Di mana agenda agama di sisi parti-parti politik?

Standard

Sepatutnya agenda utama parti ialah menjaga agama. Mentadbir dunia yang kedua. Sesuai dengan fungsi pemerintah yang diberikan oleh Allah Taala.

Semalam saya ikuti ceramah salah seorang tokoh politik dari utara tanah air, selama setengah jam. Sarat dengan isu duit dan harta.

Saya yakin hampir 99% daripada kempen pilihanraya, itulah temanya.

Hampir tiada langsung bercakap mengenai nasib agama, sama ada di peringkat individu dan keluarga mahupun di peringkat masyarakat dan bernegara. Hampir kosong.

Apakah isu buang anak tidak penting? Apakah peningkatan jumlah perokok dan penagih dadah tidak penting? Apakah bilangan saf jamaah di masjid hanyalah isu peribadi yang remeh, memalukan jika parti bercakap mengenainya?

Rasulullah dalam satu hadith mengingatkan bahawa agama itu terungkai ikatannya dari atas, bermula dengan pemerintahan, berakhir dengan solat.

Kaedah fekah pula mengatakan bahawa Wilayah Khas (pemerintahan ibu bapa) lebih kuat daripada Wilayah Am (pemerintahan negara).

Maknanya pemerintahan negara hanyalah membantu pemerintahan ibubapa dalam menegakkan agama. Maknanya agama itu tertegak dari bawah.

Di mana kempen politik yang mengangkat agenda untuk membantu ibubapa mendidik anak dalam menegakkan agama? Ada projek yang spesifik dan nampak di alam nyata? Sekolah agama sebagai contoh? Adakah apa-apa janji untuk menyelesaikan permintaan ibubapa yang begitu tinggi terhadap sekolah agama, sesuai dengan fungsi pemerintah untuk menjaga agama?

Ada yang memberi alasan, kefakiran adik beradik kekufuran. Oleh itu isu perut perlu diisi dahulu, sebelum iman. Persoalannya berapa peratuskah kes buang anak, penagihan dadah, ketagihan merokok, ketidakhadiran solat berjamaah adalah akibat kefakiran? Atau akibat kejahilan dan kurang pendidikan agama? Berlaku jujurlah.

Masalah sebenarnya ialah parti-parti hanya mahu memenuhi permintaan majoriti pengundi yang boleh memberikan mereka kemenangan. Malangnya ialah majoriti rakyat kita meletakkan duit itu nilai tertinggi.

Buktinya ialah hanya 20% umat Islam cukup solat lima waktunya. Mana-mana umat yang meninggalkan nilai ruhi, akan mengejar nilai material secara automatik. Itulah akhlak majoriti umat kita. Itulah hakikat.

Lalu apa tugas Islamis dan pendukung dakwah? Apakah prioritinya ialah merebut kuasa untuk melakukan perubahan dari atas lalu sanggup mengetepikan langsung seruan Islam agar tidak kecundang memenangi suara majoriti rakyat yang jahil?

Atau prioriti mereka ialah mendidik umat agar kembali berpaut kepada ajaran Islam. Membina umat dari bawah, bermula solat, dalam keluarga, berakhir dengan pemerintahan? (sesuai dengan fikh hadith Rasulullah di atas).

Kalaupun mereka memilih mengutamakan perebutan kuasa untuk melakukan perubahan dari atas, maka kita bertanya di manakah janji-janji mengenai pembangunan agama?

Biarlah saya menjawab. Sesungguhnya demokrasi dalam masyarakat yang majoritinya tidak komited dengan agama adalah demokrasi yang buta nilai agama. Maka sesiapa yang terjun dalam medan perebutan kuasa yang disediakan oleh demokrasi yang sebegitu sifatnya, akan terpaksa untuk membutakan, menulikan dan membisukan kempennya daripada nilai agama.

Maka ambillah pelajaran wahai makhluk yang dikurniakan Allah dengan akal fikiran. Sesungguhnya wahyu itu diturunkan untuk Ulil Albab.

Nota: Itulah punca mengapa ada jamaah Islam mengangkat suara liberal, LGBT dan sebagainya. Terperangkap dalam demokrasi liberal tidak beragama.

Tinggalkan komen