Laporan 13 Mei – Bah. 2

Standard

BAHAGIAN DUA
TRAGEDI

ENAM: BIMBANG DAN CURIGA
Syak dan wasangka antara kaum Cina dengan Melayu memang sudah lama tersirat dalam sejarah negara ini yang kebelakang. Berbagai jenis kekacauan kaum telah terjadi.

Tanda-tanda yang dapat digalur menunjukkan kejadian-kejadian besar biasanya berlaku di kawasan yang kebanyakan penduduk-penduduknya terdiri daripada bangsa Cina di mana didapati gerakan-gerakan kongsi gelap.

Kebanyakan daripada pergaduhan-pergaduhan itu tidak dapat tidak bermula dengan pertempuran antara kongsi gelap dengan pemuda-pemuda Melayu.

Ketika Kerajaan United Kingdom hendak menganugerahkan taraf Bandar Raya kepada Pulau Pinang, suasana gelisah dan curiga di antara orang-orang CIna dengan Melayu sudah sedia ada.

Keputusan kerajaan Inggeris itu disambut dengan berbagai-bagai sikap. UMNO Pulau Pinang, atas sebab-sebab politik, mengambil keputusan tidak akan mengambil bahagian dalam perayaan 100 tahun dan perayaan taraf Bandar Raya itu.

Akibatnya, tersebarlah khabar-khabar angin Georgetown mengatakan orang-orang Melayu akan menyekat dan cuba menyuraikan perarakan itu.

Perarakan itu bermula pada pukul 10:30 pagi, 2hb Januari, 1957 tanpa peserta-peserta Melayu. Berita angin bertiup di kalangan peserta-peserta sepanjang perarakan itu mengatakan kekacauan akan berlaku.

Sejurus kemudian kenderaan polis yang mengepalai perarakan tersebut telah dipanggil untuk menyiasat satu laporan di tempat lain. Kenderaan itu berpatah balik melalui perarakan tersebut ke belakang, dan ini telah disalah tafsirkan oleh orang-orang Cina yang mengambil bahagian dalam perarakan sebagai tanda bahawa orang-orang Melayu telah menyerang di sebelah belakang perarakan itu.

Ramai daripada mereka yang mengambil bahagian itu dengan serta merta menggulung bendera-bendera mereka lalu memecah-mecahkan satu kenderaan berhias untuk menggunakan kayu-kayunya sebagai senjata, sementara yang lain-lainnya masuk ke rumah-rumah di sepanjang jalan perarakan itu dan melengkapkan diri mereka dengan senjata-senjata seperti parang pemotong daging, kapak dan lain-lain.

Oleh kerana keadaan sudah menjadi tersangat tegang Polis yang bertugas pun mula menyuraikan perarakan itu. Tetapi, sekumpulan lebih kurang 50 orang Cina, sambil bersurai, mengejar beberapa orang Melayu ke sebuah rumah yang berhampiran.

Seorang Inspektor Cina yang bertugas, ketika cuba mempertahankan orang-orang Melayu itu, mendapat cedera kena kapak di kepalanya dan terpaksa menembak, mengakibatkan seorang Cina mati dan seorang Cina yang lain cedera.

Akhirnya kumpulan itu bersurai apabila Pegawai Penjaga Daerah Polis (O.C.P.D.) sampai di tempat itu dengan satu pasukan polis.

Berikutan dari peristiwa terpencil itu, beberapa kejadian serang menyerang dan pergaduhan kecil telah dilaporkan. Di antara 2hb dengan 8hb Januari, 1957, empat orang telah terbunuh dan 48 cedera.

—————————————–

TUJUH: KONFRONTASI DI PULAU
Pertelingkahan dan perseteruan memang sentiasa ada di antara kaum-kaum Cina dengan Melayu di Pangkor.

Di antara samseng-samseng Cina, khususnya anggota-anggota kongsi gelap, dan samseng-samseng Melayu di pulau itu, yang diketahui mengutip duit perlindungan, tidak ada perhubungan baik.

Dengan latar belakang ini, satu pergaduhan telah terjadi berikutan daripada pertengkaran di antara seorang Cina dengan seorang pemuda Melayu di Sungai Pinang pada 1hb Mei, 1959.

Peristiwa itu merebak membawa kepada pertentangan dan pertengkaran antara orang-orang Cina dengan Melayu. Tiga orang Melayu telah cedera dan banyak harta telah musnah.

Tidak beberapa lama kemudian, lebih kurang 20 orang Melayu bersenjatakan pisau dan parang mara untuk bersemuka dengan sekumpulan kira-kira 30 orang Cina yang juga lengkap dengan bermacam-macam senjata.

Mujurlah dengan ketibaan polis ketika itu satu lagi pertempuran besar telah dapat dielakkan.

Pada 2hb Mei, 1959, Imam di tempat itu memanggil orang Melayu bermesyuarat di masjid untuk merancangkan langkah-langkah mengawal keselamatan.

Melihatkan kumpulan itu, seramai kira-kira 60 orang Cina dengan segera melengkapkan diri dengan senjata-senjata seperti parang, kayu runcing dan botol-botol dan mula berkumpul lebih kurang 20 ela dari masjid itu dengan cara yang mengancam.

Orang-orang Melayu itu pula, di pihak mereka, terus berkejar pulang ke rumah masing-masing, untuk mensenjatai dirinya dengan parang, batu dan botol.

Dalam pertempuran itu, sebuah kongsi Cina di situ telah dibakar dan hangus seluruhnya, begitu juga enam buah lagi rumah kepunyaan orang Cina yang berhampiran dengan masjid.

Ini telah menambahkan kemarahan orang Cina lalu mereka membalas, bersudahan dengan seorang Melayu mati dan lima lagi cedera.

Pihak Cina mengalami satu kematian dan 2 orang cedera. Kumpulan-kumpulan samseng kongsi gelap merayau-rayau di merata pulau itu, menyerang beberapa orang Melayu dan memusnahkan banyak harta benda.

Suasana di bandar-bandar dan kampung-kampung yang berdekatan dengan Pangkor telah turut tegang tetapi tindakan tegas dan keras daripada pihak-pihak berkuasa telah menjauhkan keadaan yang lebih buruk.

Perintah berkurung diisytiharkan pada 3hb Mei, 1959, menyekat orang-orang daripada meninggalkan atau masuk ke Pulau Pangkor. Beberapa kepala samseng telah ditangkap dan pelbagai senjata banyak di dapati.

Jawatankuasa-jawatankuasa Muhibbah pun dibentuk dan perondaan Polis diperhebatkan. Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan beberapa Menteri lain telah melawat ke Pulau itu, menasihati penduduk-penduduknya supaya bertenang.

—————————————-

LAPAN: PERBALAHAN KECIL
Kekacauan kaum di Bukit Mertajam ini tercetus akibat suatu perkelahian kecil di pasar Bukit Mertajam pada pagi 11hb Julai, 1964. Seorang pekerja Melayu di pasar itu telah dipukul dengan cangkul oleh seorang penjaja sayur bangsa Cina berumur 15 tahun disebabkan satu pertengkaran yang kecil.

Apabila pekerja Melayu itu pergi ke pejabat ketuanya, hendak mengadu mengenai perkara itu, kira-kira 40 orang Cina telah muncul. Tiga daripadanya masuk ke pejabat itu lalu menyerang pekerja pasar itu.

Pekerja Melayu itu telah tidak puas hati dengan tindakan Polis. Diiringi oleh beberapa pegawai Parti UMNO, dia telah membuat berbagai percubaan untuk memberitahu Pengerusi Majlis Daerah dan Pegawai Daerah mengenai kejadian itu, tetapi kedua-duanya tidak dapat dicari.

Pukul 10:00 pagi esoknya baharulah pekerja tersebut dapat membuat aduan kepada Pengerusi Majlis Daerah. Menjelang waktu itu keadaan tegang antara kaum telah bertambah meruncing.

Setengah jam kemudian terjadilah pertempuran di antara lebih kurang 30 orang Melayu yang tidak bersenjata dengan orang-orang Cina di pasar Bukit Mertajam, mengakibatkan seorang Cina dan seorang Melayu cedera. Orang Melayu yang cedera itu telah mati pada esoknya.

Berikutan daripada peristiwa ini, beberapa kejadian serang menyerang serta bakar membakar berlaku di daerah Bukit Mertajam. Seorang Cina terbunuh dan beberapa yang lain cedera.

Serangan ke atas pekerja Melayu itu yang juga menjadi pegawai Bahagian UMNO tempatan, telah dianggap oleh sesetengah pelampau Melayu sebagai satu cabaran terhadap penduduk Melayu.

Perasaan dendam dan marah naik dengan cepatnya. Bagi mencegah pengacau-pengacau daripada menyalahgunakan keadaan tersebut, perintah berkurung pun dikenakan bagi seluruh daerah itu pada 14hb Juali, 1964, berlanjutan selama 10 hari kemudian.

Beberapa orang telah ditahan kerana terlibat dalam kekacauan itu. Tidak ada bukti yang menunjukkan peristiwa itu telah didorong atau dipergunakan oleh mana-mana parti-parti politik atau oleh anasir-anasir subversif.

Bagaimanapun, ada juga diketahui ejen-ejen kongsi gelap telah mengambil kesempatan dengan menakut-nakutkan penduduk tempatan bagi mengutip duit perlindungan.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s