Mengenai Solat Tahajjud

Standard

1- GALAKAN DAN KELEBIHAN

Firman Allah Taala :

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Al-Isra’: 79)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”(Surah az-Zariyat ayat 15 hingga 18)

“Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri daripada tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.” (Surah as-Sajadah ayat 15 & 16)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Daripada Abi Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang bangun malam Ramadhan beribadat dalam keadaan ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan dosanya yang telah lalu” (Hadith riwayat Bukhari)

2- HUKUM

  • Solat Tahajjud merupakan solat sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat-sangat dituntut. Sabda Rasulullah S.A.W.:

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ

“Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat (Tahajjud) di tengah malam.” (Hadith riwayat Muslim)

3- WAKTU

  • Dari selepas solat Isyak sehingga Subuh.
  • Waktu yang paling baik ialah sepertiga yang terakhir malam atau setelah berlalunya dua pertiga malam.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَضَى شَطْرُ اللَّيْلِ أَوْ ثُلُثَاهُ يَنْزِلُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ هَلْ مِنْ سَائِلٍ يُعْطَى هَلْ مِنْ دَاعٍ يُسْتَجَابُ لَهُ هَلْ مِنْ مُسْتَغْفِرٍ يُغْفَرُ لَهُ حَتَّى يَنْفَجِرَ الصُّبْحُ

Daripada Abi Hurairah (semoga Allah meredhainya), beliau berkata: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: “Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)”, sehinggalah terbit fajar.” (Hadith riwayat Muslim).

4- LAFAZ NIAT

أُصَلِّي سُنَّةَ  التَهَجُّدِ  رَكعَتَينِ   للهِ  تَعَالَي

“Sahaja aku solat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala”

5- BILANGAN RAKAAT

  • Sekurang-kurangnya dua rakaat, dengan satu salam.
  • Tiada had maksima rakaat bagi solat tahajjud.
  • Bagaimanapun , yang paling baik ialah sebanyak 11 rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ سَأَلَ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَيْفَ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ فَقَالَتْ مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً

Daripada Abi Salamah bin Abd Rahman, bahawa dia bertanya kepada Aisyah (semoga Allah meredhainya) bagaimanakah solat Rasulullah s.a.w. di malam Ramadhan? Maka berkatalah Aisyah: “Baginda tidak menambah lebih daripada sebelas rakaat, sama ada di bulan Ramadhan atau di bulan-bulan lain.” (Hadith riwayat Bukhari)

  • Dilaksanakan dua rakaat demi dua rakaat. Jika bimbang masuknya waktu Subuh, maka Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dilaksanakan solat witir hanya satu rakaat.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَلَاةِ اللَّيْلِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ عَلَيْهِ السَّلَام صَلَاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى

Daripada Ibnu Umar, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai solat malam. Baginda bersabda: Solat malam dilakukan dua rakaat, dua rakaat. Jika kamu bimbang telah masuk waktu Subuh, maka solatlah satu rakaat untuk mewitirkan (mengganjilkan rakaat) solat malamnya itu”. (Hadith riwayat Bukhari)

6- BACAAN

  • Tiada sebarang penetapan bacaan tertentu daripada Rasulullah s.a.w. untuk solat Tahajjud.
  • Salafussoleh (generasi tiga kurun pertama selepas Rasulullah s.a.w.) gemar memanjangkan bacaan dalam solat, bersesuaian seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Daripada Abi Salamah bin Abd Rahman, bahawa dia bertanya kepada Aisyah (semoga Allah meredhainya) bagaimanakah solat Rasulullah s.a.w. di malam Ramadhan? Maka berkatalah Aisyah: “Baginda tidak menambah lebih daripada sebelas rakaat, sama ada di bulan Ramadhan atau di bulan-bulan lain. Baginda solat empat rakaat (dua salam), maka janganlah engkau tanya tentang elok dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat, maka janganlah engkau tanya tentang elok dan panjangnya. Kemudian baginda solat tiga rakaat”. (Hadith riwayat Bukhari)

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَافْتَتَحَ الْبَقَرَةَ فَقُلْتُ يَرْكَعُ عِنْدَ الْمِائَةِ ثُمَّ مَضَى فَقُلْتُ يُصَلِّي بِهَا فِي رَكْعَةٍ فَمَضَى فَقُلْتُ يَرْكَعُ بِهَا ثُمَّ افْتَتَحَ النِّسَاءَ فَقَرَأَهَا ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرَانَ فَقَرَأَهَا يَقْرَأُ مُتَرَسِّلًا إِذَا مَرَّ بِآيَةٍ فِيهَا تَسْبِيحٌ سَبَّحَ وَإِذَا مَرَّ بِسُؤَالٍ سَأَلَ وَإِذَا مَرَّ بِتَعَوُّذٍ تَعَوَّذَ ثُمَّ رَكَعَ فَجَعَلَ يَقُولُ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ فَكَانَ رُكُوعُهُ نَحْوًا مِنْ قِيَامِهِ ثُمَّ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ثُمَّ قَامَ طَوِيلًا قَرِيبًا مِمَّا رَكَعَ ثُمَّ سَجَدَ فَقَالَ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى فَكَانَ سُجُودُهُ قَرِيبًا مِنْ قِيَامِهِ

Daripada Huzaifah, beliau berkata: “Pada suatu malam aku solat dengan Rasulullah s.a.w. Baginda memulakan bacaan dengan al-Baqarah. Aku berkata dalam hati: Baginda akan rukuk apabila sampai ayat ke seratus. Kemudian Rasulullah terus membaca (selepas seratus ayat), lalu aku berkata dalam hati: Baginda akan habiskan al-Baqarah dalam rakaat ini. Lalu baginda habis baca al-Baqarah, maka aku berkata hati: Baginda akan rukuk. Kemudian Rasulullah memulakan bacaan an-Nisa’ pula, sehingga habis. Kemudian baginda memulakan Ali Imran sehingga habis. Baginda membaca perlahan-lahan, apabila jumpa ayat tasbih, baginda bertasbih, apabila jumpa ayat doa, baginda berdoa, apabila jumpa ayat berlindung, baginda meminta perlindungan. Kemudian baginda rukuk dan membaca سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ , rukuknya panjang hampir sama dengan berdirinya tadi. Kemudian baginda berkata سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ , baginda berdiri lama hampir menyamai rukuknya tadi. Kamudian baginda sujud dan membaca سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى , sujudnya panjang hampir menyamai berdirinya tadi.” (Hadith riwayat Muslim, dalam Bab Galakan Memanjangkan Bacaan Pada Solat Malam)

  • Bagaimanapun, jika Tahajjud dilakukan secara berjemaah, adalah makruh Imam membaca panjang jika menyusahkan makmum yang terdiri daripada orang tua, orang sakit dan yang ada urusan, berdasarkan hadith riwayat Bukhari dalam Bab Orang Yang Mengadu Apabila Imam Memanjangkan Bacaan, mengenai teguran Rasulullah s.a.w. ke atas Muaz.
  • Bagi yang tidak banyak hafalan al-Qurannya, diharuskan membaca melalui mushaf, atau membaca apa-apa ayat al-Quran yang diingatinya bersesuaian dengan firman Allah

“maka bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran (dalam sembahyang).” (Surah Muzzammil ayat 20)

7- BEBERAPA ADAB & AMALAN

  • Membaca al-Quran ketika solat dengan cara Tartil, iaitu membacanya dengan menunaikan hak-hak huruf al-Quran secara jelas menurut ilmu tajwid.
  • Makmum mendengar dan merenung (tadabbur) ayat-ayat yang dibacakan oleh imam. Disunatkan menangis ketika mendengar atau membaca ayat al-Quran, seperti sabda Nabi s.a.w.:

فَإِذَا قَرَأْتُمُوهُ فَابْكُوا

“Apabila kamu membacanya, maka menangislah.” (Hadith riwayat Ibnu Majah)

  • Memperlahankan suara ketika berzikir atau berdoa, seperti arahan Allah Taala dalam Surah al-A’raf ayat 55:

“berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.

  • Banyak bertasbih dan beristighfar ketika rukuk dan sujud, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

“Daripada Aisyah (semoga Allah meredhainya), beliau berkata: Rasulullah s.a.w. banyak menyebut ketika rukuk dan sujud:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

(Hadith riwayat Bukhari)

  • Berdasarkan pelbagai hadith Rasulullah s.a.w., zikir paling utama ialah membaca al-Quran, zikir  لا إله إلا الله dan سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ . Masa selang antara empat rakaat Tahajjud seharusnya diisi dengan zikir-zikir ini, selain doa.
  • Mengejutkan ahli keluarga daripada tidur dan mengajak bersama untuk solat Tahajjud berdasarkan perbuatan Nabi s.a.w. pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan dan sabdanya yang bermaksud:

“Allah merahmati seorang suami yang bangkit dari sebahagian malam lalu ia sembahyang dan mengejutkan isterinya. Kalau isterinya itu enggan, ia merenjiskan air ke mukanya. Juga Allah merahmati seorang isteri yang bangkit pada sebahagian malamnya lalu ia sembahyang dan mengejutkan suaminya. Jikalau suaminya enggan maka ia merenjiskan air ke mukanya”. (Hadis Abu Daud)

8- DOA TAHAJJUD

  • Diharuskan berdoa dengan apa-apa sahaja permintaan yang makruf.
  • Bagaimanapun, doa Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari ini hendaklah tidak ditinggalkan, di samping doa-doa lain itu.

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ

وَلَكَ الْحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ

وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ

وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ

وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ

وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ وَقَوْلُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ

اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ

فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Ya Allah, bagiMu segala puji. Engkaulah penegak langit, bumi dan alam semesta serta segala isinya.

BagiMulah segala puji. Pemancar cahaya langit dan bumi.

Bagimulah segala puji. Engkaulah yang haq, janjiMu adalah benar,

PertemuanMu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurgaMu adalah benar, nerakaMu adalah benar, Nabi-nabi adalah benar, Muhamad s.a.w. adalah benar dan kiamat adalah benar.

Ya Allah kepadaMulah aku berserah diri, kepada Engkaulah kami kembali, kepada Engkaulah kami merindu, kepada Engkaulah kami berhukum.

Ampunilah kami atas kesalahan yang telah kami lakukan dan yang sebelumnya, baik yang kami sembunyikan atau yang kami nyatakan. Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau Allah Rabbul Alamin.

9 thoughts on “Mengenai Solat Tahajjud

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s