Fenomena Celaru

Standard

“Judu alaina judu. Judu alaina judu. Judu alaina judu”. Begitulah bunyi zikir yang dialunkan oleh seorang imam sebaik saja selesai solat Jumaat baru-baru ini. Saya terpinga-pinga kerana baru pertama kali mendengar bunyi zikir itu. Mungkin juga kerana saya bukan pengikut mana-mana tariqat sufiah, fikir hati. Saya perhatikan para makmum yang lain juga teragak-agak untuk mengikut zikir imam tersebut, walaupun beliau merupakan salah seorang penolong pengarah sebuah jabatan agama. Ini disebabkan zikir itu pelik sikit bunyinya. Setelah mengulang-ulang zikir itu lebih kurang sepuluh kali, barulah imam itu beralih kepada membaca Fatihah, sebagai pendahuluan untuk membaca doa.

Sebelum itu, semasa khutbahnya, saya tertarik dengan mukadimah imam muda itu. Beliau menceritakan satu peristiwa yang berlaku di salah sebuah negeri dalam negara ini. Seorang pengikut sebuah parti tertentu telah bersembahyang bersejadahkan bendera partinya. Apabila mahu ditarik bendera itu, pengikut yang taksub itu marah dan berkata tidak sah sembahyang tanpa “sejadah” itu.

Moral cerita itu ialah sikhatib mahu menggambarkan kepada para jemaah keadaan seseorang yang taksub pada partinya sehingga boleh membawa kepada penyelewengan akidah. Lantas keseluruhan isi kandungan khutbahnya selepas itu menghuraikan noktah utama tadi.

Mukadimah khutbah berasaskan cerita sensasi itu berjaya menarik perhatian pendengar, tetapi ia tidak memiliki kekuatan untuk menggambarkan fenomena taksub. Orang mungkin solat bersejadahkan bendera parti, mungkin kerana tiada alas yang sesuai pada ketika itu dan di tempat itu. Tetapi mengatakan tidak sah solat tanpanya, maka itu jarang sekali berlaku. Jahil sangat orang yang berkata begitu. Ia kes terpencil. Oleh yang demikian, peristiwa itu tidak kuat untuk dijadikan sandaran hujah bagi mengulas wujudnya ketaksuban kepada parti sehingga membawa kepada penyelewengan akidah. Lainlah jika sipolan yang taksub itu merupakan pemimpin tertinggi parti berkenaan. Seeloknya beliau membawa contoh yang lain, yang lebih kuat.

Antara peristiwa taksub dengan parti dan zikir pelik di atas, saya mula memikirkan keadaan makmum atau orang awam yang mengikuti solat Jumaat pada hari itu. Apakah agaknya kefahaman yang mereka peroleh, sama ada daripada isi khutbah atau zikir yang menyebabkan mereka “terdiam”. Bagaimana agaknya mereka menanggapi kedua-duanya? Sukar untuk menafsirkan tanggapan orang, kerana perangai masyarakat kita yang lebih suka “menyimpan”.

Jika kita tidak mahu orang taksub kepada mana-mana pihak sehingga menyeleweng akidah dan ibadah, maka mereka harus dididik dengan neraca yang jelas. Dalam hal ibadah, sumber rujukan ialah al-Quran dan Sunnah. Asasnya ialah mengikut seperti yang ditunjukkan oleh Sunnah baginda. Mengikut, bukan mencipta. Sah atau tidah sahnya solat, harus merujuk kepada hukum yang bersandarkan al-Quran dan Sunnah, bukan berdasarkan dorongan perasaan taksub dan hawa nafsu. Orang yang mengatakan tidak sah solat tanpa bendera tadi sudah tentu tidak faham akan perkara ini.

Perkara yang sama juga dalam isu zikir. Apakah zikir selepas solat Jumaat? Jawapannya harus dicari dalam al-Quran dan Sunnah. Apakah zikir yang diamalkan baginda selepas solat Jumaat? Zikir baginda itu lebih utama untuk diamalkan. Ini merupakan panduan yang jelas dalam soal ibadah. Dengan cara yang jelas ini, peristiwa terpinga-pinga mendengar alunan zikir pelik tidak akan berlaku. Maka semua orang akan mengamalkan zikir yang sama, daripada sumber yang sama.

Imam yang mempelajari al-Quran dan Hadith serta mengetahui asas-asas syarak seharusnya mendahulukan zikir Rasulullah s.a.w. mengatasi zikir-zikir yang diambil daripada mana-mana syeikh atau tok guru. Mereka adalah qudwah kepada makmum. Dengan cara demikian mereka mendidik orang awam secara tak langsung agar menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan dalam beribadah.

Jika mereka tidak berbuat demikian, maka keadaan orang awam yang tidak tahu asas syarak akan semakin celaru. Maka akan timbullah macam-macam fenomena negatif dalam beribadah, apabila orang tidak menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah. Pendek kata, lain tok guru, lain pula zikirnya. Jika tindakan orang taksub pada sejadah tadi dikatakan puncanya jahil, maka apakah agaknya punca seorang ustaz boleh bertindak melanggar urutan keutamaan dalam soal zikir? Saya pulang dari solat Jumaat pada hari itu dengan rasa simpati dan kasihan pada para jemaah atas peristiwa yang berlaku.

Advertisements

10 thoughts on “Fenomena Celaru

  1. hanafi jamil

    Apa maksudnya judu alina tu ustad, dah dua kali imam muda ni dtg kat masjid pasir panjang port dickson. memang takde org ikut pun zikir tu kecuali satu dua. ada yg ikut dgn kuat.

    • ustazhazizi

      itu doa mintak hujan, tapi tak diberitahu dulu kpd ahli jamaah solat bahawa ada doa nak mintak solat. alangkah baiknya jika beliau berbuat demikian.
      di zaman Rasulullah dulu, ketika Rasulullah sedang berkhutbah Jumaat, seorang lelaki bangun dan mintak Rasulullah doa kerana mereka dilanda musim kemarau (sehingga ternakan mati), maka Rasulullah pun berdoa. (maksud hadith Bukhari)
      Jadi, doa itu diminta bermakna semua maklum apa yang didoakan (mereka pun faham bahasa arab, berbanding kita). Kedua, keadaan dah jadi sampai ternakan mati. Mereka tidak berdoa setiap minggu.
      Anyway, nak doa macam tu pun tak apalah, tapi alangkah elok diberitahu dulu agar jamaah tak tercengang-cengang.

      • Hanafi Jamil

        Salam Ustaz. Jumpa Lafaznya yg sahih dalam Sahih Bukhari no 1021,Hadis yg seperti yg Ustaz cakap. Lafaz doa Nabi saw, “Allahummasqina.” Di baca 2kali. bukannya ” judu Alaina judu”

      • ustazhazizi

        lafaz doa boleh belaka nak guna lafaz apa-apa yang sesuai, cuma pemberitahuan penting agar jemaah solat tidak tercengang-cengang.

  2. hanafi jamil

    Alhamdulillah terima kasih atas jawapan ustad. so takdelah ajaran sesat zikirnya cuma ia bukan diamalkan secara total cuma bila ada keperluan maksud ustad. dan keperluan itu mendesak. Pelik juga ya zikir yg bukan jadi amalan seharian/mingguan dijadikan amalan tetap setiap jumaat oleh imam muda. lagipun dah memang musim hujan pun.

    Ironik dgn topik ustad, imam haritu juga bercerita pasal hubungan sesama Islam dimana diretakkan oleh parti2 politik.Walaupun saya setuju secara kasarnya demokrasi barat sistem berpolitik memecah belahkan orang mukmim tetapi tidak secara total. Dua orang muslim bersahabat yg berlainan fahaman politik tetap bersahabat dan cuba tidak menyakiti antara satu sama lain.Politik hanya luaran, kita punya titik pertemuan yang lebih besar dari sangkar politik. Kita tidak boleh lari dr politik buat masa ini kerana politik adalah penting utk memilih pemerintah pusat yg baik. Kalau tak baik takyah undi, kalau baik undi.kalau ingatkan dia(parti) baik tapi buat tak baik, lagi 5 tahun undi yg lain pula.

    Berbalik kepada imam muda. Dua kali dia sebut perkataan Melayu. tapi tidak ditekankan, tapi sy masih anggap dia sayang agenda melayunya sbb dia ada cakap islam adalah melayu, melayu adalah islam semasa penambahan khutbahnya, tersebutlah juga dari mulut dia bangsa cina walaupun mulanya dia cakap kaum lain.lebih kurang maksudnya beli kat kedai orang melayu jgn beli kat kedai cina. Tetapi Islam bukan agama utk melayu sahaja. so jika Cina2 ditepi masjid dengar khutbah kan dah lain bunyinya.Dia mula nak ckp kaum lain, tapi keluar juga bangsa cina. Khutbah akhir Nabi pun memesan kepada bangsa Arab yg dorang bukan bangsa supreme. Dalam Islam tiada pengukur bangsa hanya amalan dan takwa.Kalau imam muda terbaca ni, maafkan saya lah, saya bukannya nak memandai sbb sy tak belajar agama, saya percaya takde org yg paling pandai pasti ada org lagi pandai dr kita. Paling pandai manusia pun hanya setitis air dilautan berbanding dgn ilmu Allah swt.

    last soalan ustad, mcm imam muda ini dan mungkin ada juga gaya sesetengah penceramah yg lantang. bila membaca firman Allah dia buat mcm suara yg lain dan lantang dari kebiasaan dan menoleh kiri dan kanan, mungkin tak salah, tapi bagi saya tak seronok bila tengok sbg pemerhati. Saya berpikir adakah imam ini mengibaratkan itu semacam suara Allah. Itu hanya pikiran saya. tapi sy percaya imam atau penceramah itu tidak bermaksud demikian.

  3. hanafi jamil

    iya betul. berbaik sangka adalah benda yg patut saya buat..

    mungkin ini post yg terakhir saya dekat blog ustad. semoga berjumpa dimasa lain titik pertemuan yg lain. Insha Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s