Isu Berbilang Parti Politik Dalam Negara Islam

Standard

Berikut adalah terjemahan ringkas kepada sebahagian tulisan Ustaz Dr Solah as-Sowi dalam bukunya bertajuk at-Taaddudiah as-Siyasiah Fi ad-Daulah al-Islamiah (Berbilang Parti Politik Dalam Negara Islam).

Prinsip Politik Islam

Amalan politik dalam Islam adalah berpandukan beberapa asas dan kaedah umum seperti berikut:

Pertama: Ketuanan Syarak

Antara prinsip yang terlalu mendasar dalam Islam ialah syarak merupakan kata pemutus dan hukum tertinggi. Sepakat ulamak sejak zaman berzaman dan di seluruh pelusuk dunia bahawa tiada agama kecuali yang diwajibkan Allah dan tiada syariat kecuali yang disyariatkan-Nya. Tiada halal kecuali yang dihalalkan Allah dan tiada haram kecuali yang diharamkan-Nya. Akal bukanlah pensyariat, ijmak tidak berlaku kecuali di atas nas, tiada qias bersama wujudnya nas, tiada maslahat yang diiktiraf jika bertentangan dengan syarak.

Kedua: Kuasa Rakyat

Ketuanan syarak tidak bermakna teokrasi yang difahami oleh dunia Barat, kerana sumber kuasa politik dan sumber sistem perundangan perlu dibezakan dalam manhaj Islam. Kuasa politik sumbernya ialah umat, manakala sistem perundangan sumbernya ialah syarak. Jika hukum tertinggi adalah syarak, maka kuasa untuk melantik, mengawasi dan memecat adalah hak milik umat berdasarkan kerangka ketuanan syarak. Banyak kekeliruan telah berlaku akibat tidak dapat membezakan antara dua perkara tersebut.

Ketiga: Kedaulatan Undang-undang

Kehakiman dalam Islam mempunyai kedudukan yang dihormati, bebas dan tiada yang mengatasinya kecuali syarak. Tiada mana-mana pemerintah dibenarkan untuk campur tangan atau mencabul kedaulatan undang-undang.

Keempat: Memelihara hak dan kebebasan awam

Berdasarkan analisis nas-nas hukum syarak, jelas sekali bahawa hukum-hukum syarak datang untuk mencapai kemaslahatan manusia, sama ada bersangkutan urusan dunia mahupun agama. Tujuan hukum-hukum tersebut adalah untuk: Menjaga agama, menjaga jiwa, menjaga maruah, menjaga akal, menjaga harta.

Dari sudut kebebasan pula, tauhid merupakan satu perisytiharan pembebasan manusia daripada memperhambakan diri sesama mereka kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah.

Kelima: Hisbah

Hisbah ialah amar makruf apabila zahir peninggalannya dan nahi mungkar apabila zahir perbuatannya. Ia merupakan satu bidang kuasa khusus dalam “Wilayah Ammah” dalam negara Islam. Sesungguhnya menjaga agama adalah tanggungjawab pertama dan utama mana-mana kerajaan dalam negara Islam. Bahkan ia juga merupakan tanggungjawab rakyat secara keseluruhannya.

Hisbah hanya berlaku terhadap perkara yang zahir sahaja, daripada perbuatan makruf dan mungkar. Hisbah tidak berlaku dalam perkara-perkara yang bersifat “Ijtihadi”.

Keenam: Syura

Syura merupakan antara “Usul Kulliyah” dalam politik Islam. Umat adalah sumber kuasa, menuruti kehendaknya adalah satu kelebihan, manakala mengetepikan pandangannya adalah satu kesilapan. Bahkan syariat menjadikan syura sebagai kaedah pembuatan keputusan dalam segala permasalahan.

Garis panduan politik kepartian:

  1. Kesemua parti mestilah berpegang pada kerangka dasar Islam yang tetap iaitu al-Quran, Sunnah dan Ijmak.
  2. Selain kerangka dasar Islam yang tetap tersebut, kepentingan tertinggi kedudukan Islam dalam negara hendaklah menjadi faktor penyatu antara parti-parti. Faktor penyatu itulah yang menghimpunkan semua parti, menjadikan mereka bagai satu suara, satu kuasa mendepani usaha-usaha pihak luar yang mahu menggugat kedudukan itu.
  3. Kepentingan umat keseluruhannya hendaklah menjadi ganti kepada kepentingan parti. Wakil rakyat hendaklah membawa suara kebenaran dan kepentingan umat, mengatasi kepentingan politik kepartian. Mengutamakan kepentingan parti mengatasi suara kebenaran dan kepentingan umat merupakan satu jenayah asobiah jahiliyah yang ditegah oleh Nabi S.A.W.
  4. Memberikan ketaatan kepada “al-Imam al-Am” sebagai simbol kesatuan dan perpaduan. Posisi “al-Imam al-Am” hendaklah berada jauh daripada pertelingkahan politik kepartian. Ia menjadi benteng keadilan bagi semua pihak, mengeluarkan perintah tatkala krisis memuncak, untuk mengembalikan semua pihak ke pangkal jalan. Dengan cara demikian, kekeliruan mengenai “الجروج على الجماعة” dapat dihapuskan.
Advertisements

One thought on “Isu Berbilang Parti Politik Dalam Negara Islam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s