Menginsafi Realiti

Standard

Sepanjang saya berada di Mesir selama tujuh tahun, tidak pernah saya membaca Ikhwan Muslimin mengeluarkan kenyataan kesat dan mengutuk peribadi Mubarak dan menteri-menterinya, walaupun mereka dihenyak oleh regim yang zalim itu sehingga ke tahap luar kemampuan manusia biasa untuk menanggungnya. Memang tahap kesabaran mereka luar biasa sekali.

Gerakan reformasi politik yang dibawa oleh Ikhwan tidak diasaskan atas dasar membangkang dan melawan setiap sesuatu yang dibuat oleh kerajaan Mubarak. Mereka adalah pendakwah-pendakwah kepada prinsip dan akidah. Mereka menyeru kerajaan agar kembali kepada Islam. Tetapi mereka tidak berpada dengan seruan sahaja, malah mereka melakarkan jalan-jalan praktikal ke arah seruan mereka itu. Mereka amat positif.

Dalam melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar terhadap pemerintah, mereka amat berhati-hati agar tindakan mereka tidak menimbulkan perpecahan, keadaan tidak tenteram dan suasana tidak stabil, kerana yang demikian itu hanya mendatangkan kerugian jangka panjang kepada rakyat dan watan. Mereka mendahulukan maslahat watan dalam menentukan pendirian dan tindakan, kerana pada mereka maslahat watan merupakan sebahagian daripada maslahat Islam dan perkara ini perlu diutamakan berbanding maslahat atau keuntungan untuk jamaah mereka sendiri. Mereka adalah orang-orang yang setia pada negara.

Ikhwan Muslimin amat menitikberatkan isu perpaduan dan keamanan dalam negara. Mereka amat sensitif dan berusaha sedaya upaya untuk menyekat apa-apa unsur yang boleh mencetuskan fitnah dan kekacauan politik, kerana suasana kacau bilau hanya mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat dan melemahkannya. Di samping itu ia turut memberi kesan negatif kepada usaha dakwah dan program membina individu, keluarga dan masyarakat Islam teladan.

Ikhwan Muslimin bekerja menurut agenda yang mereka tetapkan sendiri. Hassan al-Banna pernah berkata, “Tiada kesalahan yang lebih buruk daripada sangkaan sesetengah orang bahawa Ikhwan Muslimin pernah menjadi tali barut mana-mana kerajaan atau melaksanakan matlamat orang lain atau bekerja menurut agenda orang lain. Maka hendaklah perkara ini diketahui oleh orang yang belum tahu, daripada kalangan Ikhwan dan bukan Ikhwan”.

Perenggan-perenggan di atas ditulis bukanlah berdasarkan pemerhatian peribadi semata-mata, malah ia merupakan sebahagian daripada isi buku berbahasa Arab yang saya miliki, bertajuk “Kaedah Pengislahan: Kajian Terhadap Tulisan-tulisan Hassan al-Banna”.

Semua orang sedar bahawa dalam negara kita terdapat banyak aliran pemikiran dan gerakan politik, dalam pelbagai bentuk pertubuhan dan organisasi. Gerakan yang paling menonjol sekarang ini ialah gerakan yang mendukung doktrin Hak Asasi Manusia. Gerakan ini muncul dalam pelbagai bentuk seruan dan formasi. Bahkan, aktiviti mereka turut mendapat dokongan kuat daripada gerakan Islam. Mereka ini amat mendukacitakan saya.

Akidah gerakan Hak Asasi Manusia tersebut merujuk kepada Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, tahun 1948. Sebahagian artikel yang terkandung dalam Deklarasi tersebut bagus dan ada sebahagiannya bertentangan dengan akidah Islam. Bagaimanapun, kita jangan terjerat dalam perbincangan secara terpecah-pecah, kerana keseluruhan Deklarasi itu didirikan di atas asas kebebasan daripada mana-mana doktrin agama. Cukuplah kes Lina Joy memberikan pengajaran.

Gerakan Islam mungkin bertemu titik persamaan dengan gerakan Hak Asasi Manusia dalam juzuk-juzuk tuntutan kebebasan tertentu. Mereka mungkin bekerjasama dan bersekutu, walaupun para ulamak dalam membicarakan bab Tahaluf Siyasi meletakkan syarat dominasi dan kekuatan pada pihak gerakan Islam. Tetapi amat musykil dan tersangat pelik sekali jika tahap kerjasama itu terbelahak dan terbabas hingga aktiviti-aktiviti dipelopori dan diagendakan oleh gerakan liberal Hak Asasi Manusia ini, manakala gerakan Islam hanya menurut nada dan rentak, membuat “Nafir Am” mengerah pengikut turun ke medan.

Kerajaan yang korup ini perlu diturunkan secara berpakat. Itu merupakan idea yang jelas dan bukan sukar untuk difahami. Negara Berkebajikan hanya satu helah. Itupun satu paparan yang amat jelas dan tidak payah untuk diselami. Tetapi yang musykilnya ialah, apabila doktrin Islam pasti bertembung dengan doktrin liberal Barat, di manakah noktah persimpangannya? Bila dan bagaimana? “Turning point” itu perlu ditelah dari sekarang dan dilakarkan jalan keluarnya. Saya pasti majoriti yang memimpin sekarang bukan orang yang dangkal dalam bab strategi licik menggelicik, bahkan boleh dianggap mahaguru berdasarkan pengalaman memerhati dan mengalami. Sudah tentu mereka sudah mempersiapkan pelannya. Mereka amat pandai.

Tapi saya tidak percaya semua itu. Saya percaya gerakan liberal Barat ini sudah jadi arus dan badai yang tidak boleh disekat lagi. Jalan-jalannya menuju ke lembah kuasa telah dipermudahkan oleh semangat pengikut-pengikut muda yang jahil, yang melambung tinggi. Saya pasti lambungan tinggi semangat itu akan jatuh menghempas tabungan hasil usaha dakwah yang tidak seberapa ini. Pada ketika itu, saya yakin pemuda-pemuda itu tidak faham apa-apa, manakala golongan tua yang ikhlas pula kekal menyalahkan seteru tradisi yang sememangnya sudah bingal. Mereka amat naif.

Andai perkara ini benar-benar terjadi, saya membayangkan bahawa gerakan Islam terpaksa belayar di lautan liberal yang melanda. Usah cakap pasal “turning point”. Anda boleh bayangkan bagaimana sebuah kapal mahu mengubah haluannya? Kapal gerakan Islam yang tidak pasti bersediakah atau tidak, dipaksa belayar di tengah lautan liberal yang mengganas. Kita terperosok jauh ke belakang dalam trek saingan pemikiran dan anutan. Tidak kira anda memilih jalan perubahan dari bawah, mahupun dari atas, kesemua kita akan menerima padahnya.

Kita perlu menginsafi situasi ini. Jalan ke hadapan memerlukan pemandu dan kenderaan yang sesuai dengan halangan dan cabaran yang menanti. Semoga kita berjaya menempuhinya.

Allahu akbar walillahil hamd.

Advertisements

2 thoughts on “Menginsafi Realiti

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s