Pendirian Terhadap Isu GST dan 1MDB

Standard

1. Para ulamak dahulu mengharuskan negara untuk berhutang dan membuat pungutan cukai daripada rakyat hanya apabila terdapat kepentingan umum yang amat mendesak (darurat) seperti mempertahankan kedaulatan negara atau memenuhi keperluan asas rakyat termiskin, dengan beberapa syarat yang jelas.

2. Syarat yang paling jelas ialah hendaklah didahulukan penggunaan harta mewah yang dimiliki individu rakyat dan pemerintah terlebih dahulu, un‏tuk membiayai kepentingan umum yang amat mendesak tersebut, sebelum apa-apa cukai dipungut daripada rakyat biasa dan sebelum langkah meminjam dibuat.

3. Izzuddin bin Abdus Salam, yang digelar sebagai Sultan Ulamak, apabila diminta fatwa untuk mengharuskan pemungutan cukai daripada rakyat Mesir untuk membantu mempertahankan Syam daripada serangan tentera Tatar, beliau berkata: “Jika tentera musuh menyerang negara Islam, maka wajib seluruh dunia Islam memeranginya. Harus bagi kamu untuk mengambil sesuatu (cukai) daripada rakyat untuk membantu jihad kamu, dengan syarat Baitul Mal telah tiada baki dan kamu jual pakaian dan peralatan mewah. Setiap tentera hanya mempunyai senjata dan kenderaannya sahaja, mereka sama seperti rakyat awam. Tidak boleh diambil duit rakyat ketika masih ada baki harta dan peralatan mewah di tangan tentera”. (Tentera pada zaman itu mempunyai harta hasil daripada rampasan perang dalam peperangan yang disertainya).

4. Beliau juga pernah ditanya apabila pemerintah Mesir mahu meminjam wang daripada ahli-ahli perniagaan untuk menampung kewangan Baitul Mal yang tidak mencukupi bagi menghadapi serangan Tatar. Beliau memberikan fatwa agar digunakan terlebih dahulu segala kemewahan yang dimiliki oleh pemerintah dan keluarga mereka. Jika tidak cukup juga, barulah kerajaan boleh meminjam.

5. Punca utama kerajaan di zaman kegemilangan Islam mampu menghadkan pungutan cukai dan berhutang pada perkara-perkara darurat sahaja ialah kerana sikap pemerintah yang amat berhati-hati menggunakan wang awam dan amat teliti menjaga harta individu rakyat.

6. Abu Ubaidah bertugas sebagai pengagih wang awam ketika zaman pemerintahan Abu Bakr as-Siddiq R.A. Beliau berkata, ketika diminta memperuntukkan wang sara hidup untuk Khalifah Abu Bakr as-Siddiq, “Aku tetapkan untukmu sekadar makanan seorang lelaki daripada kalangan muslimin, bukan (tahap lelaki) yang paling baik (makanannya) dan bukan (tahap lelaki) yang paling sedikit (makanannya)”.

7. Umar bin al-Khattab R.A. pernah berkata, “Jika seekor unta mati kerana terbiar di tebing sungai Furat, aku takut Allah akan menyoal diriku”. Umar bin Abdul Aziz meninggalkan kisah yang masyhur apabila beliau memadamkan lilin kerajaan dan menyalakan lilin peribadi apabila mahu berurusan peribadi.

8. Fatwa para ulamak itu bukan bertujuan untuk membincangkan hukum kerajaan memungut cukai dan berhutang di sini. Ia hanyalah bertujuan memberikan gambaran betapa Islam amat menjaga hak milik individu rakyat, mengutamakan kemaslahatan umum mengatasi kepentingan individu dan tidak memberi jalan mudah kepada kerajaan untuk berhutang dan memungut cukai.

9. Sejak 1998, perbelanjaan kerajaan mengalami defisit setiap tahun. Kerajaan berhutang dengan alasan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Walaupun kadar pertumbuhan ekonomi tahunan secara purata dalam lingkungan 4%, kebanyakan rakyat jelata semakin merasai terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

10. Hutang isi rumah semakin meningkat dengan jumlah terkumpulnya mencecah RM732 billion, pada Julai 2014. Bahagian terbesar hutang tersebut adalah untuk membiayai pembelian kenderaan dan rumah. Majoriti generasi muda orang-orang Melayu dan bumiputera semakin tidak mampu memiliki kediaman yang selesa seperti generasi bapa mereka. Manakala perkhidmatan pengangkutan awam masih belum memenuhi keperluan rakyat, menyebabkan mereka terpaksa berhutang untuk memiliki kenderaan sendiri, termasuk mengambil risiko kemalangan motosikal yang merupakan mangsa tertinggi di jalanraya.

11. Kes-kes ketirisan, sama ada dalam bentuk subsidi kerajaan yang tidak sampai sepenuhnya ke tangan golongan sasar, mahupun nilai kontrak yang jauh melebihi nilai semasa yang munasabah, dan bentuk-bentuk ketirisan yang lain, seperti dalam Laporan Audit Negara saban tahun, belum menampakkan pengurangan ketara, kalaupun tidak sifar.

12. Hutang 1MDB berjumlah RM42 billion sebenarnya tidak memerlukan seorang menteri untuk menyatakan ia membebankan. Rakyat biasa boleh menilainya. Tetapi yang menjadi persoalan ialah mengapa kerajaan tidak memperincikan apa yang berlaku pada 1MDB sehingga ke hari ini? Kelihatan ia ditangani secara tidak telus di hadapan rakyat, sedangkan impak hutang itu ke atas rakyat tidak akan dapat dibendung.

13. Ibnul Qaiyim menyebut dalam kitabnya I’lam Muwaqiin, bahawa Umar bin al-Khattab pernah disanggah oleh Salman al-Farisi ketika beliau mahu memulakan ucapannya. Salman mengatakan tiada dengar dan tiada taat kepada ucapan Umar sebagai Khalifah pada masa itu, selagi Umar tidak menerangkan dari mana datangnya pakaian lebih yang dipakainya pada hari itu. Setelah Abdullah bin Umar mengakui pakaian itu adalah kepunyaannya dipinjam oleh Umar, barulah Salman mengatakan “sekarang kami dengar dan taat”. Hak rakyat untuk tahu dan menyoal.

14. Terkini pendedahan oleh bekas Menteri Besar Terengganu yang menyebut tentang usaha untuk mencagarkan minyak dan gas di laut Terengganu untuk 1 MDB menimbulkan persoalan berapa banyak lagikah maklumat yang mengejutkan rakyat masih disimpan kemas oleh pemerintah?

15. Kaedah Fekah تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة menuntut pemerintah agar menjauhi tindakan yang tidak membawa faedah kepada rakyat, apatah lagi meletakkan rakyat menanggung risiko yang memudaratkan. Kerajaan bertanggungjawab untuk mengurus tadbir untuk kepentingan rakyat, bukan melibatkan diri dalam perniagaan dan pelaburan yang berisiko tinggi.

16. Kemewahan pemerintah, rakyat yang semakin terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, ketidaktelusan kerajaan dalam soal 1MDB, hutang luar biasa yang dibuat oleh syarikat milik penuh kerajaan, cukai yang tiada jaminan tidak dinaikkan kadarnya; kesemua ini menyumbang ke arah krisis kepercayaan antara rakyat dan pemerintah.

17. Berdepan dengan krisis kepercayaan ini, harapan untuk melihat penguasaan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera di tanah asal mereka ini kelihatan semakin kelam. Bahkan penguasaan politik orang Melayu berada di ambang kehancuran, mengundang penjajahan semula tanahair dalam bentuk hamba kepada institusi kewangan antarabangsa.

18. Ikatan Muslimin Malaysia menyeru kerajaan agar memandang serius krisis kepercayaan ini dan mengambil langkah drastik dengan kadar segera, sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan berada di luar kawalan. Kerajaan bertanggungjawab di hadapan seluruh rakyat kerana krisis ini melibatkan masa depan dan kedaulatan negara, bukan isu dalaman UMNO semata-mata.

19. Masa depan Islam di negara ini amat bergantung pada kekuatan orang-orang Melayu yang menjadi bangsa majoriti dan tonggak. Hakikatnya, pada hari ini orang-orang Melayu berada di persimpangan, sama ada membiarkan keadaan sedia ada menuju ke arah bangsa yang dijajah, tergadai maruah dan keturunan, atau bangkit membetulkan keadaan, yang menuntut pengorbanan yang amat mahal.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Rum: 41

ALLAHU AKBAR, WALILLAHILHAMD

Melayu Sepakat, Islam Berdaulat
Membangun Umat Beragenda

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s