Pendidikan Seks: Upayakan Peranan Ibu Bapa

Standard

Berita kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di Kota Bharu disyaki akibat pendarahan teruk  kerana keguguran baru-baru ini amat mendukacitakan. Sebuah akhbar menyatakan bahawa simati adalah pelajar sekolah agama. Pelajar tersebut ponteng sekolah, membonceng motosikal yang dipandu oleh teman lelakinya dan mendaftar masuk ke sebuah resort. Selain isu keguguran daripada hubungan terlarang yang timbul daripada berita ini, ia turut menimbulkan persoalan sejauh mana kawalan keluar masuk remaja kita ke hotel murah dan  rumah tumpangan di negeri yang mendapat jolokan Serambi Mekah itu.

Pada hari yang sama sebuah akhbar melaporkan pakar motivasi, Dr Robiah K Hamzah, berkata hanya melalui pendidikan seks formal di sekolah dapat membantu pelajar memahami isu itu memandangkan ada di kalangan ibu bapa segan untuk membincangkan isu seks secara terbuka dengan anak masing-masing. Tiada cara lain untuk membendung masalah salah laku seksual dan gejala seks bebas melainkan kerajaan mewujudkan modul khas berkaitan pendidikan seks di sekolah yang boleh digunakan mengikut kesesuaian peringkat umur pelajar.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa semua pihak harus bertanggungjawab memainkan peranan yang sepatutnya dalam menangani isu yang sudah membarah ini. Ibu bapa di rumah, guru-guru di sekolah, masyarakat di kejiranan dan kerajaan melalui agensi media, teknologi komunikasi, agama, undang-undang dan pendidikan harus berganding bahu menggalas tanggungjawab bersama bagi memastikan misi membasmi gejala memalukan dan merosakkan generasi masa depan ini berjaya dilaksanakan.

Bagaimanapun, ibu bapalah sebenarnya yang memainkan peranan utama dan kritikal. Inilah pengajaran penting yang dapat kita ambil daripada ajaran Islam, khusus dalam topik pendidikan seksual. Dalam banyak nas al-Quran dan Hadith berkaitan pendidikan seksual, ia ditujukan kepada ibu bapa yang bertanggungjawab melaksanakan arahan-arahan tersebut.

Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka, sejak kecil sehingga dewasa, terutamanya ketika mereka meniti usia remaja yang berisiko. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberikan pengiktirafan lima bintang kepada bapa-bapa di Malaysia. Bagaimanapun, sama ada kriteria yang diambil kira termasuk tanggungjawab mendidik anak remaja atau tidak, tidak dapat dipastikan. Fenomena gejala sosial yang menakutkan kini menyebabkan kita sedikit ragu dengan pengiktirafan itu.

Alasan yang mengatakan ibu bapa segan untuk membincangkan isu seks secara terbuka dengan anak-anak, lalu menuntut peranan itu dialihkan ke pihak sekolah, merupakan alasan yang rapuh. Halangan-halangan yang dihadapi oleh ibu bapa dalam menggalas tugas mendidik anak mereka boleh diatasi jika terdapat program bimbingan dan latihan berterusan bagi membantu ibu bapa, terutama yang bermasalah.

Jika kita mahukan perubahan, maka pendidikan adalah jawapannya. Setiap ibu bapa perlu menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran, khusus dalam mendidik anak-anak. Masyarakat pula perlu dididik agar menjadi masyarakat yang prihatin, bertanggungjawab dan memberikan kerjasama dalam mengawal tindakan liar remaja kebelakangan ini. Hanya dengan pendidikan berterusan, di samping penguatkuasaan undang-undang sebagai langkah sokongan, keadaan masyarakat kita akan berubah kepada yang lebih baik.

Segala tumpuan dan sumber seharusnya ditujukan kepada usaha membangunkan upaya ibu bapa untuk mendidik anak-anak remaja mereka. Setiap pasangan yang mahu mendirikan rumahtangga diwajibkan mengikuti kursus perkahwinan. Bagaimanapun, pasangan ini dibiarkan melayari bahtera rumahtangga selepas itu dengan bilangan anak yang semakin bertambah dan dewasa, tanpa apa-apa bimbingan.

Kursus-kursus dan kelas-kelas bimbingan dalam mendidik anak-anak remaja perlu diperhebatkan. Mengikut teori Pembelajaran Dewasa, orang-orang dewasa lebih terdorong untuk belajar jika pembelajaran itu memberi jawapan dan jalan keluar kepada permasalahan yang mereka hadapi. Fenomena remaja liar merupakan masalah yang diperkatakan oleh kebanyakan ibu bapa pada hari ini. Ramai ibu bapa menemui jalan buntu.

Kerajaan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan sukarela, di samping tanggungjawab sosial syarikat swasta, boleh berganding bahu menjayakan program pendidikan keibubapaan yang memberikan manfaat jangka panjang ini. Sebaik-baiknya program-program pendidikan non-formal ini dilakukan melalui institusi-institusi masjid dan surau. Tenaga-tenaga berkemahiran dalam bidang pendidikan anak-anak remaja perlu turun padang bertemu dengan ibu bapa secara berkala.

Kuliah-kuliah Maghrib di masjid dan surau yang berjalan sekarang adalah program pembelajaran tidak berstruktur. Alangkah baiknya jika ia dinaik taraf, dengan ditambah sesi-sesi bimbingan keibubapaan daripada satu modul yang sempurna dan tersusun untuk mencapai objektif-objektif yang lebih praktikal dan dekat dengan kehidupan harian masyarakat. Jika tempoh setengah jam seminggu tidak mencukupi atau kurang berkesan, maka hujung minggu adalah waktu yang paling sesuai untuk kursus berkenaan dijalankan, sama ada secara mingguan atau bulanan.

Kerajaan melalui Jabatan Agama Negeri dan Jabatan Pendidikan dicadangkan mewujudkan satu program latihan bagi melahirkan pembimbing-pembimbing bertauliah daripada kalangan aktivis pertubuhan-pertubuhan dakwah dan ustaz-ustaz yang berkebolehan, bagi melayakkan mereka menjalankan peranan sebagai jurulatih dan pembimbing ibu bapa di bawah seliaan terus mereka yang pakar dalam bidang berkenaan.

Sesungguhnya pendidikan seks di sekolah tidak dapat menggantikan peranan kritikal ibu bapa dalam soal gejala yang banyak berlaku di luar waktu persekolahan ini. Pakar-pakar psikologi, sosiologi, kesihatan seksual dan pendidikan yang beragama Islam harus mengambil usaha serius untuk mengkaji masalah ini daripada perspektif Islam yang menyeluruh agar cadangan penyelesaian yang dikemukakan itu bersesuaian dengan budaya masyarakat kita, lebih lengkap dan tidak bersifat “jalan pintas” dengan mencedok bulat-bulat pengalaman orang-orang Barat.

Advertisements

One thought on “Pendidikan Seks: Upayakan Peranan Ibu Bapa

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s