Ingkar Mungkar Akbar

Standard

logo ikhwanSaya diminta untuk mengulas tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan-rakan Salafi, mengenai hukum menjatuhkan kerajaan Sisi di Mesir, sama seperti haram menjatuhkan kerajaan Morsi. Saya kira pandangan itu mewakili pandangan kebanyakan aliran Salafi, walaupun tidak semua begitu. Bagaimanapun pandangan itu tidak tuntas sifatnya dan amat simplistik bagi sebuah peristiwa pertembungan yang bersejarah di Mesir, bukan semata-mata pertembungan politik, bahkan pertembungan antara hak dan batil.

Sebelum kita pergi jauh mengulas tentang hukum menjatuhkan kerajaan Sisi di Mesir ini, adalah amat dituntut agar kita memahami dengan baik kewajiban Amar Makruf Nahi Mungkar.

Firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran ayat ke 11:

كنتم خير أمّة أخرجت للناس، تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله

Maksudnya: “Kamu adalah sebaik-baik umat diutuskan kepada manusia, kamu menyuruh dengan kebaikan dan melarang daripada kemungkaran, serta kamu beriman dengan Allah”.

Jelas sekali dalam ayat ini, kewajiban Amar Makruf Nahi Mungkar itu adalah ciri yang melayakkan kita menjadi sebaik-baik umat. Itu tugas kita. Realitinya ramai umat Islam meninggalkan kewajiban ini, sehingga menyebabkan pihak yang melakukan kemungkaran bermaharajalela.

Nas yang kedua yang perlu diberi perhatian dalam konteks kewajiban Amar Makruf Nahi Mungkar ini ialah sabda Rasulullah S.A.W. yang masyhur:

“Sesiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangan. Jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.

Jelas sekali dalam hadith ini bahawa menghentikan kemungkaran itu hendaklah dilakukan dengan kuasa terlebih dahulu. Jika tiada kuasa barulah beralih kepada nasihat. Jika tidak mampu juga barulah beralih kepada hati dengan perasaan tidak redha terhadap kemungkaran itu. Suami berkuasa di dalam rumahtangganya. Majikan berkuasa di tempat kerja. Pemerintah berkuasa dalam sesebuah negara.

Kuasa tidak menafikan usaha penerangan dan nasihat terlebih dahulu.

Kemungkaran pula ada beberapa tahap:

Tahap pertama ialah tahap individu. Kemungkaran dilakukan oleh individu secara terang-terangan dalam sebuah negara yang melaksanakan undang-undang Islam. Individu ini boleh ditangkap di bawah akta yang ada dan dihadapkan ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman jika didapati bersalah. Itulah pencegahan kemungkaran menggunakan kuasa, iaitu kuasa pemerintah, dalam konteks contoh tersebut.

Tahap kedua ialah tahap masyarakat. Kemungkaran merupakan fenomena yang dilakukan oleh individu-individu masyarakat dalam sebuah negara yang tidak melaksanakan undang-undang Islam, sama ada tiada undang-undang itu atau tidak dikuatkuasakan. Sebagai contoh jelas di sini ialah mendedahkan rambut bagi wanita Islam. Ia merupakan kemungkaran yang qatie (muktamad). Mesti dicegah. Tetapi disebabkan tiada penguatkuasaan, maka ia menjadi fenomena. Penghentian fenomena mungkar ini hanya boleh dilaksanakan melalui kuasa undang-undang. Nasihat hanya usaha lemah yang tidak akan mampu menghentikannya. Walaupun tidak dinafikan ramai yang bertudung hasil dakwah secara lisan dan teladan, namun fenomena tidak bertudung (mungkar) dalam masyarakat hanya boleh ditamatkan melalui undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pemerintah.

Sebelum kita pergi lebih jauh, suka saya peringatkan kita sedang membicarakan Amar Makruf Nahi Mungkar menggunakan kuasa, tanpa menafikan bahawa masyarakat dan individu mesti diberi penerangan dan kefahaman tentang ajaran Islam dari semasa ke semasa, dan ia merupakan perkara yang berlaku dalam realiti negara kita.

Dalam masa yang sama juga, premis perbincangan kita ialah Islam merupakan agama individu, masyarakat dan negara. Tidak seperti premis orang-orang Barat yang melihat agama sebagai isu peribadi semata-mata, maka tidak timbul langsung ajaran agama boleh dikuatkuasakan melalui undang-undang di sisi mereka. Bagi sesiapa yang mendukung fahamannya berdasarkan premis orang-orang Barat itu, ingin saya sebut bahawa kita berbeza bukan sekadar tentang konsep Amar Makruf Nahi Mungkar, bahkan sebenarnya kita sudah berbeza tentang konsep agama itu sendiri. Lakum dinukum waliya din.

Tahap seterusnya ialah kemungkaran itu dilakukan oleh institusi dan negara. Apabila kerajaan yang memerintah negara melakukan kemungkaran, maka jalan cegah kemungkaran melalui kuasa di sini adalah dengan cara penglibatan politik. Adalah tidak benar sama sekali kenyataan yang mengatakan bahawa pencegahan kemungkaran hanya dengan menasihati pemimpin selama-lamanya. Bagaimanapun penglibatan politik itu perlu dihuraikan dengan lebih lanjut.

Dalam sebuah negara demokrasi, persaingan membina kuasa pengaruh dibenarkan oleh undang-undang. Saya merujuk kepada sistem demokrasi sebagai satu sistem yang berlaku di alam realiti, di kebanyakan negara dunia, kecuali Arab Saudi. Ini juga merupakan faktor perbezaan antara aliran Salafi yang banyak merujuk kepada ulamak Saudi dengan aliran fahaman Ikhwan yang lebih bersifat universal, iaitu mengambil kira pelbagai realiti sistem yang ada di dunia ini. Menerima realiti tidak bermaksud menerima bulat-bulat sebagai sesuatu yang sahih dan betul. Dua perkara yang berbeza.

Apabila persaingan membina kuasa pengaruh dibenarkan oleh undang-undang, maka ia boleh digunakan sebagai kaedah untuk menekan pihak pemerintah agar menghentikan kemungkaran yang dilakukannya. Di sinilah gerakan Islam perlu kepada penglibatan politik. Sesungguhnya kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah merupakan induk kepada segala kemungkaran yang lain. Mungkar akbar. Pemerintah mesti ditekan, melalui aktivisme politik, agar berubah. Jika tidak, maka tempatnya perlu digantikan menurut undang-undang pertukaran kuasa dalam sistem demokrasi.

Bagaimanapun, suatu perkara yang amat penting bagi gerakan Islam yang mahu melakukan Amar Makruf Nahi Mungkar tahap negara ini ialah faktor dokongan dan sokongan masyarakat. Pendek ceritanya ialah masyarakat mesti menyokong dan mendokong projek Amar Makruf Nahi Mungkar ini, walaupun terpaksa mengorbankan kesenangan hidup demi prinsip Islam yang mereka pegang. Rakyat Mesir yang bersama Ikhwan bukan saja sanggup mengorbankan kesenangan, malah sanggup menggadaikan nyawa demi menamatkan kemungkaran akbar itu, KETIKA PERTEMBUNGAN DI KEMUNCAK.

Inilah yang berlaku pada rakyat Mesir. Setelah melihat kemungkaran yang dilakukan oleh regim Sisi, ramai di kalangan mereka yang menjatuhkan Morsi kembali sedar, lalu menyertai perhimpunan aman di Rabaah Adawiyah. Apakah kemungkaran yang lebih besar daripada pengkhianatan terhadap saudara-saudara kita di Gaza? Apakah kemungkaran yang lebih besar daripada membunuh rakyat sendiri? Saya rasa tidak perlu mengajar tentang nas yang mengharamkan penumpahan darah seorang muslim dan betapa beratnya peristiwa itu di sisi Allah. Apatah lagi jika beribu nyawa.

Seorang tokoh aliran Salafi di tanahair juga menyatakan bahawa jalan penyelesaian Mesir ialah rakyat perlu kembali ke rumah dan beribadat. Tidakkah itu bermakna membiarkan pemerintah regim tentera bermaharajalela melakukan kemungkaran yang tidak perlu diungkapkan lagi di sini, sedangkan rakyat mempunyai kuasa untuk membantah? Tidakkah membiarkan kemungkaran itu satu kemungkaran, yang ancaman terhadap orang yang melakukannya amat menakutkan seperti tercatat dalam beberapa ayat muhkamat dalam al-Quran? Oleh itu adalah jelas haram hukumnya jika kita membiarkan kemungkaran di ketika kita mampu melakukan pencegahan menurut kadar kuasa yang kita ada.

Di samping itu, saranan agar duduk di rumah dan beribadat ini agak mirip dengan formula sekularisme yang menyarankan ibadat itu terasing daripada amalan politik.

Rakyat Mesir mempunyai kuasa untuk duduk protes dan itu merupakan kuasa yang diiktiraf syarak sebagai cara untuk menekan pemerintah agar menghentikan kemungkaran mereka. Dalam konteks Mesir sekarang, pemerintah perlu berundur. Undang-undang dalam sistem demokrasi juga membenarkannya. Duduk protes itu juga tiada langsung campur tangan luar yang boleh memudaratkan kedaulatan negara. Bahkan sebaliknya, regim yang mereka protes secara terang-terangan didanai oleh kuasa luar, sehingga meletakkan kedaulatan negara mereka di kaki kuasa besar kuffar, Amerika dan Barat. Lagi mendukacitakan apabila Arab Saudi sendiri membiayai pemberontakan terhadap pemerintah yang dipilih secara sah. Apakah hukumnya itu?

Kesimpulannya, hukum hakam yang dikeluarkan itu lebih menurut kecenderungan untuk tidak bersetuju dengan aliran Ikhwan Muslimin.

Wallahu a’lam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s