Nasionalis atau sekularis?

Standard

Saya ingin merujuk kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam Malaysian Insider bertarikh 26hb Oktober 2011, menyifatkan gejala murtad, yang menjadi agenda khusus Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Sabtu lalu, berlaku di negara ini disebabkan tindakan tidak melaksanakan pemerintahan Islam oleh golongan nasionalis. Saya kira pandangan Tuan Guru ini perlu diberikan perhatian serius kerana terdapat beberapa noktah yang perlu dihuraikan.

Pertama sekali saya menganggap Tuan Guru tidak bermaksud fahaman nasionalisme itu keseluruhannya salah. Ini kerana ia bergantung kepada tujuan fahaman itu sendiri. Perkara ini telah dijelaskan oleh al-Imam Hasan al-Banna kira-kira 70 tahun yang lampau. Saya petik di bawah ini kata-kata beliau agar menjadi panduan kepada generasi muda, supaya kata-kata Tuan Guru itu difahami dalam konteksnya yang betul. Saya kira Tuan Guru maksudkan nasionalis itu ialah pemerintah UMNO, sedangkan nasionalisme itu luas ertinya dan nasionalis tidak semestinya orang UMNO. Sesiapa yang membaca “Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad”, sebuah buku tulisan Mokhtar Petah terbitan IKDAS tahun 2010, sudah tentu mendapat gambaran yang jelas betapa Allahyarham adalah seorang yang nasionalis Islamis. Pada pendapat saya, istilah sekularis lebih tepat untuk digunakan oleh Tuan Guru dalam kenyataannya itu.

Hasan al-Banna berkata, “Jika nasionalisme yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi mutakhir perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, dihormati, cemerlang, berkeyakinan tinggi dan menjadikan mereka sebagai contoh yang baik; Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lantaran itu menjadi pembakar semangat dan perangsang. Jika ini yang dimaksudkan, ia adalah suatu tujuan yang baik. Kami sokong dan kami galakkan. Bukankah usaha kita membangkitkan semangat generasi masa kini bertujuan supaya mereka mencontohi kehebatan generasi silam.”

“Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah keluarga dan bangsanya adalah orang yang paling utama untuk menerima layanan baik dan orang yang paling utama dilimpahkan segala sumbangan dan jihad, maksud ini adalah benar. Siapakah yang tidak merasakan bahawa orang yang paling utama untuk menerima sumbangannya ialah bangsanya sendiri yang telah membesarkannya?”

“Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kita semua dituntut supaya berusaha dan berjihad, maka menjadi kewajipan setiap kumpulan untuk berusaha mencapai matlamat ini sehingga dengan izin Allah masing-masing mencapai kejayaan. Inilah pengagihan tugas yang terbaik. Siapa lagi kalau bukan kita yang membekalkan kepada umat Timur dengan pelbagai pasukan dan ketumbukan jihad dalam setiap lapangan sehingga kita bertemu semuanya dalam kemerdekaan dan kebebasan.”

“Semua nilai nasionalisme ini dan yang seumpamanya adalah nilai yang baik, disanjungi dan tidak dilarang oleh Islam. Nilai ini menjadi ukuran kita dan kita bukan sahaja menerima dengan senang hati semua nilai ini malah kita sokong.”

“Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus. Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh. Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah negara yang agak fanatik. Sehingga ke tahap menghancurkan semua imej Islam dan Arab. Termasuk mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya jahiliyyah yang telah sekian lama pupus. Jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang amat buruk.”

“Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri hingga ke tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri sepertimana yang pernah dilakukan oleh Jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa mereka lebih istimewa berbanding bangsa-bangsa lain, maka maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggah sama sekali dengan nilai peri kemanusiaan.”

Saya sengaja membawa petikan ini dengan panjang lebar, agar generasi muda faham tentang keluasan erti nasionalisme, supaya mereka tidak “pukul rata” bahawa keseluruhan nasionalisme itu salah dan semua Melayu nasionalis adalah UMNO. Ruang lingkup pemikiran harus dikekalkan luas agar tanggapan kita terhadap sesuatu perkara itu menyeluruh, lalu sikap dan tindakan kita lebih tepat.

Perkara kedua yang saya ingin sentuh ialah soal pemerintah yang tidak melaksanakan pemerintahan Islam. Saya amat setuju dengan pendapat Tuan Guru bahawa ia merupakan punca gejala murtad, kerana undang-undang Islam itu sifatnya mencegah, bukan saja merawat. Selama 54 tahun kerajaan Perikatan, kemudian Barisan Nasional, tidak pernah serius untuk melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh, sedangkan Islam adalah Agama Persekutuan dan majoriti penduduk negara ini beragama Islam. Mutakhir, apabila diajukan cadangan Akta Murtad, kerajaan masih lagi memberi alasan yang sama, yang menunjukkan sikap “acuh tak acuh”.

Bagaimanapun saya ingin memberi amaran kepada generasi muda agar tidak mengambil kenyataan itu secara salah. Adalah tidak benar bahawa pemerintah yang tidak melaksanakan Islam adalah satu-satunya punca utama gejala murtad. Menekankan kesalahan hanya pada pemerintah yang tidak melaksanakan undang-undang Islam samalah seperti hujah orang yang mengatakan Islam ini hanya agama dialog. Ibarat kepala dibelah dua, tiada mana-mana bahagian lagi yang berguna. Islam bukan sekadar agama dialog, bahkan ia juga agama undang-undang yang dikuatkuasakan. Sebagaimana Islam bukan sekadar pemerintahan, malah ia bertapak dan berakar umbi pada keperibadian setiap individu muslim. Kedua-duanya saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan.

Negara Islam hanyalah kerangka yang mengizinkan orang-orang Islam melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka. Hakikatnya banyak perkara dan banyak aspek Islam yang boleh dilaksanakan, walaupun pemerintah tidak melaksanakan undang-undang Islam, tetapi masalahnya ialah individu muslim itu sendiri tidak mahu melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka. Ia satu persoalan yang lebih besar daripada persoalan undi pilihanraya.

Bahkan generasi muda kini lebih cenderung dengan cara fikir dan gaya hidup Barat. 70% daripada remaja Islam kita tidak solat lima waktu sepenuhnya. Keluarga yang tidak mengamalkan cara hidup Islam akan mewariskan generasi anak-anak yang terhakis sifat keIslamannya. Soalnya adakah pemerintahan Islam semata-mata dapat membuatkan mereka solat?

Tanpa menafikan soal pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Islam yang banyak meninggalkan kesan bahana ini, para pendakwah kini gigih merawat dan membimbing generasi muda. Mereka sanggup meninggalkan keselesaan hidup dan waktu rehat di malam hari dan hujung minggu semata-mata untuk bersama-sama generasi muda dalam program perkhemahan, qiamullail, rehlah dan seumpamanya demi membina semula jatidiri umat ini.

Kesimpulan saya untuk noktah kedua ini ialah kita harus melihat punca masalah murtad ini secara menyeluruh. Bahkan masalah terhakisnya jatidiri Islam pada masyarakat Melayu hari ini juga perlu dilihat puncanya secara menyeluruh. Dari situ, kita dapat melihat lakaran jalan penyelesaian yang lebih terangkum, lalu terpaparlah wajah-wajah pemain peranan yang melampaui batas sempadan organisasi dan pertubuhan. Di sebaliknya, akan terpaparlah wajah-wajah musuh yang sebenar.

Advertisements

7 thoughts on “Nasionalis atau sekularis?

  1. salam. boleh dapatkan komen ustaz, bila nasionalis hanya memikirkan mengenai bangsa dan begitu juga dengan slogan isma (melayu sepakat), tidakkah ini akan memberi gambaran kepada org non muslim, yg Islam eklusif untuk Melayu dan akan membuatkan mereka lebih jauh daripada Islam? mohon komen. jzkk.

    • ustazhazizi

      non muslim jauh daripada Islam sebab tengok orang Islam berpecah Malaysia, tak tunjuk teladan langsung. isu eksklusif ini insignifikan sebab orang Islam ada banyak bangsa di seluruh dunia. satu dunia tahu benda ni. alasan “eksklusif” diada-adakan oleh orang yang tak setuju dengan slogan ISMA tu aje. semua tahu hakikat sebenar penolakan, tapi sengaja menimbulkan alasan “murni” lain, walaupun ia insignifikan.

      • Abdul Hanan Abdul Kader

        Surat terbuka kepada pejuang Melayu

        Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang dicatit di dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya penuh bersemangat yang berkobar-kobar, sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.

        Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya, kerana inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri, tetapi sifat fitrah juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa, suku kaum, berkeluarga yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak mungkin bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji setiap rakaat sembahyang.

        Allah berfirman (maksudnya): Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat: 13)

        Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah kecintaan kepada bangsa, samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya berbagai bangsa, serta tidak dapat menghapuskan wajibnya hidup bermasyarakat, sehingga Ibnu Khaldun, seorang tokoh ilmuan sedunia menegaskan ;”Manusia itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya”.

        Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui benarnya. Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.

        Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua. Sempadannya haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum dan bangsanya sendiri.

        Sabda Rasulullah s.a.w:
        لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
        سنن أبي داود – (ج 13 / ص 325)
        Maksudnya: (Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di atas perjuangan asobiyyah).

        Asabiyyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama.
        Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam, sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain, sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.

        Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama yang berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan berdakwah mengajak manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa terhadap penganut agama lain, diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku adil terhadap semua manusia, binatang dan alam seluruhnya. Akhirnya Islam berjaya mengumpulkan daripada masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan daripada berbagai bangsa dan penganut agama, sehingga berjaya melahirkan tamadun majmuk yang menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.

        Kejatuhan dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah kedua Umar bin al- Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh paderi besar Bait al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar Rom yang zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh para pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan ucapannya yang masyhur, antara lain menegaskan:
        “Kita adalah kaum bangsa yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam untuk mencapai kemuliaan kononnya, nescaya kita ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa yang hina“.

        Kenyataan ini berasaskan firman Allah: Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad: 38)

        Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan. Maka Allah menukarkan kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam yang berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh cara hidup. Apabila seluruh bangsa umat Islam bersemangat bangsa masing-masing dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi masing-masing, sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain dipisahkan daripada Islam, maka umat Islam dan tanah air bumi Islam dijajah oleh kuasa asing yang menindas mereka dengan hina.

        Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya, tetapi mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang sebenar, kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah, sedangkan akal fikran dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab sendiri yang kaya-raya dengan hasil semula jadi yang luasnya laksana laut. Apabila semangat kebangsaan Arabnya mengatasi petunjuk Islam, menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar yang berebut dan berlumba-lumba mengambil kesempatan daripada bumi Arab, sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa dan satu agama.

        Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah satu religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran. UMNO tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sakhsiah Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti. Maka kepimpinan dianggap peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

        Agama Islam yang diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua kaum kerana majoritinya, tiba-tiba tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja dengan pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin UMNO. Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya. Akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan UMNO, bahkan jatuh terhumban bersamanya.

        PAS berulang kali mengajak UMNO bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO sepanjang masa tidak bersedia. Debat bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak sejak berpuluh tahun. Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti yang berada di bawah kerajaannya yang mampu merojak sumber Islam dengan bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan. PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.

        Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya, tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.

        Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua. Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO.

        Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
        Presiden PAS

  2. Abdul Hanan Abdul Kader

    TERAS SAMBUT BAIK SARANAN PRESIDEN PAS – PERJUANGAN ISLAM MENDAHULUI PERJUANGAN BANGSA

    TERAS menyambut baik saranan Presiden Pas YB DS Tuan Guru Hj Hadi Awang mengenai perjuangan Melayu yang perlu bersandar kepada Islam.

    Seperti yang telah selalu dan secara konsisten ditekankan oleh Teras , perjuangan Melayu yang tidak berdasarkan Islam adalah batil.

    Membelakang Islam dan menomborsatukan Melayu adalah perjuangan yang tidak boleh diterima malah perlu ditolak. Tidak kira yang memperjuangkannya adalah atas nama NGO atau parti politik.

    Kami sangat menyanjung tinggi mesej beliau yang mahu semua pertubuhan yang memperjuangkan bangsa Melayu memahami bahawa menyatakan kasih kepada bangsa adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan Islam , namun membenci dan bermusuh dengan bangsa lain sehingga menafikan hak dan melakukan kezaliman ke atas mereka adalah ditolak oleh Islam.

    Lantaran itu sangat wajar setiap pertubuhan yang mengangkat persoalan Melayu mengistiharkan secara tegas dan jelas prinsip masing-masing, apakah benar-benar berpandukan neraca Islam sebagai asas untuk memperjuangkan bangsa atau sebaliknya.

    Malah mengatas-namakan perjuangan mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu itu sekalipun, juga perlu bersandarkan Islam sepenuhnya.

    Sesungguhnya kedaulatan Raja-raja Melayu hanya sah dengan berdalilkan Islam sebagai peraturan yang memerintah , bukan yang diperintah.

    Teras berpandangan sejak dari awal lagi , bahawa memang memperjuangkan nasib bangsa sendiri demi mengangkat darjat sosio-ekonomi kaum sendiri agar mencapai paras yang lebih bermaruah , sangat wajar malah dituntut . Akan tetapi ia perlu berasaskan konsep, pendekatan dan matlamat yang semestinya sesuai dan menepati kehendak syariat Islam.

    Konsep keadilan sebagai prinsip dalam memperjuangkan nasib bangsa mesti melepasi kepentingan yang lain.

    Dengan demikian, slogan ketuanan Melayu adalah tidak relevan kerana insan Melayu sepatutnya hanya menerima konsep keunggulan Islam dan tidak konsep feudal membuta tuli kepada kepimpinan Melayu yang terkeluar dari landasan Islam dan berpegang kepada faham aliran sekular.

    Teras akan menolak mana-mana pihak yang melaungkan slogan berjuang untuk bangsa Melayu berkonsepkan “Hidup Melayu , tidak kira benar atau salah”.

    Perjuangan mana-mana kelompok atas nama Melayu yang terlepas dari prinsip kebenaran dan keadilan yang dita’rif oleh Islam tidak mungkin boleh diterima sebagai mewakili perjuangan Melayu.

    Mohd Azmi Abdul Hamid
    Presiden TERAS

  3. ammar

    ustaz, ana ikhwah dr sabah… kat mana boleh beli buku Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad?? ana tgk akhi Aminuddin pun berbicara ttg penulis buku ni…jazakallah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s