Lompat parti: Apakah jaminan kita?

Standard

Gelagat beberapa orang anggota Parlimen daripada PKR keluar parti mendapat perhatian ramai minggu ini. PKR nampaknya menggelabah dengan perkembangan ini, lalu menghimpunkan anggota-anggota Parlimennya untuk menyatakan ikrar taat setia kepada Anwar Ibrahim. Tidak semua yang hadir.

Fenomena keluar atau lompat parti ini bukan satu perkara luar biasa. Malah perkara ini bukan saja berlaku dalam isu politik, malah turut menghiasi dunia korporat dan perniagaan, cuma istilahnya mungkin berbeza.

Manusia berurusan sesama mereka atas kepentingan bersama. Apabila kepentingan itu sudah tidak dikongsi lagi, malah sudah bertukar menjadi konflik, maka berpisah adalah satu pilihan nyata. Dalam dunia politik dan perniagaan, persaingan merupakan medan untuk hidup, makanya perpisahan itu sebenarnya berpaling tadah.

Adakah istilah khianat wujud dalam arena politik? Setakat ini ramai penganalisa politik menyatakan bahawa berpaling tadah adalah perkara lumrah dan diterima dalam politik. Cuma yang beraliran pemikiran Islam saja yang menyebut pasal amanah, khianat dan sebagainya. Walaupun ada yang berfikiran liberal menyebut istilah-istilah itu, pada saya ia hanyalah sekadar ungkapan manis dibibir, tidak lebih dari itu.

Ini kerana jika bukan Islam menjadi dasar perjuangan dan keredhaan Allah menjadi matlamat, liberalis akan tersangkut jua di takuk yang sama apabila keadaan dan waktunya tiba. Itulah keadaan yang berlaku sekarang, apabila kuasa baru secubit, apatah lagi jika sudah menguasai negara dengan segala kekayaan buminya.

Bagi jamaah Islam, ini tidak bermakna mereka boleh terlalu yakin dengan kesetiaan pengikut dan pemimpin mereka. Dalam orientasi politik kepartian, orang yang bijak berbicara, berpidato, rajin menulis, aktif di lapangan akan membentuk pengaruhnya tersendiri dan akan naik ke tangga kepimpinan dengan pengaruhnya itu.

Orientasi mendaki anak tangga politik sebegini amat berbahaya jika tidak dilatari dengan program tarbiyah bagi seseorang itu mendaki anak tangga intimak kepada jamaah. Apakah maksud program tarbiyah dan apakah maksud anak tangga intimak kepada jamaah?

Program tarbiyah bukan sekadar ceramah atau kuliah berkala. Ia bukan sekadar tamrin dan mukhaiyam. Itu semua hanyalah wasilah. Ia juga bukan sekadar tazkirah, renungan dan kata-kata nasihat yang dilontarkan dari semasa ke semasa bagi membasahkan hati.

Tunjang bagi tarbiyah ialah murabbi. Tiada murabbi maka tiadalah tarbiyah. Masyarakat umum mungkin memerlukan seorang dua tok guru sebagai murabbi dan qudwah. Mungkin nisbahnya 1:1,000 000. Pengaruh tok guru dalam bicara dan tindakannya boleh mempengaruhi orang ramai.

Tetapi bagi anggota jamaah dan pendukungnya, yang akan menjadi tonggak dan anggota barisan hadapan ketika berdepan dengan pelbagai ujian, sama ada kesenangan atau kepahitan, maka mereka memerlukan murabbi khusus, yang dekat mengenali, memberikan tunjuk ajar dan teladan yang hidup.

Nisbahnya? Anda fikirkanlah nisbah yang sesuai untuk peranan mengikat hati-hati pendukung ini dengan jamaah. Anak-anak murid di sekolah, pelajar universiti di peringkat ijazah pertama, ijazah kedua dan doktor falsafah, kita semua tahu nisbah antara guru dan muridnya. Mungkin ada eloknya anda renungkan mengapakah Allah menjadikan manusia mempunyai anak sekitar 10 orang, tidak seratus dan tidak seribu.

Intimak pada dakwah dan jamaah diperoleh melalui tarbiyah. Faham dan ikhlas terhadap matlamat perjuangan tidak datang bersama semangat yang bernyala-nyala. Perubahan hakiki hanya berlaku secara beransur-ansur. Begitu juga sifat sanggup berkorban, taat setia, saling mempercayai, tabah dan lain-lain.

Tahap intimak itu juga tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Ada yang sudah lama, ada yang masih hijau, ada yang tahap pengorbanannya tinggi, ada yang masih berkira-kira apabila diminta menyumbang masa, wang dan tenaga.

Di sinilah letaknya peranan tarbiyah untuk meningkatkan tahap intimak. Di sinilah terletaknya peranan tarbiyah untuk mendekatkan jurang. Jika jurang ini tidak ditangani, maka tindakan segelintir anggota atau pendukung sudah cukup menggegarkan keseluruhan jamaah. Renungilah peristiwa Badar dan Uhud.

Oleh itu, tarbiyah adalah nyawa bagi jamaah Islam. Tanpa tarbiyah yang mantap dan berterusan, jamaah Islam harus berkubur dan dibawa arus kebendaan yang bermaharaja lela sekarang, melalui tindakan-tindakan pemimpin dan pengikut yang tidak terkawal.

Jika kita berkata begitu, maka tugas melahirkan murabbi yang mencukupi dan memainkan peranan dengan berkesan adalah batu tanda kesejahteraan jamaah tersebut. Jamaah yang boleh disandarkan harapan umat kepadanya ialah jamaah yang subur melahirkan murabbi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s