Pokemon Go: Antara hukum dan tasawur

Standard

Tasawur kita tentang Islam tidak sama seperti tasawur para sahabat. Saya maksudkan tasawur, bukan kefahaman. Kefahaman tidak sama dengan tasawur. Tasawur lebih halus daripada kefahaman.

Sebagai contoh, kita boleh memahami keadaan hutan jika diberikan beberapa fakta dan data tentangnya. Tetapi tasawur hanya diperoleh apabila ada gambar hutan. Tasawur itu menjadi lebih jelas lagi jika kita pergi masuk hutan dan mengalami sendiri kehidupan di dalamnya.

Menariknya, kita tidak perlu khayalan “time machine” untuk berada bersama-sama para sahabat di zaman Rasulullah S.A.W., untuk merasai dan mendapatkan tasawur yang sama seperti mereka.

Ini kerana, penceritaan al-Quran dan hadith, serta “athar” daripada sahabat, menggunakan pendekatan yang memudahkan kita menggambarkan keadaan mereka; peristiwa yang mereka lalui, perasaan dan suasana masyarakat ketika itu.

Pendekatan ini memperhaluskan kefahaman yang mendatar di permukaan dan memberikan kita gambaran atau tasawur yang lebih hampir seperti yang mereka punyai.

Mari kita lihat contoh kata-kata Anas R.A., yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

عن أنس رضي الله عنه قال إنكم لتعملون أعمالا هي أدق في أعينكم من الشعر إن كنا لنعدها على عهد النبي صلى الله عليه وسلم من الموبقات

Maksudnya:

“Daripada Anas R.A., beliau berkata: Sesungguhnya kamu beramal dengan amalan yang pada penglihatan kamu ia lebih kecil daripada sehelai rambut, sedangkan kami melihatnya pada zaman Nabi S.A.W. salah satu pemusnah (seperti dosa besar)”

Mesej yang ingin disampaikan oleh Anas R.A. kepada generasi tabiin dalam “athar” itu ialah tasawur yang berbeza antara para sahabat dan para tabiin; suatu kesalahan yang dilihat atau dinilai amat remeh di sisi tabiin, tetapi di sisi sahabat kesalahan itu dilihat macam dosa besar.

Anas R.A. menggunakan saiz sehelai rambut sebagai perumpamaan untuk membayangkan betapa kecil dan remehnya kesalahan itu pada tasawur tabiin. Sebaliknya beliau menggunakan istilah “mubiqat” yang dirujuk kepada dosa besar, bagi membayangkan betapa besarnya kesalahan yang sama di sisi para sahabat.

Contoh yang lain ialah hadith Rasulullah S.A.W. yang menyatakan perbezaan pahala antara solat berseorangan dan solat berjemaah, sebanyak 27 kali ganda. Jika sekadar hadith ini sahaja, kita hanya mendapat kefahaman tentang perbezaan itu. Tetapi untuk mendapatkan tasawur yang lebih jelas tentang kepentingan solat berjemaah, mari teliti hadith berikut:

عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لقد هممت أن آمر بالصلاة فتقام ثم آمر رجلا فيصلي بالناس ثم أنطلق معي برجال معهم حزم من حطب إلى قوم لا يشهدون الصلاة فأحرق عليهم بيوتهم بالنار

Maksudnya:

“Daripada Abi Hurairah, beliau berkata: Sabda Rasulullah S.A.W.: Ingin saja aku mengarahkan didirikan solat, maka aku suruh seseorang untuk mengimaminya, kemudian aku pergi bersama beberapa orang lelaki yang membawa kayu api bagi mendapatkan mereka yang tidak hadir solat jemaah untuk aku bakar rumah-rumah mereka”

Telitilah juga “athar” berikut:

عن عبد الله بن مسعود أنه قال من سره أن يلقى الله غدا مسلما فليصل هذه الصلوات الخمس حيث ينادى بهن ; فإن الله شرع لنبيه سنن الهدى وأن هذه الصلوات الخمس في المساجد التي ينادى بهن من سنن الهدى وأنكم لو صليتم في بيوتكم كما صلى هذا المتخلف في بيته لتركتم سنة نبيكم ولو تركتم سنة نبيكم لضللتم ولقد رأيتنا وما يتخلف عنها إلا منافق معلوم النفاق ولقد كان الرجل يؤتى به يهادى بين الرجلين حتى يقام في الصف

Maksudnya:

“Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata: Sesiapa yang mahu berjumpa Allah Taala nanti selaku seorang yang muslim maka hendaklah ia solat lima waktu itu di tempat ianya dipanggil (masjid). Sesungguhnya Allah Taala mensyariatkan bagi Nabi-Nya beberapa sunnah petunjuk, dan solat lima waktu di masjid itu yang merupakan tempat ianya dipanggil adalah salah satu sunnah petunjuk. Dan sesungguhnya jika kamu solat di rumah-rumah kamu seperti solatnya orang yang tertinggal ini, nescaya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan jika kamu tinggalkan sunnah Nabi kamu, maka nescaya telah sesatlah kamu. Sesungguhnya aku telah melihat kami (suasana para sahabat), tidak ada yang tercicir daripada solat berjemaah kecuali mereka yang terkenal dengan kemunafikannya. Sesungguhnya seseorang lelaki itu dipimpin di antara dua orang lelaki sehinggalah dapat ia didirikan dalam sof.”

Tinggalkan perbincangan mengenai hukum yang boleh dikeluarkan daripada hadith-hadith ini. Perbincangan mengenainya amat panjang.

Sebaliknya tumpukan perhatian dari sudut tasawur. Apakah gambaran yang boleh kita dapat mengenai solat berjemaah daripada hadith-hadith itu? Bagaimanakah para sahabat lihat isu solat berjemaah? Adakah gambaran atau tasawur para sahabat itu sama dengan gambaran kita sekarang?

Sudah tentu tidak sama, kecuali jika kita benar-benar hayati tasawur yang dibawa dalam hadith-hadith itu. Tasawur inilah yang boleh mengubah sikap kita. Perbincangan yang mewah tentang hukum, tidak semestinya membawa perubahan sikap. Kebiasaannya ia hanya mengayakan pengetahuan sahaja. Pengetahuan tidak sama dengan sikap. Itu sebabnya majoriti ayat al-Quran dan hadith Nabi adalah mengenai tasawur, seperti kisah-kisah dan perumpamaan-perumpamaan. Ayat-ayat hukum tidak banyak.

Jika kita ingin ubah sikap, tumpu pada tasawur. Gunakan pengetahuan dan kefahaman untuk dapatkan dan kukuhkan tasawur. Jika tidak, perbincangan ilmiah hanya akan mengarang timbunan kitab, tetapi tidak “mengarang rijal” yang menterjemahkan syariat ke alam nyata.

Sebelum saya akhiri, agak-agaknyalah, adakah para sahabat akan bermain permainan-permainan dan hiburan-hiburan tidak berfaedah ini, jika ada di zaman mereka? Jawablah berdasarkan tasawur anda terhadap beberapa kerat hadith di atas, tidak perlu keseluruhan al-Quran dan Sunnah, kerana yang demikian itu akan menggayatkan anda lagi.

Nota: Saya perhatikan anak-anak muda yang baru belajar pasal dalil bukan main lagi sembang di FB. Katanya, kalau Pokemon Go itu dimainkan di komputer peribadi di meja, tidak di telefon bimbit, maka hukumnya berubah kerana berubahnya tempat dan keadaan, berubahnya “illah”. Amboi, macam budak baru dapat stereng, rasa hebat sangat, pusing sana pusing sini, siap marah-marah kat pemandu lain yang lebih berpengalaman. Hakikatnya mereka terlepas satu ilmu yang amat berharga, iaitulah tasawur yang lengkap tentang Islam seperti tasawur para sahabat. Para sahabat merupakan generasi rujukan, untuk kita memahami Islam dalam bentuk tasawur yang jelas. Tanpanya, anak-anak muda ini seolah-olah berada di awang-awangan, tiada kerangka yang jelas. Saya simpati.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s