Kalau Hati Sudah Kering

Standard

Pagi tadi saya menghantar isteri saya ke Kolej TK untuk melapor diri. Isteri saya yang baru saja menamatkan tempoh kursus sarjananya telah mengambil surat penempatannya itu semalam daripada Bahagian Tajaan Pendidikan di Cyberjaya. Surat itu dicop pula oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pelajaran.

Kami dapat maklumat bahawa terdapat tiga kekosongan di SBP berdekatan untuk guru pendidikan Islam; satu di Kolej TK, satu SMS R dan satu lagi di SMA PL. Kami pilih Kolej TK semata-mata kerana ia berdekatan dengan rumah kami, lebih kurang 10 minit perjalanan dengan kereta.

Setelah meninggalkannya di kolej itu selama lebih kurang 20 minit, isteri saya menelefon saya meminta diambil. Ini kerana pengetua kolej bukan saja tidak menerimanya, malah mempersoalkan bermacam-macam perkara.

Antara yang disebut oleh pengetua itu kepada isteri saya ialah, “Beritahu Puan K, saya nak guru fizik, bukan guru pendidikan Islam”. Beliau menyebutnya dengan nada tidak berpuas hati. Beliau turut mempersoalkan kesahan surat yang dibawa isteri saya. Surat itu adalah salinan fotokopi, bukan salinan asal.

Selain daripada pengetua, isteri saya juga terpaksa menelan hamburan GPK yang berkata, “Puan boleh mengajar di sini, tapi saya bagi puan “option” lain, iaitu subjek fizik dan pendidikan jasmani”. Berlagak sungguh. Pendek cerita, mereka menekankan bahawa tiada kekosongan untuk guru pendidikan Islam di kolej itu. Itulah rasional yang kami cuba fikirkan berkaitan situasi yang berlaku. Kami berusaha untuk menghindarkan sangka buruk.

Saya bawa isteri saya ke Bahagian Pengurusan SBP sekali lagi. Kali ini saya turut naik ke pejabat. Sebaik sampai di kaunter, isteri saya meminta kepada petugas untuk bertemu dengan Puan K, tetapi petugas itu menyatakan, “sukar sikit”, membayangkan bahawa Puan K agak sibuk pada waktu itu. Bagaimanapun petugas itu tetap menunjukkan keperihatinannya dengan bertanya beberapa soalan kepada isteri saya. Setelah beberapa ketika, saya mula rasa perlu mencelah. Saya tunjukkan surat penempatan tersebut dan menyatakan bahawa surat ini sudah ditunjukkan kepada pengetua Kolej TK, tapi surat ini “tak laku”, pengetua tidak terima. Mendengar kenyataan saya yang agak “mencabar” itu, petugas itu terus menelefon Puan K.

Dipendekkan cerita, pihak Bahagian Pengurusan SBP menegaskan bahawa tiada kesilapan daripada pihak mereka. Surat itu sah dan memang pihak SBP hanya bagi yang salinan, bukan yang asal. Perkara kedua yang mereka tegaskan ialah memang terdapat kekosongan di Kolej TK untuk guru pendidikan Islam.

Kami pada mulanya membuat keputusan untuk kekal ke Kolej TK, walaupun ada satu lagi kekosongan iaitu di SMA PL. Ini kerana kami berbincang dan berpendapat bahawa tempat isteri saya di Kolej TK itu adalah haknya dan sikap kurang enak pentadbir kolej itu tidak seharusnya disambut dengan emosi merajuk, melepaskan hak sendiri dan mencari sekolah lain. Bagaimanapun, setelah mencari beberapa maklumat lain berkaitan kolej dan pengetuanya, kami membuat keputusan untuk ke SMA PL.

1) Kami berdua dan Puan K sendiri, tertanya-tanya mengapa pengetua kolej itu bersikap begitu. Hatta beberapa orang guru kolej itu yang sempat ditemui oleh isteri saya juga tertanya-tanya, sedangkan terdapat seorang ustazah yang akan bersara hanya beberapa bulan lagi.

2) Apakah kesalahan isteri saya sebagai seorang guru yang buat pertama kali melangkah ke kolej itu dan pertama kali juga bertemu dengan pengetua itu? Jika ada masalah dalam hubungan antara pengetua dan pihak SBP, mengapa “tamu” yang baru sampai ini dijadikan mangsa hamburan kata-kata yang kurang enak?

3) Professionalisme pentadbir bukan saja dalam soal prosedur dan peraturan kerja, tapi yang lebih penting ialah soal komunikasi dan perhubungan yang memberi impak langsung kepada imej organisasi dan “business”. Dalam konteks ini, pendidikan adalah “business” kolej dan pemimpin masa depan adalah “produk” kolej. Apakah nilai pendidikan dan kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh pengetua terbabit? Adakah nilai pendidikan dan kepimpinan di Sekolah Berprestasi Tinggi sekadar berasaskan petunjuk kejayaan akademik? Bagaimana dengan petunjuk akhlak dan manusiawi?

4) Masyarakat sekarang sudah berubah. Segala maklumat berada di “hujung jari”. Dengan teknologi canggih ini, pihak yang ber”autoriti” dalam mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta hendaklah menyedari bahawa kerja mereka sentiasa diperhatikan dan dinilai oleh masyarakat awam, bukan lagi setakat beberapa pegawai atasan. Pegawai bawahan dan pelanggan bukan lagi sekadar datang untuk memohon keperluan mereka, bahkan mereka turut menilai dan memberi markah.

Saya tidak menyalahkan seratus peratus pengetua dan GPK terbabit. Mungkin terdapat insiden tertentu sebelum itu yang menjadi latar belakang menyebabkan mereka bersikap demikian. Mungkin dimarahi suami sebelum ke sekolah, atau mungkin juga tekanan kerja yang terlalu berat, lalu isteri saya yang jadi mangsa.

Bagaimanapun saya ingin bertanya kepada diri saya sendiri, isteri, Puan K, pengetua dan GPK tersebut, apabila kita mati nanti agak-agaknya siapakah yang akan bermandi peluh dan air kerana memandikan kita, bertungkus lumus mengkafankan kita dan berlumuran tanah untuk mengebumikan dan mengambus kita dalam pusara? Adakah mereka itu yang berpangkat DG 44 atau 48? Atau mereka ialah para pegawai atasan kita? Menteri? Rata-rata mereka yang melakukan pekerjaan mulia itu adalah rakyat biasa. Oleh itu hendaklah kita hormati sesiapa saja yang berurusan dengan kita.

Advertisements

6 thoughts on “Kalau Hati Sudah Kering

  1. Maswankudin

    saya brsimpati dgn Tuan n isteri…pada pengamatan peribadi…ia bertolak dr first impression(penampilan) serta pengalaman Pengetua n GPK dgn gol. dakwah yang cepat menghukum… Sewajarnya duat menilai diri dr perspektif mad’unya pula…memahami aspirasi mrk sedalamnya…jgn syok sendiri…jgn cepat menghukum….gauli mereka, fahami mereka, memahami stigma mereka pd duat…mereka bukan penghalang dakwah…terkadang kita terlepas pandang…cuba letakkan diri kita pada perspektif mereka…saya pasti saudara akan dapat memahami suara hati mereka.. fikir-fikirkanlah dan renungkanlah sejujurnya….Kesalahan mungkin bukan di pihak mad’u tapi bermula dr sikap duat sendiri…

    • ustazhazizi

      Terima kasih kerana mengatakan simpati, walaupun tulisan saya tu bukan bertujuan minta simpati sesiapa.

      First impression pada kedua-dua pihak, bukan sebelah pihak saja.

      Kalaupun isteri saya dilihat tidak sesuai atau layak mengajar di situ, adakah sesuai dan layak ia dilayan sebegitu? Beritahu aja elok-elok bahawa “pihak Kolej lebih mengutamakan guru fizik buat masa sekarang, dan harap puan rujuk semula pihak Bahagian.” Saya tak nampak bahawa saya perlu ajar cara bercakap sopan di sini. Itulah point yang saya highlight pasal kematian kita nanti, yang melayan jenazah kita ialah orang biasa. Saya berkata kiasan, harap mudah difahami.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s