Niat dan Kemahuan Asas Kejayaan (Bhg. 1)

Standard

Kebiasaannya kita mengaitkan niat dengan ibadat yang ingin kita lakukan, seperti solat, puasa dan sebagainya.

Bagaimanapun, niat adalah kalimah yang sama erti dengan kemahuan (Iradah) dan tujuan (Qasad). Begitu kata ulamak yang muktabar, Ibnu Qudamah al-Maqdisi.

Oleh itu, niat seharusnya berkaitan dengan segala tindak tanduk yang kita lakukan seharian.

Niat mempunyai peranan yang besar dan pengaruh yang kuat ke atas perbuatan yang kita lakukan.

Sebagai contoh mudah, bandingkan antara orang yang membunuh dengan niat dan orang yang membunuh tanpa niat. Sudah tentu impak perbuatan kedua-duanya berbeza.

Begitu juga perbandingan antara orang yang solat kerana Allah dan orang yang solat kerana mahu dilihat soleh.

Itulah sebabnya orang-orang munafik cukup malas solat Isyak dan Subuh berjemaah.

Sabda Rasulullah S.A.W.:

“Tiada solat yang lebih berat bagi orang munafikin selain Subuh dan Isyak. Jika mereka tahu ganjaran yang terdapat pada kedua-duanya, nescaya mereka datang solat walaupun terpaksa merangkak” (Hadith riwayat Bukhari)

 

Bukan sahaja amalan mereka tidak diterima, bahkan niat orang-orang munafik yang rosak itu menyebabkan mereka malas melakukan amal soleh.

 

Perhatikan pula firman Allah Taala berikut:

“dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya” (Surah Taubah: 46)

Mereka tidak melakukan persiapan kerana memang mereka tiada niat, tidak mahu dan tidak bertujuan untuk keluar berperang.

 

Wahyu Yang Pertama

 

Rasulullah S.A.W. telah berjaya mengislamkan Semenanjung Tanah Arab dalam masa lebih kurang 23 tahun.

Seterusnya para sahabat baginda dan para pengikut mereka telah menyebarkan Islam ke serata dunia. Sejarah dunia telah berubah dengan begitu pesat sekali selepas kebangkitan Nabi Muhammad S.A.W.

Perubahan sejarah yang besar itu bermula sebaik saja baginda menerima wahyu yang pertama. Ayat yang pertama diturunkan kepada baginda menyentuh mengenai niat dan tujuan.

 

Firman Allah Taala dalam Surah al-Alaq:

 

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”

 

Imam Fakhruddin ar-Razi, dalam kitab tafsirnya Mafatihul Ghaib menyatakan bahawa salah satu maksud arahan “Bacalah dengan nama Tuhanmu” ialah jadikan perbuatan itu untuk Allah dan buatlah kerana-Nya. Jelas sekali ia berkaitan niat dan tujuan.

Syed Qutb pula menggariskan kedudukan ayat ini l Quran:

  • Ø  Ayat pertama hingga kelima daripada surah ini telah meletakkan batu asas bagi konsep keimanan.
  • Ø Batu asas konsep keimanan itu ialah:

Setiap perkara, setiap gerak geri, setiap langkah, setiap pekerjaan, dilakukan dengan nama Allah dan atas nama Allah. Dengan nama Allah ia bermula, dengan nama Allah ia berjalan, ke arah Allah ia menuju dan kepada Allah ia kembali”

 

Kesimpulannya ialah:

  • ·        Ayat al-Quran yang pertama
  • ·        yang diturunkan dalam satu peristiwa yang penting iaitu turunnya wahyu pertama dari langit
  • ·        telah menyentuh secara langsung mengenai niat dan tujuan
  • ·        sebagai faktor yang memberi kesan besar pada perubahan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. ke atas para sahabat  khususnya dan sejarah umat manusia umumnya.

 

Hadith Yang Masyhur

 

Kepentingan niat juga dirakamkan dalam satu hadith Nabi S.A.W. yang masyhur:

 

” إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ “

Maksudnya:

 “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat. Dan setiap orang hanya memperoleh apa yang diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia, dia akan mendapatnya, atau kerana wanita, dia akan menikahinya. Maka hijrahnya ke arah tujuan di sebalik hijrahnya itu”.

(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Kedudukan hadith ini:

1)   Abu Daud, salah seorang ahli hadith yang muktabar, menyatakan bahawa hadith ini menyamai separuh daripada Islam.

2)   Imam Syafie dan Imam Ahmad (Imam Mazhab Hanbali) berpendapat: “Hadith ini mewakili sepertiga ilmu”.

3)   Imam Bukhari memulakan Kitab Sahihnya dengan Bab Permulaan Wahyu. Bagaimanapun, hadith pertama dalam bab tersebut bukan hadith mengenai permulaan turunnya wahyu, sebaliknya beliau memulakan dengan hadith mengenai niat ini.

4)   Imam Nawawi turut memulakan penulisan kitabnya Riadhussolihin, al-Azkar dan 40 Hadith dengan hadith ini.

 

Pengajaran daripada hadith ini:

1)   Majoriti ulamak berpendapat amal yang dimaksudkan oleh hadith ini adalah umum, bukan sekadar ibadat khusus.

Oleh itu kesan niat ke atas amal bukan terhad pada ibadat khusus seperti solat, puasa, sedekah dan sebagainya, malahan niat memberi kesan pada segala perbuatan yang kita lakukan.

2)   Amalan kita tidak diterima Allah kecuali dengan dua syarat utama:

  1. Niat yang ikhlas, yang merupakan topik hadith ini.
  2. Dilakukan dengan betul, iaitu mengikut syarak.

Jelas sekali betapa besarnya pengaruh niat ke atas perbuatan kita, iaitu satu daripada dua faktor penentu.

3)   Niat dalam ibadat khusus berfungsi untuk:

  1. Mengikhlaskan ibadat hanya kerana Allah
  2. Membezakan antara ibadat (seperti membezakan antara solat Zuhur dan Asar)

4)   Kita hanya akan menuai hasil sesuatu pekerjaan berdasarkan niat dan tujuan yang kita tetapkan.

 

Kata-kata Hikmah Salafussoleh

 

Salafussoleh ialah generasi orang beriman yang sempat hidup bersama Rasulullah S.A.W., para sahabat, para tabiin dan tabi tabiin.

Ada ulamak mendefinisikan mereka sebagai generasi tiga kurun yang pertama dari zaman Rasulullah S.A.W.

Ciri istimewa Salafussoleh ialah mereka lebih memahami Islam berbanding generasi selepas mereka, kerana faktor masa hidup yang dekat dengan zaman Rasulullah S.A.W.

  

Peristiwa menerima wahyu pertama di Gua Hira’ (gambar atas) dan peristiwa Hijrah ke Madinah merupakan dua peristiwa agung bukan saja dalam sejarah Islam, bahkan sejarah umat manusia. Kedua-duanya dikaitkan secara langsung dengan niat oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya S.A.W.

 

Selamilah ungkapan-ungkapan yang meniti di bibir mereka mengenai pengaruh niat ke atas amalan dan perbuatan. Antaranya:

“Segala alasan hanya lahir akibat permulaan yang tidak betul. Sesiapa yang betul permulaannya, maka betullah kesudahannya. Sesiapa yang tidak betul permulaannya, kemungkinan dia akan binasa (gagal)”.

Muhammad Ahmad ar-Rasyid menyatakan bahawa maksud ungkapan “permulaan yang betul” di atas ialah niat yang soleh dan keazaman yang tinggi.

“Sesiapa yang tidak betul asas kemahuannya, dia tidak selamat di kesudahan nanti”.

Kelihatan ungkapan ini menggambarkan Salafussoleh begitu pasti dengan kesudahan yang gagal jika niat di permulaan sesuatu perkara itu tidak betul.

Hisyam bin Abdul Malik, sepupu Khalifah Umar bin Abdul Aziz (Khulafak Rasyidin Kelima), berkata:

“Aku pasti bahawa Umar tidak mengambil satu langkah kecuali dia ada niat padanya”.

Kenyataan Hisyam bin Abdul Malik ini merupakan rahsia di sebalik kejayaan Umar bin Abdul Aziz membetulkan penyelewengan yang berlaku pada dua generasi dalam pemerintahan Bani Umaiyah.

Kejayaan itu beliau capai dalam masa tidak sampai dua tahun.

Abdullah bin al-Mubarak berkata:

“Kemungkinan amal yang kecil menjadi besar disebabkan niat dan kemungkinan amal yang besar menjadi kecil disebabkan niat”

Anak sahabat Rasulullah S.A.W. bernama Mutarrif bin Abdullah bin as-Syikhir al-Amiri berkata:

“Kesolehan amal itu bergantung pada kesolehan hati. Kesolehan hati pula bergantung pada kesolehan niat”.

Nuruddin az-Zanki berkata kepada tenteranya selepas memenangi satu peperangan ke atas tentera Salib:

“Alhamdulillah kita semakin dekat dengan Masjidil Aqsa. Tidak lama lagi kita akan memasukinya insyaAllah dan mendirikan solat di dalamnya. Eloklah kita bersedia dengan sebuah mimbar yang hebat”.

Walaupun beliau meninggal dunia sebelum sempat membebaskan Baitul Maqdis, niatnya yang soleh itu telah dilunaskan oleh Solahuddin al-Aiyubi. Solahuddin telah meletakkan Mimbar tersebut di Masjidil Aqsa selepas 20 tahun ia disiapkan oleh Nuruddin Zanki.

Gambar Mimbar Solahuddin al-Aiyubi di atas diambil selepas peristiwa Masjidil Aqsa dibakar pada tahun 1969. Nuruddin Zanki berniat untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan menunaikan solat  di dalamnya. Beliau menzahirkan niatnya itu dengan membina mimbar ini, sebagai melambangkan kesungguhannya serta pengajaran bagi generasi kemudian yang menyambung perjuangannya.

 

Ibnu Qudamah al-Maqdisi berkata dalam kitabnya Mukhtasar Minhaj al-Qasidin:

“Ketahuilah bahawa amal perbuatan itu terbahagi kepada tiga jenis:

Pertama: Maksiat; ia tidak berubah dengan berubahnya niat. Contohnya orang yang membina masjid dengan tujuan kebaikan, tetapi menggunakan wang haram. Sesungguhnya niat yang baik itu tidak memberi apa-apa kesan…”.

“…Sesungguhnya ketaatan itu boleh bertukar menjadi maksiat dengan sebab niat. Manakala maksiat tidak bertukar menjadi ketaatan dengan sebab niat”.

“Kedua: Ketaatan; ia amat berkait rapat dengan niat, dalam konteks sah atau tidak sah di sisi Allah, juga dalam konteks menambah ganjaran dan kelebihannya…”

“…Ketiga: Perkara-perkara harus. Tiada satu perkara harus kecuali ia mempunyai satu niat atau beberapa niat…”

 “…Alangkah besarnya kerugian bagi orang yang mencuaikan niat dan melakukan perkara harus seperti haiwan ternakan melakukannya…”

Perhatian besar yang diberikan Islam pada isu niat ini sudah tentu mengandungi hikmah yang besar dan faedah yang hebat. Antaranya:

1)   Kewujudan niat menunjukkan perbuatan itu sengaja kita lakukan. Perbuatan yang sengaja dilakukan biasanya adalah perbuatan terancang. Begitulah Islam melatih umatnya agar melakukan sesuatu perkara secara terancang.

2)   Kewujudan niat di awal perbuatan menyebabkan kita fokus untuk mencapai sesuatu objektif daripada perbuatan itu. Ketiadaan fokus lebih mudah membawa kepada kegagalan.

3)   Kewujudan niat merangsang kesungguhan dan semangat untuk melakukan pekerjaan itu dengan baik sehingga selesai.

4)   Kewujudan niat mendorong sikap berhati-hati dan mengutamakan urutan prioriti dalam memilih pekerjaan yang hendak dilakukan.

Kepentingan niat ini menggambarkan betapa umat Islam dididik menjadi umat yang teliti dalam setiap pekerjaannya.

Di samping itu mereka juga dididik agar sentiasa menyimpan azam untuk mencapai kejayaan, serentak dunia dan akhirat. Sudah tentu ini adalah antara rahsia umat Islam terdahulu berjaya menegakkan tamadun Islam yang gilang gemilang dan tiada tolok bandingnya.

Umat Islam kini tidak akan berjaya mencapai kegemilangan silam jika mereka tiada ciri-ciri kecemerlangan yang ada pada generasi terdahulu. Ciri yang paling penting ialah niat yang soleh disertai keazaman yang tinggi dan tidak mudah mengalah.

Advertisements

3 thoughts on “Niat dan Kemahuan Asas Kejayaan (Bhg. 1)

  1. The very next time I read a blog, Hopefully it does not fail me just as much as this particular one. I mean, I know it was my choice to read, nonetheless I actually believed you would have something interesting to say. All I hear is a bunch of whining about something you could possibly fix if you weren’t too busy seeking attention.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s