Nasionalis atau sekularis?

Saya ingin merujuk kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam Malaysian Insider bertarikh 26hb Oktober 2011, menyifatkan gejala murtad, yang menjadi agenda khusus Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Sabtu lalu, berlaku di negara ini disebabkan tindakan tidak melaksanakan pemerintahan Islam oleh golongan nasionalis. Saya kira pandangan Tuan Guru ini perlu diberikan perhatian serius kerana terdapat beberapa noktah yang perlu dihuraikan.

Pertama sekali saya menganggap Tuan Guru tidak bermaksud fahaman nasionalisme itu keseluruhannya salah. Ini kerana ia bergantung kepada tujuan fahaman itu sendiri. Perkara ini telah dijelaskan oleh al-Imam Hasan al-Banna kira-kira 70 tahun yang lampau. Saya petik di bawah ini kata-kata beliau agar menjadi panduan kepada generasi muda, supaya kata-kata Tuan Guru itu difahami dalam konteksnya yang betul. Saya kira Tuan Guru maksudkan nasionalis itu ialah pemerintah UMNO, sedangkan nasionalisme itu luas ertinya dan nasionalis tidak semestinya orang UMNO. Sesiapa yang membaca “Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad”, sebuah buku tulisan Mokhtar Petah terbitan IKDAS tahun 2010, sudah tentu mendapat gambaran yang jelas betapa Allahyarham adalah seorang yang nasionalis Islamis. Pada pendapat saya, istilah sekularis lebih tepat untuk digunakan oleh Tuan Guru dalam kenyataannya itu.

Hasan al-Banna berkata, “Jika nasionalisme yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi mutakhir perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, dihormati, cemerlang, berkeyakinan tinggi dan menjadikan mereka sebagai contoh yang baik; Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lantaran itu menjadi pembakar semangat dan perangsang. Jika ini yang dimaksudkan, ia adalah suatu tujuan yang baik. Kami sokong dan kami galakkan. Bukankah usaha kita membangkitkan semangat generasi masa kini bertujuan supaya mereka mencontohi kehebatan generasi silam.”

“Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah keluarga dan bangsanya adalah orang yang paling utama untuk menerima layanan baik dan orang yang paling utama dilimpahkan segala sumbangan dan jihad, maksud ini adalah benar. Siapakah yang tidak merasakan bahawa orang yang paling utama untuk menerima sumbangannya ialah bangsanya sendiri yang telah membesarkannya?”

“Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kita semua dituntut supaya berusaha dan berjihad, maka menjadi kewajipan setiap kumpulan untuk berusaha mencapai matlamat ini sehingga dengan izin Allah masing-masing mencapai kejayaan. Inilah pengagihan tugas yang terbaik. Siapa lagi kalau bukan kita yang membekalkan kepada umat Timur dengan pelbagai pasukan dan ketumbukan jihad dalam setiap lapangan sehingga kita bertemu semuanya dalam kemerdekaan dan kebebasan.”

“Semua nilai nasionalisme ini dan yang seumpamanya adalah nilai yang baik, disanjungi dan tidak dilarang oleh Islam. Nilai ini menjadi ukuran kita dan kita bukan sahaja menerima dengan senang hati semua nilai ini malah kita sokong.”

“Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus. Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh. Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah negara yang agak fanatik. Sehingga ke tahap menghancurkan semua imej Islam dan Arab. Termasuk mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya jahiliyyah yang telah sekian lama pupus. Jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang amat buruk.”

“Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri hingga ke tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri sepertimana yang pernah dilakukan oleh Jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa mereka lebih istimewa berbanding bangsa-bangsa lain, maka maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggah sama sekali dengan nilai peri kemanusiaan.”

Saya sengaja membawa petikan ini dengan panjang lebar, agar generasi muda faham tentang keluasan erti nasionalisme, supaya mereka tidak “pukul rata” bahawa keseluruhan nasionalisme itu salah dan semua Melayu nasionalis adalah UMNO. Ruang lingkup pemikiran harus dikekalkan luas agar tanggapan kita terhadap sesuatu perkara itu menyeluruh, lalu sikap dan tindakan kita lebih tepat.

Perkara kedua yang saya ingin sentuh ialah soal pemerintah yang tidak melaksanakan pemerintahan Islam. Saya amat setuju dengan pendapat Tuan Guru bahawa ia merupakan punca gejala murtad, kerana undang-undang Islam itu sifatnya mencegah, bukan saja merawat. Selama 54 tahun kerajaan Perikatan, kemudian Barisan Nasional, tidak pernah serius untuk melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh, sedangkan Islam adalah Agama Persekutuan dan majoriti penduduk negara ini beragama Islam. Mutakhir, apabila diajukan cadangan Akta Murtad, kerajaan masih lagi memberi alasan yang sama, yang menunjukkan sikap “acuh tak acuh”.

Bagaimanapun saya ingin memberi amaran kepada generasi muda agar tidak mengambil kenyataan itu secara salah. Adalah tidak benar bahawa pemerintah yang tidak melaksanakan Islam adalah satu-satunya punca utama gejala murtad. Menekankan kesalahan hanya pada pemerintah yang tidak melaksanakan undang-undang Islam samalah seperti hujah orang yang mengatakan Islam ini hanya agama dialog. Ibarat kepala dibelah dua, tiada mana-mana bahagian lagi yang berguna. Islam bukan sekadar agama dialog, bahkan ia juga agama undang-undang yang dikuatkuasakan. Sebagaimana Islam bukan sekadar pemerintahan, malah ia bertapak dan berakar umbi pada keperibadian setiap individu muslim. Kedua-duanya saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan.

Negara Islam hanyalah kerangka yang mengizinkan orang-orang Islam melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka. Hakikatnya banyak perkara dan banyak aspek Islam yang boleh dilaksanakan, walaupun pemerintah tidak melaksanakan undang-undang Islam, tetapi masalahnya ialah individu muslim itu sendiri tidak mahu melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka. Ia satu persoalan yang lebih besar daripada persoalan undi pilihanraya.

Bahkan generasi muda kini lebih cenderung dengan cara fikir dan gaya hidup Barat. 70% daripada remaja Islam kita tidak solat lima waktu sepenuhnya. Keluarga yang tidak mengamalkan cara hidup Islam akan mewariskan generasi anak-anak yang terhakis sifat keIslamannya. Soalnya adakah pemerintahan Islam semata-mata dapat membuatkan mereka solat?

Tanpa menafikan soal pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Islam yang banyak meninggalkan kesan bahana ini, para pendakwah kini gigih merawat dan membimbing generasi muda. Mereka sanggup meninggalkan keselesaan hidup dan waktu rehat di malam hari dan hujung minggu semata-mata untuk bersama-sama generasi muda dalam program perkhemahan, qiamullail, rehlah dan seumpamanya demi membina semula jatidiri umat ini.

Kesimpulan saya untuk noktah kedua ini ialah kita harus melihat punca masalah murtad ini secara menyeluruh. Bahkan masalah terhakisnya jatidiri Islam pada masyarakat Melayu hari ini juga perlu dilihat puncanya secara menyeluruh. Dari situ, kita dapat melihat lakaran jalan penyelesaian yang lebih terangkum, lalu terpaparlah wajah-wajah pemain peranan yang melampaui batas sempadan organisasi dan pertubuhan. Di sebaliknya, akan terpaparlah wajah-wajah musuh yang sebenar.

Kiriman Sebelumnya
Tinggalkan komen

2 Komen

  1. salam. boleh dapatkan komen ustaz, bila nasionalis hanya memikirkan mengenai bangsa dan begitu juga dengan slogan isma (melayu sepakat), tidakkah ini akan memberi gambaran kepada org non muslim, yg Islam eklusif untuk Melayu dan akan membuatkan mereka lebih jauh daripada Islam? mohon komen. jzkk.

    Balas
    • ustazhazizi

       /  Oktober 29, 2011

      non muslim jauh daripada Islam sebab tengok orang Islam berpecah Malaysia, tak tunjuk teladan langsung. isu eksklusif ini insignifikan sebab orang Islam ada banyak bangsa di seluruh dunia. satu dunia tahu benda ni. alasan “eksklusif” diada-adakan oleh orang yang tak setuju dengan slogan ISMA tu aje. semua tahu hakikat sebenar penolakan, tapi sengaja menimbulkan alasan “murni” lain, walaupun ia insignifikan.

      Balas

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

  • Taaruf


    Mohd Hazizi Ab Rahman
    Sek Ren Keb KGV, 1977-82
    SMKA SHAMS, 1983-85
    Maktab Mahmud, 1986-88
    Universiti al-Azhar, 1989-96
    UPM, 2009-2011

  • Bagaimana merubah sikap?

    Tingkah laku manusia berpunca daripada sikap atau akhlaknya. Sikap atau akhlaknya itu berpunca daripada keyakinan dan kepercayaannya. Kepercayaan dan keyakinannya pula berpunca daripada persepsinya. Persepsi yang membuahkan kepercayaan ini boleh jadi betul dan boleh jadi tidak betul. Persepsi yang salah boleh dibetulkan dengan ilmu. Oleh itu semakin mendalam ilmu seseorang tentang sesuatu, semakin tepat tindakannya. Tetapi awas, ilmu yang dimaksudkan bukan sekadar selambak info kaku. Sebaliknya ia adalah ilmu yang disampaikan dengan sentuhan yang menggugah jiwa dan perasaan, bak al-Quran yang menghidupkan keimanan.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.