Laporan 13 Mei

Standard

PENGANTAR

Hari 13 Mei, 1969 akan tercatit di dalam sejarah kita sebagai hari tragedi nasional. Pada hari itu asas perdirian Negara kita telah menerima paluan yang sehebat-hebatnya pernah dialami dengan meletusnya rusuhan antara kaum.

Mujurlah Kerajaan telah mengambil tindakan yang segera dan tegas, dibantu dengan setianya oleh pihak Tentera dan Polis, maka dapatlah pihak berkuasa mengawal keadaan secepat-cepatnya. Kalau tidaklah kerana langkah-langkah pencegahan yang telah dilaksanakan dengan segera itu maka sudah tentuah seluruh negeri ini tercebur di dalam malapetaka yang besar.

Ada juga di antara kita yang memandang bahawa tragedi ini dalam ertinya bagi dirinya sendiri. Akan tetapi kepentingan peristiwa 13 Mei janganlah hendaknya dirasakan oleh beberapa orang saja, bahkan setiap orang dari kita hendaklah menaruh insaf akan peristiwa ini.

Pada hari itu kita disedarkan sehebat-hebatnya bahawa masalah yang amat berat dan segala langkah-langkah yang telah kita ambil di masa lampau sudah nyatalah tidak mencukupi.

Pergeseran antara kaum memang ada, tetapi kita terus menjalankan tugas masing-masing dengan harapan semoga bahang yang terpasang itu tidak akan meletus.

Sejak merdeka, cara kita hidup di negeri ini memang berdasarkan fahaman demokrasi dengan segala kebaikan yang ada padanya, dan juga berdasarkan sejarah yang membawa kepada perasaan rakyat pada hari itu; ia menyatakan apa yang berlaku pada hari yang mengandung tragedi itu dan peranan Angkatan Tentera dan Polis dalam meredakan rusuhan dan membawa negeri ini kembali kepada suasana yang dapat dikawali secara tegas oleh Kerajaan; dan akhirnya, ia menunjukkan jalan ke arah mana Negara kita harus bergerak.

Pengajaran yang kita dapati dari kekacauan itu sudah nyata. Negara ini tidak sanggup mengekalkan suatu sistem yang membiarkan sebarang orang bertutur atau bertindak yang mungkin melagakan satu kaum dengan kaum yang lain.

Kalau peristiwa 13 Mei ini hendak dielakkan daripada berlaku lagi; kalau Negara ini hendak selamat; mestilah kita pastikan supaya hal-hal yang mungkin menimbulkan ketegangan kaum tidak dipergunakan oleh golongan-golongan opportunis yang tidak bertanggungjawab.

Kita hanya dapat menjamin hal ini dengan mensyaratkan supaya hal-hal ini tidak dapat digunakan oleh penghasut-penghasut perkauman dan komunis dan subversif-subversif yang lain.

Oleh itu, perlulah kita menyusun suatu peraturan politik yang realistik dan yang mempertimbangkan sedalam-dalamnya akan segala keadaan masyarakat dan ekonomi rakyat kita dan yang berdasarkan pada suatu asas yang utuh dan bijaksana.

Laporan ini telah dibuat dengan penuh kesedaran bahawa perkara-perkara yang penting tidak boleh lagi ¨disapu ke bawah tikar¨ dan bahawa kenyataan-kenyataan 13 Mei mestilah disebarkan dengan luas kepada orang ramai.

Dan lagi Laporan ini telah ditulis dengan kesedaran bahawa matlamat kita kepada perpaduan kaum mestilah dihadapi dengan warasnya dan jalan-jalan lain yang terbuka di hadapan kita mestilah kita hadapi dengan tabah dan penuh tanggungjawab.

Haluan negara kita mestilah kita rencanakan dengan usaha-usaha yang bersatu dari semua golongan rakyat Malaysia yang taat setia, dengan usaha-usaha yang tabah dan penuh kepercayaan.

Adalah menjadi tujuan Kerajaan, selepas pencetakan Laporan ini, untuk menjemput semua wakil-wakil dari semua golongan di negara ini -wakil-wakil dari golongan politik, ugama, ekonomi dan lain-lain- untuk memberikan sumbangan dalam satu Badan Perundingan (Consultative Council)- di mana perkara-perkara yang melibatkan perpaduan negara kita boleh dibincangkan dengan sepenuhnya dan dengan ikhlas dan tidak secara selindung-menyelindungi.

Dengan cara ini adalah diharapkan bahawa kita akan mencapai satu persefahaman di atas soal-soal Kebangsaan yang menjamin keamanan, ketenteraman dan perpaduan negara kita pada masa hadapan dan bahawa tragedi 13 Mei tidak akan berlaku lagi.

Saya harap agar semua warga negara Malaysia akan memberi pemikiran yang mendalam terhadap matlamat ini supaya negara Malaysia akan terus menerus maju di dalam keadaan yang aman dan tenteram.

TUN HAJI ABDUL RAZAK BIN DATO´ HUSSEIN,
Pengarah Gerakan Negara

—————————————–

PENDAHULUAN

Tujuan kertas ini ialah untuk membentangkan butir-butir yang diketahui yang membawa kepada dan berkaitan dengan kekacauan kaum yang meletus pada 13 Mei, 1969 di Kuala Lumpur.

Peristiwa dahsyat yang berlaku pada 13 Mei itu adalah akibat daripada pelbagai perkembangan dalam sejarah negara ini sejak beberapa tahun yang lalu.

Antaranya ialah:

– ketiadaan perhubungan terus menerus antara generasi dan tafsiran yang berlainan oleh masing-masing kaum di negeri ini terhadap Perlembagaan, hingga membawa kepada bertambahnya pencerobohan politik oleh kaum-kaum mendatang terhadap beberapa perkara asasi dalam Perlembagaan berkaitan dengan Bahasa Melayu dan kedudukan Orang-orang Melayu, terutamanya Fasal 152 dan 153;

– hasutan, kata-kata lancang dan kelakuan provokatif dari ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti-parti perkauman dalam masa pilihanraya baru-baru ini;

– peranan yang dimainkan oleh Parti Komunis Malaya dan kongsi-kongsi gelap yang membangkitkan perasaan perkauman dan kecurigaan;

– dan kegelisahan, kemudiannya kehampaan, orang-orang Melayu dalam suasana yang menang sedia dimendungi perasaan saling tidak percaya mempercayai antara Melayu/Cina,

– dan bertambah pula di masa akhir-akhir selepas pilihanraya dengan berbagai cacian perkauman dan ancaman terhadap kesejahteraan dan kehidupan masa depan mereka, di tanahair mereka sendiri.

—————————————

BAHAGIAN SATU
LATARBELAKANG SEJARAH

SATU: MASYARAKAT MALAYA SEBELUM PERANG
Wujudnya keadaan hidup pelbagai kaum di negara ini sekarang adalah hasil daripada dasar ekonomi British sebelum perang, yang menggalakkan kemasukan orang-orang bukan Melayu beramai-ramai.

Orang-orang Cina dan India itu dianggap, pada masa itu, sebagai buruh berdagang, pergi dan datang mengikut pasang dan surutnya ekonomi Tanah Melayu.

Tetapi sejak tahun-tahun empat puluhan kurun ini mereka mulai tinggal terus beramai-ramai. Kekayaan ekonomi Tanah Melayu dan sikap murah hati dan sabar orang-orang Melayu yang telah dipergunakan oleh Kerajaan Penjajah menyebabkan orang-orang Cina dan India mencurah-curah datang dan keadaan demikian terus menerus berlaku hingga tahun-tahun tiga puluhan.

Satu sifat yang nyata dalam kehidupan di Tanah Melayu pada masa itu (hingga ke hari ini juga, kecuali kurang sedikit) ialah pemisahan kebudayaan oleh masing-masing kaum -sementara orang-orang Melayu terus dengan adat resamnya yang turun temurun, pihak berkuasa penjajah tidak menjalankan apa-apa usaha untuk membimbing kaum-kaum mendatang yang semakin bertambah itu ke arah cara hidup anak negeri yang mereka datangi.

Sebaliknya, dalam kebanyakan hal, kaum-kaum mendatang itu telah ditadbirkan berasingan dan mereka hidup bersendirian.

Inilah satu punca sikap yang terdapat di kalangan setengah-setengah kaum bukan Melayu sekarang dan kesulitan-kesulitan yang sedang dihadapi untuk mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu.

Orang-orang Cina di Tanah Melayu bukan tidak mempunyai ¨kesedaran politik¨. Tetapi bagi kebanyakan mereka dorongan politik itu dipengaruhi dari luar.

Mereka mengambil bahagian dan memberi banyak sumbangan, sebagaimana kebanyakan Cina-cina Seberang Laut Nanyang terhadap revolusi 1911 di Negeri China dahulu.

Dalam tahun 1912, Kuomintang menubuhkan satu cawangan di Tanah Melayu. Tidak lama kemudian cawangan-cawangan lain tumbuh sebagai cendawan, tetapi beberapa tahun kemudian semuanya pindah bergerak di bawah tanah disebabkan tentangan daripada pihak-pihak berkuasa Penjajah.

Selepas 1923, Pertubuhan Kuomintang dapat dipengaruhi kuat oleh Kominis dan menjelang tahun 1926 dakyah pemberontakan China semakin bertambah banyaknya. Kegiatan-kegiatan Kuomintang di Malaya jelas membayangkan perkembangan di Negeri China.

Dalam tahun 1927 Generalismo Chiang Kai Shek bertindak menghapuskan anasir-anasir kominis di kalangan Kuomintang. Ini menyebabkan pelampau-pelampau Kominis di Tanah Melayu, dengan bantuan lima orang wakil dari Parti Kominis China yang mendarat di Tanah Melayu pada akhir 1927, memisahkan diri daripada pertubuhan pusat lalu membentuk satu pertubuhan mereka sendiri.

Langkah ini besar akibatnya, bahkan merupakan satu peristiwa bersejarah dalam perkembangan Parti Kominis Malaya, yang dikuasai oleh orang-orang China.

Dalam masa perang dunia, orang-orang Melayu mulai sedar bahawa kemasukan orang-orang luar yang banyak itu, dan perhubungan mereka dengan kepentingan ekonomi British, membawa kesan buruk terhadap kedudukan politik orang-orang Melayu.

Kuasa Raja-raja Melayu sedang dikikis sedikit demi sedikit untuk mengadakan pentadbiran pusat. Malangnya semangat nasionalisme orang-orang Melayu sebelum perang kurang mendapat sokongan ramai dan tidak berkesan disebabkan perasaan kedaerahan mereka.

Kesedaran politik yang nyata di kalangan orang-orang Melayu hanya timbul selepas perang.

——————————————

DUA: DASAR BRITISH SELEPAS PERANG
Selepas perang, Kerajaan British berasa dasar mereka di Tanah Melayu hendaklah diubah dan diperbaharui supaya sesuai dengan zaman moden.

Mereka cuba mencantumkan Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat Pulau Pinang dan Melaka menjadi satu yang dinamakan Malayan Union untuk menggantikan pentadbiran Negeri-negeri Melayu sebelum perang yang berjalan berasingan yang dianggap oleh mereka sebagai tidak kemas.

Rancangan itu mengakibatkan penarikan balik dasar penjajah sebelum perang yang mengakui hak politik orang Melayu.

Rancangan ini melibatkan dua perkara:

– pertama, bentuk pentadbiran terpaksa disatukannya, dengan akibat melemahkan kedaulatan Raja-raja Melayu;

– kedua, orang-orang Melayu akan hilang kedudukannya yang didapati sebelum perang, iaitu identiti politik mereka sebagai Melayu kerana keistimewaan kewarganegaraan akan dibuka untuk semua orang (kecuali warganegara Jepun) tidak kira bangsa.

Mereka yang lahir dan bermastautin di Malayan Union akan terjumlah dalam golongan politik yang sama. Kertas Putih British mengenai perkara ini menerangkan, antara lain, ¨peringkatnya sudah tiba sekarang bagi sistem pentadbiran (di Malaya) dimudahkan dan diperbaharui¨.

Sir Harold MacMichael, Wakil Khas Kerajaan British, dihantar ke Tanah Melayu bagi mendapatkan persetujuan tiap-tiap Raja Melayu menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Inggeris, untuk mewujudkan Malayan Union.

Dihadapi oleh ancaman ini semangat kebangsaan orang-orang Melayu bangkit dengan serta merta.

Orang-orang Melayu, yang kian sedar akan kelemahan ekonominya dan persaingan ¨politik-ekonomi¨ di sekitar mereka yang ditimbulkan oleh kaum mendatang, bimbang mereka akan ditenggelamkan di bidang-bidang politik dan ekonomi dalam tanahair mereka sendiri oleh orang-orang bukan Melayu.

Orang-orang Melayu ¨dulunya miskin dalam negeri yang kaya,¨ dan mereka terasa benar yang kedudukan mereka dalam bahaya oleh ancaman terhadap keselamatan politik mereka.

Didorong oleh perkembangan nasionalisme Asia di sekeliling mereka, khususnya di Indonesia dan India, orang-orang Melayu berazam untuk menentang rancangan British hendak membentuk ¨Malayan Union¨.

Mereka bimbang mereka akan diperintah oleh kaum Cina yang taat setianya kepada Tanah Melayu masih mereka ragui. Sebagaimana telah dinyatakan tadi, kaum mendatang itu tidak ada pertalian di antara kaum-kaum anak negeri dan kebudayaan tempatan dalam kehidupan mereka.

Bagi orang-orang Melayu, taat setia kepada Sultan dan negeri adalah perkara tradisi; bagi orang Cina pula, pada pandangan orang Melayu, ¨taat setia¨ bererti taat setia dari segi politik terhadap negara -yang berhubung dengan kerakyatan, keuntungan politik dan penguasaan.

Natijah daripada tentangan meluas dari orang-orang Melayu, rancangan Malayan Union pun digugurkan dalam tahun 1948.

Perjanjian MacMichael dimansuhkan dan diganti dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dengan tujuan Persekutuan ini akan merupakan langkah ke arah pemerintahan sendiri.

UMNO, sebagai parti yang menentang Rancangan MacMichael, menjadi lambang perpaduan Melayu. Parti ini bersetuju pada dasarnya memberi hak kerakyatan kepada orang-orang bukan Melayu yang benar-benar taat setia kepada negara dan sanggup mengangkat sumpah taat setia terhadapnya.

Sungguh pun ada persetujuan untuk memberi hak-hak kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu, tetapi masih ada rasa tidak puas hati di kalangan orang-orang bukan Melayu yang terus menganggap bahawa tolak ansur ini tidak mencukupi.

————————————-

TIGA: KEGANASAN MPAJA
Tidak lama sebelum Singapura jatuh ke tangan Jepun pada awal Perang Dunia Kedua, Parti Kominis Malaya (MCP) yang sudah menerima sedikit sebanyak latihan daripada Inggeris, telah ditempatkan di tanah besar sebagai pasukan pertahanan menetang pendudukan Jepun.

Gerila-gerila ini kemudiannya menubuhkan pasukan-pasukan penentang yang mereka namakan ¨Tentera Bebas Anti Jepun Rakyat Malaya¨ (MPAJA).

Kebanyakan ahli-ahli pertubuhan ini terdiri daripada orang-orang Cina, dan lama kelamaan dalam masa pemerintahan Jepun itu, organisasi ini bertambah besar kerana disertai oleh lain-lain kumpulan penentang.

Sebagai gerila, Tentera MPAJA ini tidak merupakan ancaman berat kepada Jepun.

Walaupun pada lahirnya Parti Kominis Malaya bekerjasama dengan pihak bersekutu, tetapi sebenarnya mereka membuat persediaan untuk mengukuhkan MPAJA sebagai satu angkatan bersenjata yang kekal dengan tujuan hendak merampas kuasa di Malaya setelah Jepun dikalahkan oleh pihak bersekutu nanti.

Setelah Jepun menyerah diri, MCP dan MPAJA pun keluar lalu mengambil pemerintahan.

Sebaik muncul sahaja dari hutan dalam bulan Julai, 1945, mereka pun melakukan penganiayaan di sana sini kononnya terhadap orang-orang yang telah melakukan kesalahan jenayah kepada rakyat selain daripada mereka yang bersubahat dengan pemerintah Jepun.

Kemunculan orang-orang Cina yang bersenjata memakai uniform MPAJA telah mengubah sikap beberapa kumpulan masyarakat Cina kepada satu sikap yang dianggap oleh orang-orang Melayu sebagai sifat-sifat bongkak dan biadap.

Selama tiga bulan, dari mula Jepun menyerah diri hingga Inggeris mengambil kuasa semula, mereka mengadakan perbicaraan-perbicaraan sendirian melakukan kezaliman, membunuh ramai orang-orang Melayu dan Cina dan mengancam seluruh penduduk di mana-mana mereka bermaharajalela.

Perbuatan aniaya dan pembunuhan ramai orang-orang Melayu yang tidak berdosa dalam masa yang singkat MPAJA berkuasa itu adalah peristiwa yang terpaku di hati dan tidak akan dapat dilupakan oleh orang-orang Melayu tentang bahaya Cina berkuasa.

Kezaliman-kezaliman tersebut memuncak kepada pergaduhan yang besar dan sengit apabila orang Melayu bertindak balas terhadap orang Cina di kawasan-kawasan luar bandar.

—————————————

EMPAT: DARURAT TAHUN 1948
Parti Kominis Malaya yang kebanyakan terdiri daripada orang-orang Cina kemudian memulakan pemberontakan pada akhir Perang Dunia Kedua dengan tujuan hendak menggulingkan pihak berkuasa dan mengambil alih teraju pemerintahan negeri.

Untuk mengatasi ancaman ini, keadaan darurat pun diumumkan pada 20hb Jun, 1948.

Keganasan kominis yang meletus itu ialah satu percubaan terang-terangan hendak merampas kuasa, diberi semangat dan diarahkan oleh Cominform.

Pemberontakan ini telah didakyahkan dengan cara yang bijak dan bersifat perkauman, dan tidaklah menghiraukan apabila sebahagian besar daripada masyarakat Cina memberikan sokongan.

Sebaliknya kebanyakan daripada anggota-anggota pasukan keselamatan terdiri daripada orang-orang Melayu.

Inilah gerangan orang-orang Melayu mensifatkan keganasan kominis itu serupa dengan ancaman orang Cina.

Orang-orang Cina, sebaliknya, setelah sengaja mengasingkan diri daripada kebudayaan dan adat resam tempatan, tidak pula merasa terikat kepada negeri ini. Sikap ini sentiasa dicurigai oleh orang-orang Melayu.

Sementara itu, kerajaan sedar bahawa penduduk-penduduk negeri ini mestilah disatukan menjadi sebagai bangsa Malaya yang tunggal supaya dapat menentang ancaman daripada Cina kominis.

Alat-alat sebaran am telah digunakan sepenuhnya untuk meneruskan konsep satu bangsa Malaya. Kejayaan ini pada mulanya agak terbatas.

Antara 1949 dan 1951, usaha-usaha kerajaan Inggeris untuk menggalakkan orang-orang Cina masuk berkhidmat dalam polis tidak begitu berjaya.Hanya 200 orang pemuda Cina tampil ke hadapan.

Apabila Kerahan Tenaga Rakyat (National Service) dikuatkuasakan pada tahun 1950, ramai orang-orang Cina dan India memilih untuk meninggalkan negeri ini.

Dari bulan Februari sampai Ogos, 1951, lebih daripada 10,000 pemuda Cina lari ke negeri China untuk mengelakkan panggilan berkhidmat.

Keadaan ini menambahkan lagi kehampaan orang-orang Melayu malahan menyebabkan beberapa teguran-teguran rasmi. Mendiang Sir Henry Gurney pernah mengatakan:

¨Perasaan kecewa telah timbul di kalangan semua masyarakat lain tentang keegoan orang-orang Cina memberi pertolongan. Mereka (orang-orang Cina) hidup bersenang lenang dan mengumpulkan tenaga semata-mata untuk mencari kekayaan…¨

Pada tahun 1952, percubaan yang kedua untuk mengambil 2000 orang pemuda Cina gagal lagi walaupun Persatuan Cina Malaya (MCA) telah menawarkan hadiah antara $50 hingga $300 kepada tiap-tiap rekrut Cina dalam latihannya.

Walau bagaimanapun, tidaklah seharusnya dilupakan bahawa ada juga beribu-ribu orang Cina dari semua lapisan hidup, terutamanya mereka yang bertugas dalam perkhidmatan awam yang telah berdiri teguh di belakang kerajaan serta memberi sumbangan yang besar bagi menamatkan darurat.

———————————————-

LIMA: KOMINIS MENCUBA LAGI
Semenjak diusir ke bawah tanah beberapa tahun yang lalu, Parti Kominis Malaya sebagai satu kuasa ganas telah menyembunyikan kukunya. Anggotanya bagaimanapun tidak putus harapan untuk merebut kuasa.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, mereka dengan senyap-senyap telah melengkapkan diri untuk cergas semula dalam politik.

Kegiatan-kegiatan MCP dijalankan dengan tujuan dan helah (strategy) yang pasti, iaitu hendak melemahkan negara dengan mengambil kesempatan penuh daripada apa sahaja perkara yang mudah menyinggung perasaan dan menimbulkan pertelingkahan, terutamanya sekali soal-soal ekonomi dan perkauman, dalam proses jangka panjang untuk ¨melemahkan¨.

Berikut ini ialah beberapa contohnya:

(i) Pada tahun 1967, ketika mata wang lama diturunkan nilainya, ejen-ejen Mao yang diketahui menggunakan hal itu untuk menyebarkan propaganda-propaganda anti penurunan nilai mata wang, mengadakan tunjuk-tunjuk perasaan haram dan menghasut supaya orang ramai jangan berpuas hati.

Mereka pilih Pulau Pinang sebagai sasaran, kerana suasana perkauman yang sangat mudah tersinggung wujud di situ.

Kepintaran mereka menggunakan keadaan itu telah mencetuskan pertempuran Cina-Melayu yang merebak luas pada 24hb November 1967, mengakibatkan kematian beberapa ramai lagi cedera, dan beberapa buah rumah dan kenderaan terbakar.

Berikutan dari peristiwa-peristiwa ini, suasana curiga dan gelisah memendungi fikiran penduduk-penduduk hingga beberapa lama.

(ii) Pada pertengahan 1968, tiga belas orang pengkhianat -dua Melayu dan sebelas Cina- telah dikenakan hukuman mati kerana kegiatan mereka mengkhianati negara dalam masa konfrontasi.

Ejen-ejen Mao pun memulakan kempen propaganda besar-besaran menyebelahi sebelas orang pemuda Cina yang dihukum itu, dengan membangkitkan perasaan-perasaan perkauman dan peri kemanusiaan.

Begitu berkesan kempen propaganda itu sehingga bukan sahaja ia menimbulkan sokongan orang-orang Cina tempatan tetapi juga menarik simpati dunia.

Selain daripada rayuan-rayuan oleh ketua-ketua kaum tempatan, pemimpin Kristian Pope juga menghantar kawat kepada Perdana Menteri, merayu atas nama peri kemanusiaan, supaya hukuman bunuh itu jangan diteruskan.

Perasaan orang ramai di Malaysia menjadi tegang, dan pergaduhan antara kaum yang dahsyat hanya telah dielakkan melalui usaha Perdana Menteri yang menyembahkan kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Perak meminta supaya hukuman mati ke atas kesemua tiga belas orang itu diubah kepada hukuman penjara seumur hidup.

(iii) Pada 24hb April, 1969, kira-kira dua minggu sebelum pilihanraya umum, seorang pekerja parti UMNO telah dibunuh oleh anasir-anasir subversif di Pulau Pinang.

Anasir-anasir ini, yang diketahui mempunyai hubugan dengan Mao, pada ketika itu sedang giat menghasut supaya pilihanraya umum itu dipulaukan.

Keadaan tegang antara kaum telah dimarakkan hingga menjadi demikian hangat.

Pertempuran yang dahsyat hanya dapat dielakkan pada akhirnya apabila pemimpin-pemimpin UMNO mengarahkan penyokong-penyokong mereka supaya mengkebumikan simati itu dengan senyap-senyap dengan demikian tidak memberi anasir-anasir Mao itu peluang untuk menimbulkan pergaduhan kaum.

…bersambung…

Advertisements

One thought on “Laporan 13 Mei

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s