Isi Khutbah Eidul Fitri 1439H / 2018M

Standard

WAHAI SAUDARA-SAUDARIKU YANG DIRAHMATI ALLAH,

Takbir yang dilaungkan pada pagi yang mulia ini, untuk menzahirkan semangat kemenangan kita. Kemenangan melawan hawa nafsu, dalam menunaikan puasa sebulan Ramadan, solat terawih saban malam, tadarus al-Quran dan sebagainya.

Tetapi kita ditakdirkan hidup, dalam zaman umat Islam di seluruh dunia ditindas, dipandang hina, dituduh pengganas, dihalau dari tanah air sendiri dan pelbagai peristiwa yang mencabar. Semangat kemenangan Ramadan yang kita sambut hari ini, turut diiringi situasi sukar di kebanyakan negara umat Islam. Tanah warisan nenek moyang kita ini juga turut tidak terkecuali.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG SAYA HORMATI

Negara kita adalah negara beragama. Bukan negara sekular. Bukan sahaja Perkara 3 (1) yang menyebut Islam sebagai agama persekutuan, malah Perkara 8 (5) (B), Perkara 11 (4), Perkara 12 (2) & (4), Perkara 32, Perkara 121 (1A), Perkara 150 (6A) dan banyak lagi peruntukan perlembagaan, yang menunjukkan betapa negara ini agamanya ialah Islam.

Peruntukan perlembagaan yang begitu banyak ini sudah terang lagi bersuluh menunjukkan bahawa negara ini bukan negara sekular.

Tidak cukup dengan itu, wujudnya pelbagai institusi kerajaan berkaitan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Jabatan-jabatan agama, Jabatan-jabatan mufti dan Mahkamah-mahkamah Syariah, adalah bukti bahawa agama Islam dalam negara ini ada kuasa, walaupun tidak menyeluruh.

Hakikat ini amat bertentangan dengan fahaman sekular, yang intipatinya ialah pegangan bahawa negara tidak boleh beragama dan agama dalam negara tidak boleh ada kuasa.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT, SEMOGA ALLAH RAHMATI KALIAN

Pada hari ini, golongan yang menentang konsep negara beragama ini semakin berkembang dan semakin berpengaruh. Fahaman sekular semakin mereka promosikan, secara terang-terangan. Bukan sahaja melalui ungkapan-ungkapan yang menyatakan bahawa mereka mahukan negara sekular, malah kenyataan-kenyataan mereka dalam menyanggah fungsi institusi-institusi Islam yang disebutkan tadi.

Mereka sentiasa menggunakan pelbagai alasan kelemahan pentadbiran untuk melancarkan perang persepsi terhadap institusi-institusi Islam ini. Bukan sahaja mereka beraksi di medan tempatan, malah sudah sampai ke tahap lobi antarabangsa, melalui pertubuhan yang pernah diisytiharkan haram oleh Kementerian Dalam Negeri sebelum ini, iaitu Comango.

Berdepan dengan majoriti rakyat yang beragama Islam, yang rata-ratanya masih mempunyai sentimen keagamaan yang kuat, golongan pendakyah sekular ini cuba memberikan alasan bahawa kebebasan individu setiap orang sepatutnya tidak boleh diganggu oleh sesiapa, termasuk institusi-institusi Islam.

Bagi mereka, kebebasan individu mesti diangkat dan diutamakan, mengatasi tuntutan agama dan kuasa institusi Islam. Fahaman kebebasan individu sebeginilah intipati fahaman liberal.

Pendek kata, seruan liberal yang mengagungkan kebebasan individu mengatasi kuasa institusi Islam ini, dijadikan alat serangan pemikiran agar masyarakat Islam boleh menerima konsep negara sekular, yang tiada lagi agama bagi negara. Fahaman liberal dan fahaman sekular bertemu pada satu noktah; bahawa agama itu hanya bersangkutan soal peribadi. Agama tiada ruang mengatur kehidupan masyarakat dan bernegara.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG SAYA KASIHI SEKELIAN

Serangan pemikiran liberal dan sekular ini amat berbahaya. Usaha pihak musuh untuk mengubah identiti negara kita yang berteraskan Islam dan Melayu ini bukanlah usaha yang boleh dipandang remeh, namun masalah sebenar yang kita hadapi ialah diri kita sendiri. Masalah kita ialah kita meninggalkan prinsip ajaran Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Sifat asal umat Islam ialah bersatu dan berpadu pada titik tauhid. Oleh sebab itu Allah Taala mengiringi kesatuan dan perpaduan pada titik tauhid ini, dengan amaran agar jangan berpecah belah.

Firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran ayat 103:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai”

Bahkan, umat nabi-nabi terdahulu dan umat Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan sebagai umat yang satu, atas dasar agama tauhid, sehinggakan Allah Taala mengungkapkan “umat yang satu itu” dengan ungkapan “agama yang satu”.

Buktinya ialah firman Allah Taala dalam Surah al-Anbiya’ ayat 92:

Maksudnya: “Sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.”

Para ulama, termasuk Al-Allamah Muhammad Tohir Ibnu Asyur, menegaskan dalam kitab tafsirnya bahawa:

“Perkataan umat (dalam ayat yang dibacakan tadi) bererti agama”, maka terjemahannya sepatutnya begini, “Sesungguhnya inilah agama kamu, agama yang satu…”

Begitu sekali agama ini memberikan sifat kesatuan dan perpaduan bagi umat ini.

Bagaimanapun, keadaan realiti tidak begitu. Umat Islam bukan sahaja berpecah kepada pelbagai kelompok dan fahaman, malah bergaduh dan bersengketa sesama sendiri, terutamanya dalam medan politik dan pemikiran. Persengketaan politik dan pemikiran sesama kita begitu sengit, sehingga sampai ke tahap membuka peluang kepada orang luar untuk mengambil kesempatan. Benarlah firman Allah Taala dalam Surah al-Anfal ayat 46, yang telah memberi amaran bahawa perpecahan umat Islam akan melumpuhkan kekuatan mereka:

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Tidak cukup dengan itu, perpecahan sesama kita menyebabkan sebahagian daripada kita mengambil langkah yang diharamkan oleh Allah dalam banyak ayat al-Quran, iaitulah langkah lebih mengutamakan dan lebih mempercayai orang-orang tidak beriman, mengatasi saudara-saudara seagama sendiri.

Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa ayat 138-139:

Maksudnya:

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang munafik bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) orang yang mengambil orang kafir menjadi teman dengan meninggalkan orang yang beriman. Tidaklah patut mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan itu semuanya ialah milik Allah.”

Keadaan ini semakin parah apabila majoriti kita lebih mempercayai persepsi yang disebarkan melalui media sosial, berbanding prinsip-prinsip ajaran Islam. Majoriti kita pada hari ini menghabiskan masa dengan media sosial mungkin sepuluh kali ganda daripada kita menghabiskan masa menelaah al-Quran, hadith dan seerah Baginda S.A.W.

Apabila kita lebih tekun membelek kandungan persepsi media sosial, berbanding mempelajari satu persatu ayat-ayat Quran dan hadith, maka sudah tentulah cara fikir dan fahaman kita bergantung pada persepsi yang dimainkan oleh pihak-pihak berkepentingan. Orang yang terselamat daripada permainan persepsi ialah orang yang sentiasa menjadikan keseluruhan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukannya dalam setiap permasalahan hidup.

Firman Allah Taala:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

MUSLIMIN MUSLIMAT YANG DIKASIHI SEKALIAN,

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang jemaah sekelian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Hasil daripada ibadah puasa ialah ketakwaan. Takwa itu boleh diukur pada ketaatan pada perintah Allah dan sikap menjauhi larangan-Nya. Ketakwaan yang sebenar akan menuntut ke atas setiap muslim agar bersungguh-sungguh menghayati dan melaksanakan Islam, bukan sahaja dalam kehidupan peribadi, malah dalam kehidupan keluarga, masyarakat dan negara.
Kedua: Malaysia adalah sebuah negara beragama, dan agamanya ialah Islam. Sebarang usaha untuk menjadikan negara ini sebagai negara sekular liberal tidak beragama hendaklah ditentang oleh setiap muslim yang bertakwa.
Ketiga: Kesatuan dan perpaduan sesama umat Islam adalah tonggak kekuatan mereka dalam berdepan dengan usaha-usaha musuh untuk mengubah identiti negara yang berteraskan Islam dan Melayu, sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negara.
Keempat: Umat Islam hendaklah lebih banyak menghabiskan masa merujuk kepada al-Quran dan Sunnah, kerana dengan berpegang teguh pada kedua-duanya itu kita tidak akan mudah sesat sebagaimana jaminan  Rasulullah S.A.W. Jangan dibiarkan ketagihan kita pada gajet dan media sosial menyebabkan kita mudah dipesongkan fahaman mengikut persepsi yang dijana oleh pihak-pihak berkepentingan.
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s