Pengajaran Dari Iraq

Standard

Pada 20 Mac 2003, Amerika Syarikat, Britain dan sekutu mereka telah menakluki Iraq dan menjatuhkan kerajaannya. Penjajahan ini telah meninggalkan kesan kemusnahan dan kehancuran yang amat besar dalam segenap segi. Keganasan, perang saudara dan keruntuhan ekonomi telah menghancurkan negara ini, di samping meninggalkan angka kematian dan pelarian yang terlalu ramai.

1. Beberapa alasan yang dicipta untuk peperangan ini:

  • Amerika Syarikat telah memberi tekanan ke atas Bangsa-bangsa Bersatu agar mengharuskan penggunaan kekerasan ke atas Iraq. Alasan AS melakukan desakan itu ialah kononnya Iraq mesti dihalang daripada menaik taraf senjata pemusnah besar-besaran miliknya, yang membolehkannya menyerang negara-negara jiran.
  • Perisytiharan bahawa Iraq pada dasarnya telah melanggar ketetapan Majlis Keselamatan.
  • AS dan Britain juga telah menggunakan alasan kemanusiaan untuk mengharuskan serangan mereka, iaitu untuk membebaskan rakyat Iraq daripada belenggu sistem kediktatoran yang telah melakukan siri perlanggaran hak-hak asasi manusia yang membimbangkan. Alasan ini telah berjaya menggambarkan bahawa peperangan tersebut bakal melahirkan kebebasan dan demokrasi di Iraq.

2. Peperangan dan Pembentukan Tentera Bersekutu:

  • Washington telah membentuk Tentera Bersekutu bersama beberapa negara yang bersetuju dengannya. Usaha ini mereka lakukan bertujuan mendapatkan kesahan yang lebih besar terhadap tindakan ketenteraan mereka, di samping memberikan gambaran bahawa peperangan itu adalah hasil gabungan beberapa pihak yang telah mendapat sokongan meluas.
  • Washington telah menghebahkan bahawa Tentera Bersekutu telah berjaya menarik keanggotaan 49 buah negara, sedangkan beberapa anggotanya tidak pernah menghantar tentera.
  • Ada beberapa negara yang hanya menghantar tentera secara simbolik sahaja, seperti Kazakhstan yang menghantar 29 orang anggota tentera, manakala Moldovia dan Iceland masing menghantar 24 dan dua orang anggota sahaja.
  • Realitinya, majoriti tentera yang menyerang Iraq ialah tentera AS dan Britain. Bilangan tentera darat mereka melebihi 300,000, tidak termasuk tentera udara dan laut.
  • Kemaraan tentera darat telah didahului dengan serangan udara yang bertujuan menimbulkan suasana ketakutan dan kacau bilau. Dalam serangan udara ini, AS telah menggunakan senjata yang diharamkan seperti bom berangkai dan letupan uranium.
  • Tentera Iraq tidak setanding dengan kekuatan tentera besar yang dibawa oleh AS.
  • Dalam masa 3 minggu Tentera Bersekutu berjaya menakluki Baghdad.

3. Pemusnahan negara Iraq:

  • Pada hari-hari pertama penjajahan, Tentera Bersekutu telah membekukan Polis dan Tentera Iraq, lalu membiarkan bandar-bandar, institusi-institusi kerajaan dan pusat-pusat perindustrian kepada pelbagai aktiviti pencerobohan dan kerosakan.
  • 17 pejabat kementerian telah diceroboh, termasuk kementerian perkhidmatan awam, sedangkan Tentera Bersekutu hanya mengawal Kementerian Minyak.
  • Beberapa kumpulan pencuri dan perompak telah terbentuk, yang menjalankan kegiatan mencuri dan memusnahkan segala perkara termasuk bangunan dan fail-fail. Beberapa agensi kebudayaan dan warisan telah diceroboh, antaranya Muzium Kebangsaan dan Perpustakaan Negara telah dibakar.
  • Terdapat beberapa aktivis Iraq, ahli akademik dan pemimpin tentera yang berusaha memelihara aset dan kekayaan institusi kebudayaan dan pengetahuan di Iraq, tetapi usaha mereka tidak berjaya.
  • Perkara yang paling berbahaya ialah senjata tentera Iraq yang telah dicuri oleh kumpulan-kumpulan samseng dan menjualnya di jalan. Keadaan ini mencetuskan suasana kacau bilau di beberapa daerah, selain peristiwa-peristiwa membalas dendam. Kebanyakan keluarga telah memiliki senjata untuk mempertahankan diri. Semua perkara yang terjadi itu tidak diambil peduli oleh Tentera Bersekutu.
  • Pada Mei 2003, Tentera Bersekutu melaksanakan langkah terakhir mereka untuk membubarkan tentera Iraq, iaitu dengan menafikan gaji kakitangan tentera, sehingga menyebabkan 400,000 keluarga kehilangan mata pencarian.
  • Seterusnya mereka telah menghapuskan jawatan 30,000 anggota Parti Baath dalam kerajaan, tanpa berusaha untuk mengecualikan pekerja yang tidak bersalah atau berkecuali. Tindakan itu merangkumi beberapa lapisan kakitangan berkemahiran tinggi, sehingga menjadi satu pukulan maut pada instrumen kerajaan terdahulu.
  • Pada 22 Mei 2003, Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengeluarkan ketetapan 1483 mengiktiraf AS dan Britain sebagai kuasa penjajah di Iraq, sebagai cara menjamin kedudukan mereka di depan Undang-undang Antarabangsa.

4. Pemerintahan AS di Iraq:

  • AS telah menubuhkan kerajaan sementara Tentera Bersekutu, sebagai ganti kepada kerajaan Iraq terdahulu, tanpa penglibatan orang Iraq, diketuai Paul Bremer yang dilantik oleh Pentagon.
  • Bremer telah menjadikan Istana Republik terdahulu sebagai pusat pemerintahannya dan beliau mendapat kuasa mutlak.
  • Bremer telah mengadakan satu Zon Hijau, meliputi empat batu persegi di tengah-tengah Baghdad, untuk menjaga keselamatan kerajaan sementara Tentera Bersekutu.
  • Bremer telah mengubah struktur institusi-institusi awam Iraq secara total. Beliau telah mengeluarkan lebih seratus peraturan. Antara peraturan itu, beliau telah menggantung semua percukaian, termasuk cukai import, sehingga mendedahkan ekonomi Iraq pada kesan perdagangan antarabangsa selepas beberapa tahun dipulau.
  • Beliau juga telah membelanjakan secara bebas segala keuntungan minyak sebelum ini dan menggunakan peruntukan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Program Minyak Ganti Makanan.
  • Syarikat-syarikat besar seperti Heliporton, Parsons, Flour dan beberapa syarikat pembinaan telah mendapat kontrak membangunkan Iraq.
  • Sistem bank Iraq lumpuh, sektor perindustrian hancur, sektor petroleum yang merupakan nadi ekonomi Iraq juga lumpuh. Keadaan ini membawa kepada meningkatnya angka pengangguran dan kefakiran berlipat kali ganda.

5. Pendekatan yang salah dalam berurusan dengan rakyat Iraq

  • Tentera Bersekutu tidak biasa dan tidak memahami budaya setempat. Perkara ini menyebabkan beberapa aktiviti ketenteraan menjadi satu tindakan provokasi yang menimbulkan huru hara di kalangan penduduk.
  • Sebagai contoh peristiwa yang berlaku di Fallujah. Tentera Amerika telah menukar sebuah sekolah menjadi markaz tentera. Para penduduk setempat menuntut agar sekolah tersebut dibuka semula, lalu berlakulah perhimpunan yang melibatkan angka yang besar. Melihat kepada keadaan itu, Tentera Amerika telah melepaskan tembakan sehingga menyebabkan 17 orang terbunuh dan lebih 70 lagi cedera.
  • Selepas peristiwa di Fallujah, beberapa peristiwa seumpamanya berlaku di beberapa bandar Iraq. Fenomena ini mendorong orang ramai untuk memikul senjata. Berikutan itu berlakulah beberapa pertempuran dengan Tentera Bersekutu secara meluas. Tentera Bersekutu seterusnya mengambil langkah memecah masuk ke rumah-rumah untuk mencari suspek. Mereka menggunakan segala cara kekerasan sehingga ramai yang terbunuh. Ramai yang ditangkap sehingga dalam masa sekejap saja penjara-penjara telah dipenuhi dengan ribuan orang Iraq, tanpa langkah-langkah untuk mencegah jenayah yang telah berlaku.
  • Kemudian bermulalah isu penyeksaan dan perlanggaran hak-hak asasi yang berlaku dalam penjara. Perkara ini telah ditutup daripada sebaran media dan organisasi hak-hak asasi manusia selama beberapa ketika.
  • Kerajaan Tentera Bersekutu akhirnya terpaksa menggunakan khidmat syarikat keselamatan (seperti Black Water, Din Group), serta askar-askar upahan. Syarikat keselamatan dan askar upahan ini kebal daripada disoal siasat dan tindakan mahkamah, termasuk Mahkamah Tentera Amerika.

6. Suburnya gerila dan pasukan maut:

  • Beberapa gerila telah melakukan beberapa operasi maut. Mereka telah menjalankan operasi membunuh beberapa pimpinan tentera dan polis Iraq terdahulu. Mereka telah bertindak ganas dan di luar batas kemanusiaan, kerana tiadanya soal siasat dan penghakiman. Pasukan-pasukan gerila ini juga digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dalam lapangan politik untuk melakukan beberapa perubahan pada lanskap politik, suatu tindakan yang menyelewengkan tujuan asal gerila untuk mempertahankan kumpulan sendiri.
  • Aktiviti keganasan telah berkembang berlipat kali ganda. Setiap kumpulan telah membentuk pasukan gerila masing-masing demi mempertahankan diri dan untuk tujuan kepentingan politik. Ada juga yang melakukan aktiviti rompakan sebagai punca kewangan. Perkara ini menyebabkan aktiviti politik menjadi lemah.

 7. Iraq bebas dan memiliki ketuanan

  • AS dan sekutunya telah menegaskan bahawa mereka berusaha untuk mendirikan Iraq yang demokrat, yang segera boleh menjadi contoh pada negara serantau.
  • Bremer dan kerajaan sementara telah menubuhkan Majlis Pemerintah, yang mengandungi Lembaga Keselamatan. Lembaga Keselamatan ini ditubuhkan berasaskan pelbagai etnik dan puak yang ada di Iraq. Oleh itu tindakan kerajaan sementara ini telah memulakan dimensi kepuakan dan etnik dalam diari politik Iraq.
  • Di penghujung Jun 2004, kerajaan sementara telah menyerahkan kuasa kepada orang-orang Iraq dan membubarkan kuasanya. Tentera Bersekutu telah mengisytiharkan bahawa kerajaan sementara Iraq yang baru telah memikul tanggungjawab. Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu telah menyambut baik langkah tersebut. Kerajaan baru ini telah berjaya dibentuk dengan bantuan al-Akhdhar al-Ibrahimi, utusan khas Bangsa-bangsa Bersatu.
  • Aiyad Alawi telah dilantik sebagai Perdana Menteri. Walaupun kerajaan baru ini terdiri daripada kalangan teknorat seperti yang diwar-warkan, ia turut disertai beberapa tokoh yang terkenal dengan ketaksuban mazhabnya.
  • Buat pertama kalinya beberapa kementerian telah dibentuk. Setiap kementerian merangkumi berpuluh konsultan Amerika yang menentukan hala tuju. Tentera Iraq tunduk pada pimpinan Amerika.
  • Pada 30 Januari 2005 dijalankan pilihanraya pertama untuk memilih 275 orang anggota parlimen. Kempen politik tidak dapat dijalankan atas faktor-faktor keselamatan, walaupun perjalanan pilihanraya diawasi oleh pemerhati antarabangsa. Oleh sebab itu, pilihanraya telah berjalan dalam keadaan hak-hak asasi manusia dilanggar. Berikutan itu terdapat ramai rakyat Iraq yang tidak ikut serta dalam pilihanraya tersebut.
  • Kemudian diikuti dengan proses merangka perlembagaan baru negara. Proses ini telah diiringi dengan pelbagai isu kontroversi yang memberi kesan kepada hasil perlembagaan tersebut. Akhirnya perlembagaan itu telah diterima dan diakui melalui satu pungutan suara.
  • Pilihanraya pada 15 Disember 2005 telah dijalankan dan kuasa telah diberi kepada kelompok yang menang.
  • Beberapa program untuk mengawal keamanan atau menguasai keselamatan negara telah diperkenalkan.

 8. Antara kesan peperangan ke atas Iraq

8.1 Kehancuran warisan tamadun Iraq

  • Di Iraq terdapat warisan yang amat besar dan tempat-tempat bersejarah yang menjangkau usia 8000 tahun, selain beberapa muzium, perpustakaan, bangunan-bangunan bersejarah dan bandar-bandar purba:
    • 150 bandar dan perkampungan Sumariah
    • Beberapa bekas ibukota besar seperti Babylon, Namrud dan Ninawa.
    • 12,000 lokasi bersejarah dalam negara.
    • Perpustakaan dan arkib dokumen (Uthmaniah dan Dinasti Raja Hasyimiah), yang mengandungi beberapa dokumen penting.
    • Manuskrip-manuskrip Iraq
    • Beberapa perpustakaan di universiti dan kolej.
    • Operasi pencurian lebih awal, seiring dengan permulaan penjajahan
    • Pendirian lembaga-lembaga antarabangsa yang berkaitan amat pasif.
    • Tentera Bersekutu mengisytiharkan bahawa memelihara kesan sejarah bukan prioriti. Dr. John Malcom telah mengutus surat kepada Pengarah Kebudayaan dan Warisan dalam kerajaan sementara: ”Memelihara tempat-tempat bersejarah bukan prioriti di sisi Tentera Bersekutu”.
    • Ahli-ahli akademik dijadikan sasaran pembunuhan.

8.2 Tahanan

  • Orang ramai telah ditahan dan ditangkap sewenang-wenangnya dan tanpa melalui saluran undang-undang. Majoriti yang ditahan tidak disabitkan dengan apa-apa kesalahan dan tidak dibenarkan diwakili oleh peguam jika menghadapi apa-apa tuduhan. Mereka sebenarnya tidak dihadapkan ke mahkamah.
  • Operasi penangkapan itu berlaku melalui operasi penyerbuan dari rumah ke rumah dan di pos-pos kawalan. Pasukan Palang Merah telah menghantar beberapa laporan (ICRC Feb 2004) mengenai perkara ini. Mereka melaporkan bahawa terdapat 70% hingga 90% daripada tahanan sebenarnya adalah mangsa kesilapan penahanan.
  • Terdapat ramai di kalangan tahanan yang tidak didaftarkan, bahkan tidak dihitung. Selain itu, sanak saudara berhadapan masalah kesulitan untuk mencari saudara mereka yang ditahan. Mereka juga payah untuk memantau kes tahanan, di samping sukar untuk menyampaikan keperluan penting seperti ubat-ubatan bagi pesakit kronik.
  • Antara yang ditahan ialah wanita, kanak-kanak dan orang tua. Berdasarkan bancian Jun 2006, terdapat 200 kanak-kanak dalam penjara (IRIN News). Bancian itu juga menyebut terdapat kanak-kanak di bawah usia 10 tahun.
  • Penjara dan pusat tahanan Iraq berhadapan dengan masalah kesesakan. Operasinya berjalan tanpa mengira aspek undang-undang dan peraturan. Tidak dibenarkan sebarang pemerhati antarabangsa masuk meninjau, kecuali beberapa kali lawatan organisasi hak-hak asasi manusia dan Palang Merah, serta beberapa orang pemimpin Iraq. Pada April 2007, pemeriksa Iraq telah mendapati 827 tahanan disumbat ke dalam penjara al-Mahmudiah yang hanya boleh memuatkan 300 tahanan dalam satu-satu masa. Di kem udara al-Muthana pula, terdapat 272 tahanan dalam penjara yang hanya boleh memuatkan 75 orang tahanan. Itu merupakan contoh semata-mata.

8.3 Kedudukan Undang-undang yang tidak jelas

  • Majoriti tahanan diletakkan dalam situasi yang tidak jelas kedudukannya dari sudut undang-undang, dan tanpa disebut tentang hak-hak mereka.
  • Terdapat ramai tahanan yang tidak berdaftar ditahan dalam kem-kem tahanan tempatan atau bilik soal siasat rahsia, di mana mereka kekal dalam tahanan itu untuk jangka masa berbulan-bulan.

8.4 Keadaan penjara

  • Layanan buruk, situasi yang tidak dapat diterima dari segi akal dan kemanusiaan.
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s