Lasak Perasaan

Standard

Saya kongsikan tiga pengalaman, yang memberikan kita pengajaran tentang adab menghormati orang tua dengan cara melasakkan perasaan.

Lebih kurang dua tahun lepas, saya pernah menegur seorang pemuda atas suatu kesalahannya. Saya berbuat demikian menerusi panggilan telefon, bukan melalui mesej. Ketika sedang bercakap itu, tiba-tiba talian terputus. Saya bersangka baik. Tetapi yang penting ialah sejak dari detik itu, sikap pemuda itu terhadap saya telah berubah, daripada seorang yang ramah dan biasa singgah di rumah saya, kepada seorang yang tidak membalas mesej dan langsung tidak berhubung dengan saya. Itu diluar kebiasaannya, bukan dia yang saya kenali selama ini. Mungkin kesalahan yang saya tegur itu bukan satu kesalahan padanya. Tidak mengapalah, tetapi yang penting dia telah merajuk. Terkini, saya dapat tahu dia telah menghantar satu dokumen ke rumah saya -yang saya minta melalui orang lain kerana dia tidak membalas mesej saya- dua bulan lepas, tanpa memberikan apa-apa mesej kepada saya tentang perkara itu. Beza umur saya dengan pemuda itu hampir 20 tahun.

Hampir 20 tahun lalu juga, ketika saya berada dihujung usia 20an, saya dipanggil oleh A, seorang yang lebih tua daripada saya hanya empat tahun. Saya memandu sejauh 50 km semata-mata menyahut panggilannya untuk bertemu, kerana katanya ada perkara penting yang mahu dibincangkan. Setelah bertemu, saya dimuhasabah dan ditegur atas satu kesalahan yang saya tidak lakukan. Katanya, dia mendapat aduan daripada seseorang bahawa saya enggan bercakap dengan ibu mertua saya melalui telefon, satu perbuatan yang tidak beradab. Sebenarnya terdapat salah faham yang sangat besar tentang insiden yang A maksudkan. Apa cerita sebenarnya? Tidak perlulah saya ceritakan di sini, kerana panjang pula nanti. Tetapi yang penting ialah A tidak meminta penjelasan saya terlebih dahulu dan itu memang jelas kesilapannya yang menyebabkan saya terpaksa memandu sejauh itu untuk suatu yang tidak patut saya terima. Saya amat kecewa pada masa itu, tetapi hubungan saya dengan A tidak berubah sedikit pun. Saya tidak melayan perasaan kecewa itu dengan merajuk. Saya tetap meneruskan perhubungan seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku kerana satu sebab; saya hidup untuk memperjuangkan agama ini dan saya tidak boleh melakukannya bersendirian dan A merupakan salah seorang rakan soleh yang boleh bekerjasama dalam satu pasukan untuk perjuangan suci ini. Agenda ini lebih besar dan lebih penting berbanding perasaan saya. Saya kuburkan perasaan kecewa itu, demi satu matlamat yang lebih besar, yang kerananya saya hidup. Saya mesti lasak perasaan.

Satu lagi peristiwa ialah saya pernah mendapat persetujuan daripada B, seorang yang lebih tua daripada saya hanya dua tahun, untuk melabur dalam satu projek. Beberapa kali saya berbincang dengannya, diakhiri dengan pembentangan satu kertas kerja projek tersebut. Dia setuju untuk melabur. Saya pun berhenti kerja, seperti yang dirancang, dan terus memulakan projek tersebut. Tetapi selepas sebulan, ternyata B telah berubah fikiran dan langsung tidak memberikan walau satu sen pun. Tidak perlulah kita bincang tentang perjanjian bertulis atau tidak dan sebagainya, sebab yang penting saya ingin sampaikan di sini ialah tentang lasak perasaan.

Enam bulan saya menganggur. Sepanjang tempoh itu saya menggunakan duit pinjaman isteri, yang dibuat untuk ubah suai rumah, untuk sara hidup. Akhirnya saya terpaksa meminjam 15 ribu ringgit untuk menyiapkan ubah suai dan sehingga sekarang saya masih membayar 500 ringgit sebulan sebagai ansuran. Untuk makluman, ubah suai rumah saya bukan untuk mencantikkan rumah, tetapi untuk menambah bilik rumah yang asalnya hanya dua (rumah kayu kampung yang kecil) kepada empat bilik. Satu keperluan, bukan kemewahan.

Saya amat kecewa dengan sikap B. Tetapi perhubungan saya dengannya tidak pernah keruh, sebaliknya berjalan seperti biasa. Ini semua kerana satu sebab; saya hidup untuk memperjuangkan agama ini dan saya tidak boleh melakukannya bersendirian dan B merupakan salah seorang rakan soleh yang boleh bekerjasama dalam satu pasukan untuk perjuangan suci ini. Agenda ini lebih besar dan lebih penting berbanding perasaan saya. Saya kuburkan perasaan kecewa itu, demi satu matlamat yang lebih besar, yang kerananya saya hidup. Saya mesti lasak perasaan.

A dan B telah melakukan satu kesalahan ke atas saya, tetapi itulah satu-satunya kesalahan yang saya ingat, kerana selain dari itu, mereka telah melakukan banyak kebaikan kepada saya. Dan yang lebih penting, merekalah rakan seperjuangan saya. Agenda perjuangan lebih penting daripada perasaan dan kepentingan peribadi. Kita mesti lasak perasaan, agar kerja berpasukan boleh terus gencar.

Menariknya, A dan B hanya lebih tua empat dan dua tahun sahaja daripada saya. Saya lasak perasaan dan hormati mereka kerana lebih tua. Manakala pemuda yang saya tegur itu, lebih muda hampir 20 tahun. Berkali gandalah dia patut lasak perasaan dan menghormati saya, walaupun saya tidak meminta dan tiada kepentingan.

Kemungkinan perangai merajuk dan sensitif ini berpunca daripada personaliti masing-masing. Ada orang yang sisi emosinya lebih kuat berbanding sisi rasionalnya. Untuk orang sebegini, dia kena mujahadah melawan perasaan, sehingga dapat mencapai tahap lasak perasaan. Lasak perasaan bukan satu kepura-puraan. Lasak perasaan adalah satu akhlak; sikap memaafkan kesalahan orang dan berjiwa besar. Lasak perasaan bukan “manis di mulut, busuk di hati”. Sebaliknya ia adalah satu kondisi jiwa yang merdeka. Merdeka daripada tunduk kepada hawa nafsu yang menurut perasaan.

Kemungkinan juga perangai merajuk ini berpunca daripada ego. Untuk orang sebegini, gerabak kehidupan dan perjuangan akan terus bergerak tanpa menunggu sesiapa. Kita mungkin rasa gerabak itu bergerak perlahan kerana ketiadaan kita, dan semakin mengecil. Tetapi hakikatnya, sesuatu yang sudah bergerak jauh meninggalkan kita memang kelihatan perlahan dan mengecil. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk generasi muda.

Advertisements

3 thoughts on “Lasak Perasaan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s