Antara Dua Alam

Standard

Solat yang sempurna merupakan rahsia kebahagiaan jiwa dan kedamaian sanubari. Kebahagiaan dan kedamaian itu selanjutnya akan memberi kesan besar terhadap sikap dan cara kita bertindak di luar solat.

Solat adalah detik-detik yang amat berharga. Walaupun ia hanya berlalu dalam 5 hingga 10 minit, kebahagiaan yang dikecapi hasil solat yang sempurna tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Macam-macam petua yang pernah kita baca atau dengar untuk mendapatkan solat yang sempurna. Imam Ghazali telah memberikan petuanya yang sederhana, tidak terlalu terperinci sehingga membentuk satu buku besar, tidak juga terlalu ringkas sehingga sukar untuk difahami dan diamalkan. Ia meliputi aspek zahir dan batin.

Bagaimanapun, asas kepada segala petua ini ialah sifat ihsan seseorang hamba. Sifat yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. setelah ditanya oleh Jibril, dalam satu hadith yang panjang, masyhur di kalangan mereka yang pernah mempelajari hadith.

“Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak boleh melihat-Nya, maka Dia melihat kamu”, satu ungkapan yang menyimpulkan keadaan seseorang hamba, bukan sahaja ketika beribadat khusus seperti solat dan puasa, bahkan pada semua ketika dan di semua tempat.

Jika sudah begitu keadaannya ketika di luar solat, maka sudah tentu apabila “bertemu” dengan Allah dalam solat tidak sukar untuk memberikan tumpuan dan perhatian dengan jiwa yang tenang dan tenteram. Tumpuan dan perhatian penuh itu bukan melalui usaha yang payah. Satu takbiratul ihram yang ringkas sudah cukup melayarkan kita ke dalam alam “pertemuan” itu.

Ini kerana sempadan antara alam luar solat dan ketika bersolat itu tidak begitu ketara, “berdepan” ketika di sana dan “berdepan” ketika di sini. Keadaan ini tidak berlaku pada orang yang lalai dan lupa kehadiran Allah di kebanyakan waktunya.

Sentiasa merasai bahawa diri sedang “berdepan” dengan Allah dalam semua keadaan menjadikan kita lebih berhati-hati, lebih tenang dan lebih tekun untuk memastikan tindak tanduk dan hasil kerja cemerlang. Ketika mendirikan solat, perasaan “berdepan” itu diteruskan dan disempurnakan, melalui detik-detik khusus untuk mengadu hal tentang kepayahan yang dilalui dalam menempuh dugaan hidup.

Pengaduan itu diiringi rasa mengharapkan pengampunan atas kelemahan, kesilapan dan kecuaian sebagai seorang insan. Pengaduan dan pengharapan itu pula diasaskan atas rasa kasih dan sayang pada Yang Maha Sempurna, Maha Pengampun dan Yang Rahmat-Nya meliputi segala sesuatu.

Perasaan ini menyebabkan sujud menjadi detik terindah dalam solat. Ini kerana ketika sujud kita sedang berada dekat dengan Kekasih, dalam lautan kasih yang kekal, luas dan tidak luak. Kepuasan hati yang tidak terhingga. Kepuasan hati yang kekal. Kepuasan hati yang membahagiakan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s