Rahmat Dengan Mentauhidkan-Nya

Standard

Kritikan puak-puak pejuang liberalisme berbangsa Melayu terhadap tindakan JAIS merampas ratusan Bible yang mengandungi kalimah Allah baru-baru ini dikatakan bersandarkan kepada prinsip-prinsip Islam dalam hubungannya dengan orang bukan Islam.

Antara yang sering diutarakan ialah ayat 107 daripada Surah al-Anbiya´, yang bermaksud, ¨Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam¨, ayat 256 daripada Surah al-Baqarah, yang bermaksud, ¨Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam)¨ dan ayat 125 daripada Surah an-Nahl, yang bermaksud, ¨Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik¨.

Isu JAIS bukan yang pertama, bahkan ketiga-tiga ayat di atas sering dijadikan hujah untuk menyokong pendirian mereka, antara lain dalam isu hukuman terhadap orang murtad, isu nama suci Allah, isu tahaluf siyasi dan lain-lain. Seolah-olah agama Islam ini hanya berkisar pada ketiga-tiga ayat itu, ataupun lebih tepat lagi mereka hanya mahu merujuk kepada tiga ayat itu sahaja. Mereka bercakap tentang konsep hubungan Islam dengan bukan Islam dan berpada dengan tiga ayat ini.

Bagaimana pula pandangan mereka terhadap ayat 29 daripada Surah Taubah, yang bermaksud, ¨Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri¨ dan ayat 123 daripada surah yang sama, yang bermaksud, ¨Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya)¨.

Artikel ini tidak bermaksud mahu menghuraikan konsep Jihad dalam Islam, yang antara lain ayat-ayat pentingnya ialah ayat 29 dan 123 Surah Taubah di atas. Tidak juga mahu menyenaraikan ayat-ayat Wala´ dan Bara´, yang begitu banyak, yang merupakan asas-asas penting apabila kita membincangkan topik hubungan Islam dengan bukan Islam. Kedua-duanya berkaitan hubungan dengan bukan Islam. Kedua-duanya memerlukan tajuk penulisan khusus dan artikel ini bukan untuk tujuan itu.

Apa yang ingin diutarakan ialah kecenderungan mereka untuk mengambil satu atau dua ayat yang boleh menyokong pendirian yang telah diputuskan terlebih dahulu, tanpa melihat kepada keseluruhan ayat-ayat lain yang menyentuh tentang prinsip Islam dalam konteks hubungannya dengan bukan Islam. Perkara ini bertambah buruk apabila penafsiran terhadap satu atau dua ayat itu juga tidak menyeluruh, tanpa merujuk kepada kitab tafsir muktabar dan tanpa mengambil kira urutan ayat sebelum dan selepasnya.

Ibnu Abbas diriwayatkan berkata dalam menafsirkan ayat 107 Surah al-Anbiya´ itu, ¨Sesiapa yang mengikut Baginda maka baginya rahmat di dunia dan akhirat. Sesiapa yang tidak mengikut Baginda (kufur), maka rahmatnya ialah tidak diseksa dengan ditelan bumi dan dihujani batu dari langit seperti kaum terdahulu¨.

Riwayat Ibnu Abbas ini kita temui dalam setiap kitab Tafsir Tabari, Ibnu Kathir dan Qurtubi. Mari kita perhatikan pula kata-kata al-Allamah Ibnul Qaiyim al-Jauziah tentang perselisihan pendapat ulamak tentang ayat ini; adakah seluruh alam itu bermaksud orang-orang mukmin sahaja atau keseluruhan manusia?

Kata al-Allamah Ibnul Qaiyim,¨bahawa seluruh alam secara umumnya mendapat manfaat daripada pengutusan Baginda. Adapun pengikut-pengikut Baginda (orang-orang yang beriman) maka mereka mencapai kemuliaan dunia dan akhirat. Adapun musuh yang memerangi Baginda maka penyegeraan pembunuhan dan kematian mereka adalah lebih baik daripada mereka hidup, kerana hidupnya mereka bermakna bertambah kuat azab ke atas mereka di akhirat kelak sedangkan mereka telah diputuskan mendapat kecelakaan, maka penyegeraan kematian mereka adalah lebih baik bagi mereka daripada panjang umur dalam kekufuran. Adapun Muahadun (Ahli Zimmah) maka mereka dapat hidup di bawah naungan, perjanjian dan jaminan Baginda, dan nasib mereka tidak seburuk orang yang memerangi Baginda disebabkan perjanjian Zimmah itu¨.

Jelas daripada riwayat Ibnu Abbas itu bahawa sifat rahmat itu tiada kena mengena dengan isu berlembut dalam isu penguatkuasaan undang-undang dalam negara Islam. Ibnul Qaiyim pula jelas menumpukan rahmat ke atas rakyat bukan Islam dalam negara Islam berasaskan perjanjian mereka sebagai rakyat. Antara perjanjian itu ialah mematuhi undang-undang dan peraturan yang sah, yang dikuatkuasakan oleh pemerintah. Jelas sekali larangan penggunaan kalimah Allah merupakan undang-undang dan peraturan yang sah, yang mesti dipatuhi oleh seluruh rakyat.

Lebih jelas lagi apabila kita ikuti penegasan Allah Taala dalam ayat berikutnya, iaitu ayat 108 yang bermaksud, ¨Katakanlah: “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”

Kata Syed Qutb dalam Fi Zilal al-Quran mengulas ayat 108 ini, ¨Sesungguhnya inilah unsur tonggak rahmat dalam risalah (Baginda) itu. Unsur tauhid mutlak, yang menyelamatkan manusia daripada waham jahiliyah, daripada beban keberhalaan, daripada tekanan waham dan khurafat. Tauhid yang mendirikan kehidupan di atas asasnya yang kukuh, maka ia mengikat kehidupan dengan alam wujud keseluruhannya berdasarkan undang-undang alam yang jelas dan tetap, bukan berdasarkan hawa nafsu dan kecenderungan syahwat. Tauhid yang menjamin bagi setiap insan keupayaan untuk berdiri tegak dan tidak tunduk kecuali kepada Yang Maha Esa Yang Maha Perkasa.

Inilah jalan rahmat, ¨maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?¨. Itulah satu soalan yang Rasulullah S.A.W. diarahkan agar melontarkannya kepada mereka yang mendustakan dan mengejek Baginda.

Allah S.W.T. tidak mengutuskan Rasulullah S.A.W. melainkan kerana kasih sayang dan rahmat-Nya ke atas umat manusia yang sesat tanpa tauhid. Akidah tauhid adalah hakikat sebenar rahmat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Konsep Rahmatan lil Alamin tidak boleh difahami dalam kerangka humanisme Barat dan pluralisme agama yang menyamaratakan antara tauhid dan syirik.

Bagaimana pula jika saya utarakan tentang pendirian para fuqahak Hanafiah, Hanabilah dan Syafieyah yang sepakat melarang Ahli Zimmah daripada menzahirkan syiar agama mereka di khalayak ramai, di luar rumah ibadat mereka, kecuali di kawasan penempatan didominasi oleh mereka. Pendirian para fuqahak itu bukan kerana syiar agama bukan Islam itu sendiri, akan tetapi atas sebab lain iaitu bagi mengelakkan berlakunya fitnah dan kemudaratan ke atas akidah umat Islam. Jika pengharaman itu kerana syiar agama bukan Islam itu sendiri, sudah tentu para fuqahak melarangnya tanpa ada sebarang pengecualian. Ertinya kebebasan agama wujud di situ, tetapi dalam batas yang dibenarkan. Soalnya ialah adakah mereka melihat bahawa pendirian para fuqahak ulung yang melarang syiar agama bukan Islam itu bertentangan dengan semangat ayat 107 daripada Surah al-Anbiya´? Jika jawapannya ya, bermakna puak-puak liberal mendakwa lebih memahami al-Quran berbanding ulamak muktabar Islam.

Tiada siapa yang menyanggah kebebasan iktikad dan kepercayaan bagi rakyat bukan Islam di negara ini. Ia merupakan hak rakyat bukan Islam yang diiktiraf oleh Islam. Bagaimanapun kebebasan itu tertakluk pada undang-undang dan peraturan yang dikenakan oleh pemerintah yang tanggungjawabnya ialah untuk menjaga kemaslahatan umat Islam dan menjauhkan mereka daripada kemudaratan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 – 7 Mei 2008 telah memberi keputusan. Majlis Syura Ulamak PAS juga telah memberi keputusan. Keputusan Mahkamah Rayuan juga telah diketahui. Apalah gunanya undang-undang jika tiada penguatkuasaan.

Tetapi pejuang liberalisme sememangnya menggunakan kaedah sanggah dan persoal setiap tindakan pihak berotoriti dalam agama. Mereka akan kembangkan dan budayakan sikap anti terhadap pihak berkuasa agama terutamanya di kalangan anak muda. Pendekatan mereka ini berpunca daripada fahaman mereka yang menghadkan konsep kerajaan itu hanya pada menyediakan pra sarana awam, petugas kehakiman dan petugas keselamatan. Pihak berkuasa agama tidak diperlukan, kerana yang demikian itu pada mereka sudah campur tangan dalam hak kebebasan individu.

Peristiwa pihak JAIS merampas beratus naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban baru-baru ini bukan saja telah dimanipulasi oleh politikus-politikus tertentu untuk meraih sokongan orang Kristian, bahkan reaksi kepada peristiwa itu turut menzahirkan pengaruh liberalisme dan pluralisme agama dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kalangan Islamis. Keghairahan untuk meraih sokongan bukan Islam menyebabkan Dr Mujahid secara sedar mahupun tidak sedar menggunakan hujah-hujah yang sering digunakan oleh puak-puak pejuang liberalisme dan pluralisme agama.

Kesimpulannya, membawa ayat 107 daripada Surah al-Anbiya´ sebagai satu hujah menyanggah tindakan penguatkuasaan JAIS adalah tidak kena pada tempatnya. Bahkan ayat itu dipergunakan demi meraih sokongan bukan Islam dan menjustifikasikan pendekatan berbaik sangka dengan bukan Islam dan sebaliknya berburuk sangka sesama Islam. Perkara ini amat jelas dalam kenyataan Dr Mujahid yang disiarkan dalam Kinitv, apabila beliau menegaskan tiada agenda Kristianisasi dalam penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian, sebagai satu sikap sangka baik terhadap bukan Islam, tetapi sebaliknya menuduh bahawa larangan penggunaan kalimah itu untuk tujuan kepentingan politik lawan semata-mata, satu sikap sangka buruk tanpa mengambil kira pendapat lebih 80% umat Islam negara ini yang tidak bersetuju penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam. Bahkan sangka buruk melampau itu telah membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS sendiri.

Advertisements

2 thoughts on “Rahmat Dengan Mentauhidkan-Nya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s