Hati-hati Xifu

Standard

Artikel ini telah diterbitkan oleh Sinar Harian pada 31 Oktober 2014. Di sini saya ubah suai sedikit sesuai dengan blog peribadi.

Xifu Naser, dalam artikelnya yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian yang bertajuk “Isu Anjing: Melayu masih mualaf?”, telah menyindir orang-orang Melayu yang disifatkannya sebagai mualaf yang malas membaca, berhubung isu I Want To Touch A Dog.

Beliau menulis, “Saya yakin ramai Melayu yang hebat, berfikir kritis tetapi gambaran yang ditonjolkan ialah Melayu masih mualaf. Maka, haramkan saja sentuh anjing atas nama menjaga warisan Melayu sebelum tergugat aqidah mualaf Melayu ini.”

Sebenarnya beliau tertinggal satu noktah penting dalam isu ini. Sensitiviti orang-orang Melayu terhadap anjing sebenarnya mempunyai asas dan hujah ilmiah, bukan akibat mantera arus perdana yang beliau sifatkan sebagai tidak rasional dan mengelirukan.

IMAM Malik Rahimahullah mengatakan bahawa arak itu najis, sedangkan beliau mengetahui yang diharamkan ialah meminumnya sahaja dan tidak timbul langsung isu kenajisan air arak itu sendiri.

Timbul persoalan di sini, mengapa Imam Malik berkata demikian, sedangkan dalam masa sama beliau tidak mengatakan kenajisan babi yang hidup?

Saya ingin melontarkan persoalan ini sambil meminjam dan mengubah suai kata-kata Xifu Naser sendiri dalam artikel tersebut. Bunyinya begini, “Sekiranya Imam Syafie seorang Melayu, adakah dia akan mengasaskan mazhab baharu atau terus terkubur dalam zon selesa mazhab gurunya, Imam Malik, tidak berani lawan fatwa gurunya yang berpendapat arak itu najis?

Adakah Imam Malik yang mengajar pendekatan malas membaca kepada orang Melayu, sehingga ‘menajiskan’ sahaja arak atas nama menjaga warisan Melayu sebelum tergugat aqidah mualaf Melayu ini?”

Jawapan bagi persoalan ini ada dalam buku karangan seorang ulama muktabar dalam bidang maqasid syariah, al-Allamah Ibnu Asyur, yang bertajuk Maqasid Syariah Islamiah.

Buku ini tidaklah tebal mana pun, sekitar 200 muka surat sahaja. Jika kita tidak malas membaca, dengan mudah kita akan menemui jawapan sangat jelas mengenai persoalan yang dilontarkan itu. Itu pun bergantung sejauh mana kita menghormati pandangan ulama seperti al-Allamah Ibnu Asyur.

Ibnu Asyur mengatakan satu daripada  maqasid syariah yang besar ialah ketaatan umat pada syariat itu sendiri. Ini kerana tidak mungkin segala maqasid syariah dapat dicapai tanpa pengaruh syariat yang kuat ke atas umat Islam sehingga ia dihormati dan dipatuhi.

Demi mencegah umat Islam daripada memandang ringan larangan syarak, syariat menggunakan beberapa faktor penghalang dalam diri manusia, yang menyebabkan mereka taat kepada ALLAH SWT. Terdapat tiga faktor penghalang dalam diri kita yang dipanggil jibilli, dini dan sultoni.

Jibilli membawa maksud sifat semula jadi manusia yang bersesuaian dengan fitrah kejadiannya, seperti perlu makan, minum, tidur, berzuriat dan sebagainya. Sifat semula jadi manusia memang sayang pada dirinya sendiri.

Faktor penghalang jibilli inilah yang mencegah manusia secara fitrahnya daripada membunuh diri sendiri, sehingga syariat tidak perlu memberi peringatan yang banyak tentang pengharaman bunuh diri.

Dini berkait dengan agama. Ertinya faktor penghalang ini datangnya daripada ajaran agama Islam. Ketaatan umat Islam terhadap larangan-larangan yang datang daripada al-Quran dan Sunnah adalah bergantung pada faktor penghalang dini.

Umat Islam meninggalkan perbuatan zina, meminum arak, mencuri dan seumpamanya, yang larangannya dinyatakan oleh nas al-Quran dan sunnah, atas faktor penghalang dini, yang biasa diungkapkan sebagai faktor keimanan.

Semakin kuat keimanan seseorang, semakin kuat faktor penghalang dini, semakin jauhlah dia dari sebarang perbuatan maksiat yang ditegah syarak.

Demi memudahkan kepatuhan umat Islam kepada hukum syarak, syariat Islam secara sengaja menambah kuat faktor penghalang dini dengan faktor penghalang jibilli.

Contoh yang dibawa oleh Ibnu Asyur ialah hukum mahram disebabkan perkahwinan. Seorang perempuan yang telah berkahwin, maka bapa mertuanya dikira mahram. Hukum mahram ini menyebabkan timbul perasaan semula jadi yang menganggap bapa mertua seperti bapa sendiri dan menantu seperti anak sendiri, walaupun sebelum perkahwinan mereka tidak pernah kenal antara satu sama lain.

Perasaan normal yang timbul akibat hukum mahram ini adalah faktor penghalang jibilli yang menjauhkan diri mereka daripada kecenderungan untuk melakukan hubungan intim dan seterusnya berzina, walaupun mereka tinggal sebumbung. Ini kerana perasaan normal sesama mahram merasa jijik perbuatan sebegitu.

Lihatlah kebijaksanaan syarak dalam menambah kuat kepatuhan umat Islam terhadap larangan berzina dengan faktor penghalang jibilli dalam konteks hubungan kekeluargaan anak menantu yang sukar dibataskan pergaulan sesama mereka.

Pendekatan inilah yang diambil oleh Imam Malik apabila memberi fatwa bahawa arak itu najis. Kepatuhan umat Islam terhadap larangan meminum arak berdasarkan ayat al-Quran adalah atas faktor penghalang dini.

Imam Malik mahu menguatkan faktor penghalang dini ini dengan faktor penghalang jibilli iaitu perasaan jijik terhadap najis arak. Sebaliknya beliau tidak memfatwakan babi yang hidup itu najis kerana umat Islam secara jibilli memandang jijik terhadap babi.

Sesungguhnya gaya hidup orang-orang Melayu secara jibilli tidak rapat dengan anjing. Ini selari dengan tuntutan syarak yang melarang membela anjing tanpa tujuan yang dibenarkan. Kepatuhan terhadap larangan yang sabit dengan hadis yang sahih itu adalah atas faktor penghalang dini.

Faktor penghalang dini ini telah diperkuatkan dengan faktor penghalang jibilli, sehingga menjadi budaya orang Melayu tidak membela dan membelai anjing, seperti mana bukan budaya mereka menganiaya binatang.

Oleh demikian, sebenarnya tidak sukar untuk kita memahami faktor orang Melayu begitu sensitif dengan program I Want To Touch A Dog. Gaya hidup berteman rapat dengan anjing adalah budaya orang Barat. Amat jelek sekali sikap sesetengah pihak yang mengejek gaya hidup orang Melayu yang tidak rapat dengan anjing sebagai mualaf yang malas membaca.

Semoga penjelasan ringkas ini dapat membuka mata kita terhadap nilai hubungan antara agama Islam dan budaya orang Melayu yang telah bertapak di rantau ini sejak berkurun lamanya.

Nilai ini mesti dihargai oleh anak Melayu dan dihormati oleh bukan Melayu di tanah air tercinta ini. Sesungguhnya kejahilan kita tertonjol apabila kita mendakwa mengetahui segala perkara.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s