya menjadi 1st Earl of Shaftesbury) pada tahun 1666 semasa tempoh pengajiannya dalam bidang perubatan. Lord Ashley adalah seorang “Crypto-Jew”. Mereka berdua menjadi sangat rapat. Lord Ashley yang boleh dianggap sebagai mentor Locke berjaya mempengaruhi Locke untuk berpindah ke London dan menjadi doktor peribadinya, walaupun ketika itu Locke tidak mempunyai ijazah kedoktoran. Lord Ashley kemudiannya memegang jawatan tinggi dalam politik, bermula dengan Earl of Shaftesbury yang pertama, sehinggalah dilantik sebagai Chancellor. Dia merupakan salah seorang watak politik terpenting di England pada masa itu. Locke kekal membantu kerjaya politik dan bisnes Lord Ashley di sepanjang tempoh itu.

Pengaruh Lord Ashley ke atas Locke tidak boleh dipandang sepi. Lord Ashley merupakan salah seorang pengasas Parti Whig yang memperjuangkan konsep Raja Berperlembagaan yang selari dengan fahaman yang dibawa oleh Locke. Para pemimpin Parti Whig mengambil falsafah Locke sebagai pegangan pendirian parti mereka yang berdepan dengan Parti Tory.

Lord Ashley juga berminat dan terlibat dengan operasi penjajahan apabila dilantik sebagai Lords Proprietor ke atas wilayah Jajahan Carolina. Lord Ashley dan Locke bekerjasama menulis dan menyusun deraf Fundamental Constitutions of Carolina. Perkara 97 dalam perlembagaan tersebut, yang dipercayai dikarang sepenuhnya oleh Locke, memberi nafas kepada puak-puak yang menentang ajaran Gereja seperti Yahudi, pagan dan lain-lain. Mereka bukan saja diberi jaminan untuk wujud, bahkan diberi hak sivil dan politik. Mana-mana tujuh orang atau lebih yang bersetuju atas satu agama, maka mereka dibenarkan untuk mendirikan sebuah rumah ibadat dengan nama khas untuk membezakan mereka daripada orang lain.

Bagaimanapun, perlembagaan yang sama memperuntukkan perkara yang mengatur sistem bangsawan dengan gelaran “Landgraves”, serta sistem perhambaan. Oleh kerana itu bukan suatu yang pelik jika dikatakan bahawa John Locke bersama Lord Ashley mempunyai saham dalam dua syarikat yang mengimport hamba-hamba dari benua Afrika; The Royal African Company dan The Bahamas Island.

“Two Treatises of Government” merupakan karangan Locke yang dianggap idea revolusi terhadap minda orang-orang Eropah pada masa itu. Karangan itu, yang memberi tumpuan dan mengupas mengenai hak-hak tabii seseorang manusia dan kontrak sosial, disusun oleh Locke sebagai bahan intelek sokongan terhadap politik Lord Ashley yang semakin meningkat pada masa itu. Idea yang dibawa oleh Locke dalam karangan ulungnya itu bukan saja mencipta gelombang perubahan di England, bahkan menjadi asas intelek kepada pembentukan negara Amerika dan revolusi Perancis.

Pada tahun 1683, Locke melarikan diri ke Belanda, menyertai Lord Ashley yang lebih dahulu berbuat demikian bersama beberapa rakan politiknya. Mereka terpaksa melarikan diri kerana dituduh bersubahat merancang pembunuhan Raja Charles II dan pewaris takhtanya, iaitu adiknya Raja James. Lord Ashley, John Locke dan rakan-rakan daripada Protestan, terutamanya Puritan, tidak bersetuju Raja James sebagai pewaris takhta, kerana Raja James menganut Roman Katholik yang berpegang pada sistem Raja mutlak. Jika Raja James menaiki takhta, puak-puak Protestan akan kehilangan cengkaman ke atas kerajaan England pada masa itu. Wajar disebut bahawa Lord Ashley pada masa itu merupakan salah seorang daripada lima Menteri Cabal, menteri-menteri kanan yang menguasai kerajaan di sebalik Raja.

Locke mengarang buku “An Essay Concerning Human Understanding” ketika berada di Belanda. Bagaimanapun ia hanya diterbitkan setelah dia kembali ke England pada tahun 1688. Selepas kejatuhan Raja James II, parti yang diasaskan oleh Lord Ashley iaitu parti Whigs mengambil alih tampuk pemerintahan England. Tahun itu dikenali sebagai “Glorious Revolution of 1688”, satu peristiwa yang merubah politik England buat selama-lamanya, yang mengalihkan imbangan kuasa dari takhta Raja kepada Parlimen. Sejak itulah, Locke dianggap sebagai hero buat kebanyakan orang di England.

Selain daripada “Essay” dan “Two Treatises”, Locke menghasilkan beberapa buah tulisan selepas kembali ke England, termasuk “A Letter Concerning Toleration”, “The Reasonableness of Christianity” dan “Some Thoughts Concerning Education”.

Dalam “A Letter Concerning Toleration”, Locke menyatakan bahawa punca utama kepada pertembungan sosial ialah sifat tidak toleran gereja sesama mereka dan terhadap orang lain. Toleransi di sisi Locke berasaskan hak dan tanggungjawab individu untuk menyelamatkan dirinya melalui ibadah yang diterima tuhan. Oleh itu Locke berpendapat orang-orang “atheist” tidak boleh dilayan dengan toleransi kerana mereka tidak boleh dipercayai. Toleransi di sisi Spinoza pula berasaskan kebebasan bersuara dan berfikir. Oleh itu isu “atheist” tidak relevan di sisi Spinoza, kerana yang penting ialah taqwa, bukan betul atau tidak cara ibadah. Pada pandangan Jonathan Israel, Spinoza radikal, manakala Locke moderat. Sepintas lalu, ia seolah-olah betul. Bagaimanapun, jika kita menganalisis polisi toleransi Locke, ternyata pandangan Jonathan Israel kurang tepat.

Dua kalimah yang penting dalam polisi toleransi Locke ialah “own” dan “teach”. Maksudnya ialah Locke menuntut setiap agama menjadikan toleransi sebagai sebahagian daripada ajaran agama (own) dan mengajarkannya kepada semua manusia (teach). Sebenarnya Locke menggunakan teori perbezaan antara “inward belief” dan “outward action”, yang turut dikongsi oleh Spinoza, untuk mewajibkan aksi mempromosi toleransi dalam doktrin agama (yang merupakan satu “outward action”) yang dengan berlalunya masa akan merubah secara drastik “inward belief” iaitu kebenaran bukan hanya milik kumpulan atau mazhabnya sahaja. Oleh itu, hasil di penghujung falsafah toleransi Locke sebenarnya adalah sama dengan hasil falsafah Spinoza, yang meruntuhkan benteng kepercayaan keagungan agama masing-masing. Perbezaannya hanyalah falsafah toleransi Locke lebih lunak berbanding Spinoza.

Pendirian Locke terhadap orang-orang Yahudi pada awalnya tidak begitu ketara, apabila dia hanya merujuk orang-orang Yahudi sebagai “Non-Christians”. Bagaimanapun, setelah dia terlibat dalam politik bersama Lord Ashley, pendiriannya lebih lunak berbanding sikap kerasnya terhadap orang-orang Kristian Penentang Protestan. Dia secara langsung menyebut bahawa orang-orang Yahudi adalah satu komuniti berasingan yang mempunyai keperluan keagamaan dan undang-undang yang spesifik. Hujah Locke ialah orang-orang Kristian Penentang Protestan boleh menimbulkan keadaan tidak stabil dalam negara, berbanding orang-orang Yahudi.

Sejak ditindas oleh kerajaan Kristian Eropah selepas kejatuhan kerajaan Islam Andalus, orang-orang Yahudi terpaksa menyembunyikan identiti diri dan berkelana melarikan diri. Ketua Rabbi Amsterdam, Manesseh Ben Israel, menyimpulkan bahawa orang-orang Yahudi tidak selamat hidup di timur Eropah. Mereka lebih selamat tinggal di barat Eropah, khususnya bersama dengan orang-orang Puritan. Manesseh Ben Israel kemudiannya menulis sebuah pamplet yang bertajuk “Hope of Israel”, yang mencadangkan agar orang-orang Yahudi berpindah ke England.

Selepas itu, bermulalah penulisan artikel-artikel yang menyeru ke arah penubuhan sebuah negara Yahudi, oleh kalangan tokoh-tokoh terkemuka England seperti John Milton dan John Locke. Pada tahun 1689, kebersamaan Locke dengan nasib orang-orang Yahudi ini semakin kuat, apabila dia menyeru ke arah integrasi sepenuhnya orang-orang Yahudi ke dalam negara England, dalam “A Letter Concerning Toleration”, sebagai satu aspirasi penubuhan sebuah negara Yahudi.

Sayugia diambil perhatian bahawa Manesseh Ben Israel adalah guru Baruch Spinoza yang mengajarnya membaca Taurat dan Talmud. Menurut Dr. Rebecca Newberger Goldstein, seorang Yahudi dan pakar falsafah yang mendalami pemikiran Spinoza, mengatakan bahawa ketika Locke berada di Belanda, dia memilih rakan-rakannya di kalangan “freethinker” Protestan yang membincangkan idea-idea Spinoza. Pada masa itulah dikatakan bahawa Locke membaca hasil ulung Spinoza, “Ethics”, sehingga jelas terdapat pengaruh pemikiran Spinoza pada karangan Locke selepas itu.

Manakala keturunan Lord Ashley, iaitu 7th Earl of Shahftesbury (1801-1885) adalah salah seorang tokoh yang bekerja keras mengusahakan sebuah negara bagi orang-orang Yahudi. Dialah yang memasyhurkan slogan, “A land without a people for a people without a land”. Kemuncak usaha ini ialah Perjanjian Balfour bagi merampas tanah Palestin untuk dinobatkan sebagai negara Israel. Amat jelas sekali, John Locke secara pegangan peribadi adalah berasal daripada Puritan, bekerja pula dengan Lord Ashley yang bukan sahaja seorang Crypto-Jew, bahkan seorang perancang yang meninggalkan legasi Christian Zionism yang menguasai kerajaan British, yang merupakan tulang belakang kepada agenda penjajahan Zionis ke atas bumi Palestin.

Immanuel Kant

Immanuel Kant dilahirkan di Koenigsberg, Prusia Timur, pada tahun 1724 dan mati pada tahun 1804. Beliau adalah seorang ahli falsafah yang bertugas sebagai seorang pensyarah dalam bidang epistemologi, metafizik, cosmogoni dan sebagainya. Hasil karangan utamanya ialah “Critique of Pure Reason”, yang merupakan asas falsafahnya diterbitkan pada 1781. Hasil tulisan lain ialah “Prolegomena to Every Future Metaphysic” yang merupakan usaha untuk menerangkan lebih lanjut tentang tulisan “Critique of Pure Reason”. “The Critique of Practical Reason” dan “Critique of Judgment” pula diterbitkan pada 1790, “Religion Within the Limits of Reason Alone” pada 1793, dan “Foundation of the Metaphysics of Morals” pada 1797.

Fenomena menolak campur tangan Tuhan dan rasionalisme yang mula dipertuhankan oleh Barat pada masa itu telah menyebabkan mereka kehilangan asas moral dan akhlak, kerana segala-galanya bergantung pada penerimaan akal semata-mata dalam menafsirkan sesuatu perbuatan atau fenomena. Ini mendorong Kant untuk menulis “ Critique of Pure Reason”. Dia menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk menafikan kemutlakan kuasa pengetahuan demi memberi ruang kepada keimanan. Kant tidak mahu kewujudan Tuhan dinafikan, walaupun Tuhan itu tidak boleh didemonstrasikan kewujudannya. Selepas mengkritik pendekatan “demonstrative knowledge” yang menafikan kewujudan Tuhan yang tidak dapat dilihat mata kasar, dia mengasaskan teori bahawa kewujudan Tuhan itu boleh dibuktikan dengan teori pengetahuan berasaskan sebab musabab (reason theory of knowledge). Ini bermakna isu ketuhanan tetap tertakluk di bawah undang-undang sebab musabab yang boleh diterima akal (rationalized).

Bagaimanapun, agama di sisi Kant hanyalah berkenaan etika moral semata-mata, tiada kena mengena dengan undang-undang kehidupan yang diturunkan dari langit. Ia tidak bermaksud Tuhan memperturunkan undang-undang moral sekalipun. Ia hanyalah satu situasi “kehidupan bertuhan” semata-mata, bagi memenuhi tuntutan kemuncak kebaikan yang mesti dicapai oleh manusia (summum bonum). Sehubungan itu, Kant menyimpulkan bahawa agama yang benar ialah agama bersifat etika, yang bermaksud sempadan kedaulatan dan penguasaan Tuhan adalah bersekitar persoalan etika. Fahaman agamanya ini bertentangan dengan fahaman agama bergantung pada golongan agama atau “clericalism”.

Kant mempercayai bahawa agama Kristian merupakan agama yang lebih dekat dengan agama etika berbanding agama Yahudi. Dia melihat agama Yahudi sebagai suatu agama yang lebih dicorakkan oleh faktor bangsa dan politik. Oleh sebab itu agama Yahudi gagal memenuhi keperluan jiwa dan etika moral, bahkan Kant menyifatkan orang-orang Yahudi sebagai bangsa yang suka menipu dan menganggap bangsa lain sebagai haiwan. Agama orang-orang Yahudi, menurut Kant, lebih mementingkan dunia, kurang memberi penekanan tentang kehidupan abadi, hanya menuntut beberapa upacara dan ketundukan kepada beberapa peraturan zahir.

Bagaimanapun, pandangan kritikal Kant terhadap agama Yahudi tidak memberi kesan kepada hubungan peribadinya dengan orang-orang Yahudi, terutama di kalangan mereka yang mula longgar pegangan agama Yahudinya. Lebih menarik, terdapat semacam kesamaan antara Kant dan golongan Yahudi Liberal (juga disebut sebagai “Reform Judaism”). Sisi luar Yahudi Liberal ialah intipati agama hanyalah sistem etika moral semata-mata. Perkara ini boleh didapati dalam falsafah agama Kant yang menghuraikan konsep agama Yahudi mereka secara tidak langsung. Falsafah menghubungkan agama dengan etika moral semata-mata ini merupakan hubungan kuat antara kedua-dua pihak; Kant dan pendokong Yahudi Liberal.

Falsafah agama etika Kant berbeza daripada agama Yahudi klasik dari sudut sumber. Falsafah agama etika Kant bersumberkan “reason”, melalui kata-katanya yang masyhur, “religion within the limits of reason alone”. Agama diasaskan pada “reason”. Sehubungan itu, agama yang benar itu bersifat warisan yang boleh saja dimiliki oleh sesiapa sahaja berasaskan kapasiti rasionalnya yang diwarisi. Manakala Yahudi klasik berpegang bahawa sumber etika ialah Tuhan. Etika tidak diasaskan pada “reason”, tapi pada kehendak Tuhan. Kehendak Tuhan yang tidak diberitahu dalam tempoh yang berpanjangan, sebaliknya dalam tempoh waktu yang terhad ketika penurunan wahyu, satu pegangan yang ditolak mentah-mentah oleh Kant.

Bagaimanapun Kant tetap mempunyai ramai pengikut daripada kalangan orang-orang Yahudi, bahkan ada di kalangan mereka yang adalah ahli falsafah. Ini tidak menghairankan, kerana mereka merupakan golongan yang “membebaskan” diri daripada kongkongan tradisi agama Yahudi, yang menganggap bahawa agama itu mestilah suatu yang boleh diterima akal (rationalized), berbentuk etika-etika (ethicized) dan bersifat universal (universalized). Mereka mengikut Kant bukan untuk mencari formula tulen dalam falsafah Kant yang boleh mengungkapkan agama Yahudi (menurut selera mereka), yang pasti mereka tidak akan menjumpainya, tetapi mereka hanya mahu menafsirkan agama mereka dalam bentuk yang selari dengan falsafah agama etika Kant, sebagai satu bentuk sandaran.

Kant menolak konsep negara bangsa, sebaliknya dia menganjurkan konsep negara antarabangsa. Inilah rahsia yang cuba diungkapkan oleh Yoram Hazony, wartawan penyelidik daripada Shalem Center yang beribupejabat di Jerusalem, berkenaan fenomena kebencian yang ditunjukkan oleh orang-orang Barat terhadap negara Israel. Menurut Hazony, kisah “holocaust” dari satu paradigma mendesak keperluan wujudnya negara Israel untuk melindungi orang-orang Yahudi agar konsep “Never Again” terlaksana. Bagaimanapun, wujud satu lagi paradigma orang-orang Eropah terhadap “holocaust” dan menggunakan konsep “Never Again” juga, iaitu keperluan mendesak untuk menghapuskan konsep negara bangsa seperti negara Jerman Nazi yang menjadi penyebab kepada “holocaust”. Jangan ada lagi negara seperti ini. Israel adalah satu konsep negara bangsa yang berbahaya, yang berpotensi mengulangi perbuatan jahat Hitler. Paradigma ini selari dengan falsafah negara antarabangsa Kant.

Kant berpendapat bahawa keamanan sejagat yang berkekalan hanya dapat dicapai apabila kesemua negara bersatu dalam satu bentuk persekutuan (federalism) atau kesatuan (union). Cara ini dapat menyelesaikan segala konflik melalui proses sivil serta dapat menghindarkan peperangan. Evolusi sosial yang berlaku tidak dapat mengelak daripada berlakunya liga negara-negara antarabangsa. Walaupun konsep negara antarabangsa ini belum pernah berlaku dalam sejarah umat manusia, Kant menegaskan ia perlu dicita-citakan. Hanya satu sahaja halangan kepada cita-cita ini, iaitulah ketegaran identiti sesuatu bangsa atau agama yang menjadi punca pertelingkahan dan peperangan. Oleh sebab itu Kant mengesyorkan konsep negara antarabangsa yang tidak berasaskan bangsa, manakala agama yang benar pula merupakan nilai-nilai murni sejagat yang boleh diterima akal dan bersifat milik semua manusia.

Penutup

Berdasarkan pengalaman tokoh zaman pencerahan di atas, fenomena orang-orang Yahudi lari daripada landasan agama asal mereka, seperti mana yang dimulakan oleh Spinoza, bertujuan untuk mencairkan identiti agar dapat mengasimilasikan diri ke dalam masyarakat Barat, sebagai pra syarat untuk menguasai pos-pos penting polisi antarabangsa dan pembuatan dasar negara. Kejayaan mereka dibantu dan dimudahkan pula oleh fenomena kecairan jatidiri agama bangsa Eropah dan promosi toleransi yang menyebabkan bangsa Yahudi tidak lagi diburu dan ditindas.

Yahudi adalah agama bangsa, oleh sebab itu kecairan ajaran agama Yahudi jelas tidak menghilangkan kewujudan bangsa Yahudi. Oleh sebab itu, zaman pencerahan di Eropah akhirnya membawa kepada pembentukan negara Israel di Palestin dengan dokongan negara Barat. Ia adalah agenda “Crypto-Jew”, yang berjaya mengeksploitasi era kebangkitan masyarakat Eropah menentang kezaliman dan kesesatan gereja untuk kepentingan masa depan mereka. Kecairan jatidiri bangsa lain digunakan oleh kaum Yahudi untuk menguasai perjalanan politik antarabangsa.

Rujukan:

Abdul Aziz Mustafa Kamil. معركة الثوابت بين الإسلام واليبرالية ، كتاب البيان

Jonathan Craig Walmsley. “John Locke Natural’s Philosophy (1632-1671)”. King’s College London, 1998.

Nabil I. Matar. John Locke and The Jews. Journal of Ecclesiastical History, Vol. 44, No. 1, January 1993

Munzir Syabani. سبينوزا واللاهوت . منشورات وزارة الثقافة . الهيئة العامة السورية للكتاب ، 2009

Gorham, Geoffrey A. (2011) “Spinoza, Locke, and the Limits of Dutch Toleration,” Macalester International: Vol. 27, Article 12. Available at: http://digitalcommons.macalester.edu/macintl/vol27/iss1/12

Peace Plans of Rousseau, Bentham, and Kant, http://www.san.beck.org/GPJ15-Rousseau,Kant.html

http://mfa.gov.il/MFAAR/InformationaboutIsrael/TheJewishReligion/ChildrenOfAbraham/Pages/Judaism%20and%20modernity%20-Western%20Europe.aspx

http://www.elshaab.org/news/138573/وعد-بلفور-قراءة-فى-الصهيونية-المسيحية

http://www.pflp-lb.org/news.php?go=fullnews&newsid=1210

http://www.turess.com/alchourouk/147544

http://www.elmessiri.com/encyclopedia/JEWISH/ENCYCLOPID/MG6/GZ2/BA04/MD01/M0055.HTM

http://nama-center.com/ActivitieDatials.aspx?id=120

http://britam.org/now/916Now.html

http://fivebooks.com/interviews/jonathan-israel-on-enlightenment

http://jbuff.com/c123004.htm

http://www.leaderu.com/common/british.html

http://christianhegemony.org/christian-zionism

http://plato.stanford.edu/entries/spinoza-political/

http://en.wikipedia.org/wiki/Baruch_Spinoza

http://dlibrary.acu.edu.au/staffhome/siryan/academy/theory_history/enlightenment.htm

http://www.thegreatdebate.org.uk/Voltaire.html

http://www.cliffsnotes.com/literature/c/candide/francois-voltaire-biography

http://www.biography.com/people/voltaire-9520178#synopsis

http://en.wikipedia.org/wiki/Age_of_Enlightenment

http://www.khayma.com/kshf/m/3lmaneeah.htm

http://www.egs.edu/library/benedict-baruch-spinoza/biography/

http://www.balfourproject.org/shaftesbury-by-mary-grey

http://oregonstate.edu/instruct/phl302/distance_arc/locke/locke-slavery-lec.html

http://www.jewishvirtuallibrary.org/jsource/judaica/ejud_0002_0011_0_10705.html

http://www.danielpipes.org/8771/immanuel-kant-vs-israel